Thursday, November 4, 2010

Semoga amanah berterusan di Galas

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani. Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam serta ahli keluarga baginda dan para sahabat radhiallahu ‘anhum ajma’iin.

Di saat saya membuat coretan ini, apa yang berlaku di Galas adalah seperti berikut.

Langsung proses pengundian PRK N.45 Galas
Nazri Abdullah, Hazayani Zakaria, Mohd Nor Yahya
GUA MUSANG, 4 Nov: Sejumlah 11,426 pemilih berdaftar bagi Dun Galas akan membuang undi bermula jam 8.00 pagi ini.

8.20 am: Terdapat pondok panas kedua-dua pihak, namun didirikan lebih 100meter dari tempat pembuangan undi.

8.15 am: Berlaku sedikit kekecohan apabila penyokong dan perayu undi BN tidak mahu berganjak dari kawasan pintu pagar sekolah setelah diarah pihak polis.

Penyokong kedua-dua belah pihak diminta berada pada jarak lebih 50meter dr pintu masuk tempat pembuangan undi.

8.10 am: Calon bersama Menteri Besar beredar dari pusat pembuangan undi di sini dan akan ke Sek Cina di Kampung Baru.

8.07 am: TG Datuk Nik Abdul Aziz tiba di Sek Ren Keb Tengku Muhammad Fakri.

8.05 am: Dr. Zulkefli tiba di pusat pengundian Sek Keb Tengku Muhammad Fakri, Sungai Terah.

7.40 am: Calon PAS, Dr Zulkefli Mohamed dijangka melawat tempat pembuangan undi di Sek. Keb. Tengku Muhammad Fakri, Sungai Terah.

Turut serta menemaninya, Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. galas
Mu'tamar Thanawi MPM KUDQI

Lebih kurang jam 9.30 malam tadi telah berakhirnya Mu'tamar Thanawi MPM KUDQI sessi 2009/2010. Alhamdulillah secara rasmi amanah yang digalas iaitu sebagai Pengerusi Tetap atau Speaker telah selesai. Saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua AJK Pelaksana yang telah bertungkus lumus untuk menjayakan mu'tamar pada kali ini. Secara jujur inilah pengalaman yang paling berharga kerana banyak perkara baru yang saya pelajari.

Ini merangkumi apakah tugas sebenar seorang Pengerusi Tetap antaranya:-
a. Apakah tugas sebenar sebagai seorang pengendali menyuarat agung.
b. Bagaimana cara mengendalikan masa yang telah ditetapkan.
c. Bagaimana cara mengendalikan sessi perbahasan.
d. Bagaimana cara mengendalikan isu-isu yang hangat.
e. Bagaimana cara hendak menghangatkan suasana dewan yang hambar.
f. Bagaimana cara hendak mengendalikan ahli dewan yang pelbagai ragam.

Saya mengucapkan berbanyak syukur di atas anugerah serta ni'mat yang telah dikurniakan oleh Allah Subhanahu Wa Ta'ala. Secara peribadi saya merasakan mu'tamar thanawi pada tahun ini merupakan mu'tamar yang terbaik dari segi pengurusan, isu-isu yang diutarakan dan ramai pewakilan yang berani tampil untuk berbahas. Walaupun di sana masih terdapat kekurangan yang perlu ditampung dan diperbaiki pada masa hadapan.

Wind of change

Kita mengharapkan "wind of change" ini terus mendapat tempat di hati mahasiswa KUDQI dan mengharapkan agar ramai lagi mahasiswa yang berani melakukan anjakan paradiqma kepada diri sendiri dan berani untuk melakukan perubahan kepada suasana atau bi'ah yang lebih solehah yang menepati kehendak syariat Islam.

"Kita hendak 'wind of change' yang merupakan tajuk kepada sebuah lagu yang seringkali menjadi siulan anak-anak muda akan terus bertapak di bumi KUDQI". Kataku selaku Pengerusi Tetap semasa mengendalikan dewan.

Saya mengakhiri tugas sebagai Pengerusi Tetap dengan berkata: "Saya mendoakan agar calon yang terpilih menjadi Ahli Jawatankuasa MPMKUDQI untuk sessi 2010/2011 akan terus mendepani cabaran".

WalLahu a'lam.
Ibnu Ibrahim.

Wednesday, November 3, 2010

Pasif

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani. Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam serta ahli keluarga baginda dan para sahabat radhiallahu ‘anhum ajma’iin.

Kuliyyah Tafaqquh Fid-din’

Di dalam artikel yang lepas, saya ada mengatakan untuk memperincikan tiga jenis penyakit yang melanda para dai’e di dalam menjalankan amanah menyampaikan risalah da’wah. Di sini saya akan berkongsi satu kertas kerja yang bertajuk Penyakit Di Jalan Da’wah. Kertas kerja lama ini saya perolehi ketika saya mengikuti ‘Kuliyyah Tafaqquh Fid-din’ anjuran Dewan Pemuda PAS Kawasan Marang. Tarikh pembentangan yang saya catat pada muka depan kertas kerja ialah pada 11 hb Mac 2002. Maaf, saya tidak ingat siapakah pembentang pada waktu itu. Kertas kerja asal ini adalah kertas kerja Allahyarham al-Fadhil Ustaz Haji Fadhil Mohd Noor, seorang murabbi dan juga bekas Presiden PAS sebelum Tuan Guru Haji Hadi Awang menjadi Presiden. Marilah sama-sama kita memberi sedekah kepada Allahyarham al-Fadhil Ustaz Haji Fadhil Mohd Noor. Al-Fatihah dan mendoakan agar rohnya ditempatkan bersama-sama dengan orang-orang yang beriman dan ber’amal soleh.

Di samping itu saya juga membuat penambahan dengan merujuk kitab ‘Wabak Sepanjang Jalan’ karangan Dr. Al Syed Muhammad Noh. Ini bertujuan agar kertas kerja yang walaupun ringkas tetapi lebih padat, cantik dan mudah difahami oleh para dai’e di luar sana.

Kertas kerja Allahyarham

Bismillahirrahmannirrahim. Alhamdulillahi rabbil a’lamin wassolatu wassalamu a’la asyrafi anbiyai wal mursalina wa a’la aalihi wa sohbihi ajmaien, amma ba’du.

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani. Segala puji bagi Tuhan sekalian a’lam. Selawat dan salam ke atas semulia-mulia para nabi yang diutuskan dan ke atas seluruh keluarga serta seluruh sahabat baginda, amma ba’du.

Terlalu banyak penyakit-penyakit yang melanda para pejuang dan perjuangan Islam. Seorang penulis yang bernama Dr. Al Syed Muhammad Noh setakat ini ada menyenaraikan sebanyak dua puluh lapan (28) penyakit, di dalam liqa’ ini kita cuba memperincikan hanya beberapa penyakit tersebut antara lainnya ialah:-
1. pasif,
2. gopoh,
3. kagum terhadap diri sendiri,
4. berpandangan sempit dan
5. bercita-cita untuk berada di saff hadapan serta berusaha untuk menjadi pemimpin.

Dalam kertas kerja ini kita cuba memperkatakan perkara-perkara ini dalam bentuk yang ringkas untuk dijadikan bahan perbincangan dan seterusnya berusaha mengelakkan diri kita daripada dihinggapi oleh penyakit tersebut.

Saudara kamu di jalan Allah,
Haji Fadhil Mohd Noor.

Al-Futur (pasif)

Ta'rif: Bekerja secara berkala sesudah bekerja secara berterusan atau malas menjalankan kerja. Penyakit ini apabila terkena kepada para pejuang Islam paling kurang menjadikan mereka merasa malas bekerja atau suka berehat-rehat atau menangguhkan-nangguhkan kerja.

Sebab yang menjadikan seseorang itu berpenyakit sedemikian ialah:-
a. Keterlaluan di dalam agama, seperti di dalam beri’badat sehingga tidak memberi ruang kepada badan untuk berehat, akhirnya ia menjadi lemah, jemu dan seterusnya bekerja dengan putus-putus atau dengan malas.
b. Menggunakan segala yang harus (makan, minum) dengan melampaui batas, hal ini boleh membawa kepada penguasaan hawa nafsu terhadap seseorang, berat badan menjadi bertambah dan akhirnya terasa malas bekerja.
c. Suka mengasingkan diri daripada jamaah. Akhirnya ia kehilangan para sahabat yang sentiasa memperbaharui kecergasannya.
d. Kurang mengingati mati dan a’lam akhirat.
e. Selalu terjerumus ke dalam ma’siat terutama dalam dosa-dosa kecil dan ia selalu memandang ringan terhadap perkara-perkara tersebut.

(Manakala tambahan daripada kitab ‘Wabak Sepanjang Jalan’ karangan Dr. Al Syed Muhammad Noh.)

f. Pengabaian melakukan ibadah harian.
g. Mengambil makanan yang haram atau syubhah.
h. Penumpuan a’milin ke atas sudut tertentu dari ajaran Islam.
i. Gagal memahami sunnatulLah tentang a’lam dan penghidupan.
j. Mengabaikan hak tubuh badan kerana bebanan tugas dan tanggung jawab di samping kekurangan tenaga a’milin.
k. Tidak bersedia menghadapi halangan dan cabaran dalam perjuangan.
l. Mendampingi golongan yang tidak berjiwa besar.
m. Sambil lewa menjalankan tugas sama ada di peringkat individu atau di peringkat jamaah.

Cara hendak mengubati al-Futur (tambahan daripada kitab ‘Wabak Sepanjang Jalan’ karangan Dr. Al Syed Muhammad Noh)

1. Menjauhkan diri dari melakukan ma’siat sama ada yang besar mahupun kecil.
2. Berterusan melakukan ibadah harian.
3. Mengintai waktu-waktu yang afdhal untuk beramal dan melakukan ibadah.
4. Membebaskan diri dari begitu keterlaluan di dalam agama.
5. Meletakkan diri dalam dakapan jamaah.
6. Memberi perhatian kepada sunnatullah yang wujud pada manusia dan alam seluruhnya.
7. Bersedia untuk berhadapan dengan halangan.
8. Meneliti dan bertindak secara sistematik dalam pekerjaan.
9. Sentiasa mendampingan orang-orang soleh yang berjihad di kalangan hamba Allah.
10. Memberi hak kepada badan.
11. Menghiburkan perlakuan yang harus .
12. Sentiasa merujuk dan mengkaji buku-buku sirah, sejarah dan biografi.
13. Sentiasa mengingati mati dan soal kubur
14. Sentiasa mengingati syurga dan neraka.
15. Sentiasa menghadiri majlis ilmu.
16. Menerima Islam secara keseluruhan.
17. Melakukan muhasabah ke atas diri dan mengkaji setiap masa.

Sunday, October 24, 2010

Butakah cinta?

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani. Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam serta ahli keluarga baginda dan para sahabat radhiallahu ‘anhum ajma’iin.

Situasi

“Man, cuba kau tengok perempuan tu cantik tak? Tanya seorang remaja kepada kawannya yang sedang melihat computer ribanya. Man menjawab. “Wah cantiknya. Kalau dia menjadi awek aku ok juga ni” Mereka berdua terpesona apabila melihat seorang perempuan yang melintas di hadapan mereka berdua, perempuan itu kelihatannya berpakaian t-shirt lengan pendek, berseluar jeans, tidak bertudung serta memakai minyak wangi. Aku yang sedang mencari maklumat di dalam internet hilang fokus sekejap. Terganggu dengan perbualan budak remaja dan bau semerbak minyak wangi yang dipakai oleh perempuan tersebut.

Hari berikutnya di tempat yang sama. Aku pergi bersama dengan sahabatku bernama Alim (bukan nama sebenar). Dia merupakan seorang sahabat lama ketika menuntut di sebuah universiti. Dia lah satu-satu kawan dan sahabat yang masih rapat sehingga ke hari ini. Walaupun masing-masing sudah berkahwin. Apabila berjumpa, maka kami tidak akan melepaskan peluang untuk berbicara mengenai pelbgai perkara. Ada kalanya kami bergelak ketawa mengenangkan semasa kami belajar dahulu. Sebenarnya masih ada seorang lagi sahabat yang sehingga ke hari ini aku masih belum mendengar beritanya. Entah hidup entah mati.

Jejak kasih

Tiba-tiba singgah di ingatan. “Alim, semoga kita bertiga dapat duduk kembali dan bergelak ketawa bersama.” Ini merupakan satu pesanan bertulis yang aku hantar kepada Alim selepas masing-masing mencari haluan sendiri. Kami terpisah dek di sebabkan pekerjaan. Sahabat yang seorang lagi ini bernama Zuraihi. Dia merupakan lulusan Diploma Quantity Surveyour sama seperti aku juga. Tetapi dia senior satu tahun daripada aku dan mengulang tahun. Dia tinggal di Pasir Mas, Kelantan. Itu sahajalah maklumat yang aku ada. Mudah-mudahan kami dipertemukan kembali.

“Aku nok nikoh sebulan lagi, marilah.” Kata Alim dalam loghat Terengganu. “Insya Allah. Jika tak dok aral melingtang”. “Mung nok nikoh ngang piye Alim?”. Tanyaku kembali dalam loghat Terengganu. “Mung dok kenal perempuan tu tapi dia dok pakai tudung.”Jawab Alim. “Ish. Biar betul mung Alim. Aku cukup respek ah ke mung sebab kahwin dengan seorang janda beranak tiga dan tidak memakai tudung asalnya tapi mung buleh tarbiyah dia untuk memakai tudung. Aku pung dok mampu nok wat macam mung ni. Kena wi tabik spring ke mung.”

Cinta tidak kenal siapa.

Begitulah tahap kemampuan seseorang. “Mung seorang yang hebat Alim.” Getus hatiku. Semoga sahabatku itu hidup berkekalan sehingga ke syurga. Insya Allah. Setiap hambanya berbeza dari segi tahap keimanan dan berbeza tahap ujian serta cabaran hidup seseorang. Begitu juga dengan persoalan cinta. Ada orang bercinta atas dasar nafsu semata-mata dan ada orang mencari pasangan atas dasar ingin melahirkan zuriat yang soleh dan solehah. Dan begitu juga dengan kecantikan seseorang perempuan. Ianya dinilai dari sudut pandangan yang berbeza. Seperti dialog yang paling awal tersebut. Kecantikan perempuan itu dinilai dari sudut langsung tidak memakai pakaian Islam dan tidak menutup aurat.

Dengan berlengan pendek dan tidak memakai tudung jelas tidak melambangkan seorang wanita muslim. Seperti yang kita semua ketahui bahawa lengan seorang wanita adalah aurat yang hendaklah ditutup rapi. Tudung apatah lagi. Seorang perempun yang mengaku Islam wajib memakai tudung sehingga menutupi dada serta memakai pakaian yang berlengan panjang dan labuh hingga ke punggung dan memakai stokin. Ini jelas bahawa aurat perempuan hendaklah ditutup kesemua sekali kecuali muka dan kedua-dua tapak tangan. Pendapat ini disepakati oleh sebahagian besar ulama’. Adapun jika ada yang mengenakan niqab, itu merupakan perkara yang khilaf di kalangan para ulama’.

Ada yang menilai kecantikan seseorang perempuan itu apabila perempuan memakai pakaian Islam itu mengenakan tudung dan menutup aurat dengan sempurna. Ini bergantung kepada cita rasa lelaki yang menilai kecantikan seseorang perempuan. Pernah sekali aku diperli oleh ketika menegur seseorang perempuan yang ketika itu praktikal sekali denganku di sebuah Jabatan.

Kaki itu aurat

Aku ditempatkan di bawah seliaan seorang Juru Ukur Bahan. Kataku kepada perempuan yang juga masih menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM) ketika itu. “Kaki itu aurat”. Dek kerana teguran yang aku lontarkan itu dianggap remeh oleh Penyelia tersebut menyebabkan dia melukis peristiwa tersebut dalam bentuk kartun dan keesokannya aku dapati ianya ditampal di dinding cermin bilik kami ditempatkan. Kami ditempatkan satu bilik dengan penyelia tersebut. Apa yang teman-teman pengunjung dapat gambarkan di pemikiran akan peristiwa tersebut?

Entahlah apa niat sebenar penyelia tersebut menampalkan kartun tersebut wallahu a’lam. Tetapi diriku lebih cenderung untuk mengatakan ianya merupakan satu sindiran kepadaku. Ini kerana rata-rata perempuan yang kita jumpai tidak menutup kakinya dengan stokin. Ini mungkin sudah menjadi kebiasaan di dalam masyarakat kita. Cukup dengan melihat di sekeliling kita. Berapa ramai yang memakai stokin atau kasut dan berapa ramai yang tidak memakai stokin dan berselipar.

Tutup aurat atau bungkus aurat

Sedih kita melihat situasi seperti ini dan masyarakat sudah menjadi begitu keliru dengan istilah ‘menutup aurat’ dengan ‘membungkus aurat’. Di sini beberapa bentuk kekeliruan yang berlaku di dlaam masyarakat hari ini akibat terpengaruh dengan fesyen yang bukan-bukan. Antaranya:-
a. Memakai tudung tetapi memakai t-shirt berlengan pendek.
b. Memakai tudung tetapi sanggul dinaikkan seperti bentuk ‘bonggol unta’
c. Memakai tudung tetapi tidak memakai anak tudung sehinggakan rambut terkeluar dari hujung tudung akibat ditiup angin ketika menunggang motosikal.
d. Memakai tudung tetapi kain tudung nipis sehingga terbayang rambutnya.
e. Memakai tudung tetapi mendedahkan bahagian dada (paling banyak berlaku di dalam masyarakat).
f. Berjubah tetapi ketat sehingga terlihat bentuk tubuh badan.
g. Hanya mengenakan selendang seolah-olah membungkus kepala sahaja.

Panduan Islam

Jelas kepada kita semua fesyen adalah diharuskan sekiranya menepati cita rasa Islam malah lebih-lebih lagilah dituntut jika ianya bertujuan membahagiakan suami yang tercinta. Bukannya kita berfesyen dengan mendedahkan aurat demi hendak menarik lelaki untuk memandangnya malah lebih teruk lagi menarik untuk melakukan penzinaan. Wal ‘iya zubillahi min zaa lik. Mari kita melihat syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh Islam. Antaranya:
a. Menutup seluruh badan kecuali dadurat
b. Pakaian tersebut tebal dan tidak nipis sehingga menampakkan warna kulit.
c. Hendaklah longgar, lapang dan luas.
d. Bukan daripada fabrik yang lembut sehinggakan melekat kepada badan.
e. Tidak mengenakan wangi-wangian.

Jika ada di kalangan kita terlanjur dan ada melakukan perkara yang sedemikian, maka wajiblah kita segera bertaubat kepada Allahu Subhanahu Wata’ala dan bertekad untuk tidak kembali melakukannya.

Wednesday, October 20, 2010

Hendak 1001 Daya Tak Hendak Apakan Daya

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani. Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam serta ahli keluarga baginda dan para sahabat radhiallahu ‘anhum ajma’iin.

Galakan

“Cuba abang buat usrah pada waktu pagi. Mula daripada Tahun Satu inilah kita cuba biasakan adik-adik di KUDQI membina bi’ah solehah di KUDQI ini.” Saran zaujahku beberapa hari sebelumnya. Allah telah mempermudahkan. AlhamdulilLah. Dan ku yakin bahawa ada benarnya kata pepatah Melayu yang berbunyi “Di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Semasa sessi yang lepas ku tidak yakin hendak menjalankan usrah pada waktu pagi tetapi pelajar Tahun Satu inilah pembuka jalan. Semoga ini merupakan satu pertolongan dan petanda yang cukup baik bagi membina satu bi’ah solehah di bumi KUDQI ini. Insya Allah. Ini juga sebagai menyahut cabaran daripada sahabat. Syukran jazilan kutujukan buatmu wahai sahabat.

Bi’ah solehah; tanggungjawab semua

Akan tetapi seperti mana kata sahabat. Hendak mewujudkan satu bi’ah solehah bukan satu kerja yang sangat mudah. Ianya hendaklah dilakukan dengan istiqamah dan perlulah dilakukan secara berkumpulan di samping memerlukan kerjasama semua pihak. Ini termasuklah senior-senior yang masih menuntut di KUDQI dan senior lepasan KUDQI, pensyarah-pensyarah dan seluruh kakitangan KUDQI. Maka untuk mewujudkan satu bi’ah yang baru iaitu bi’ah solehah, ianya akan berjaya jika semuanya berganding bahu ke arah itu. Semoga kita semua diberikan kekuatan olehNya untuk terus ‘thabat’ untuk menjayakan usaha yang murni ini.

Senior-senior hendaklah menunjukkan contoh atau ‘role model’ yang baik kepada adik-adik junior. Baik dari segi akhlaknya mahupun rajin untuk hadir mengikuti kuliah. Ini kerana akhlak yang tidak baik yang ditunjukkan oleh abang-abang senior akan menjadi ikutan kepada junior-junior ini. Budaya yang tidak sihat seharusnya dibuang daripada terus menerus bertapak di KUDQI. Malah jika boleh mencabut akarnya maka kita hendaklah mencabut dengan akar-akarnya sekali. Budaya lepak, budaya malas, budaya meniru di dalam peperiksaan dan lain-lain hendaklah dibuang sama sekali. Saya tidak menafikan di mana-mana institusi pengajian pun ada budaya yang tidak sihat seperti ini. Ini bercanggah dengan sifat seseorang mahasiswa yang sebenar.

Syurga dan neraka

Berbalik kepada usrah yang dijalankan alhamdulillah. Tepat jam 7.00 pagi waktu Malaysia pada 19 hb Oktober 2010, usrah kali pertama dapat dimulakan selepas semua pelajar Tahun Satu dapat dikumpulkan. Kami memulakan sessi usrah dengan masing-masing membaca al-Quranul Kareem 3-4 ayat setiap orang. Jika ada ahli usrah yang salah dari segi makhraj atau pun hukum tajwid, maka ahli ianya akan ditegur oleh saya atau ahli usrah yang lain. Kemudian, semua ahli usrah dikehendaki membaca terjemahannya. Diikuti pula saya akan membuat kesimpulan keseluruhan ayat al-Quran yang dibaca. “Kita di ajar semenjak kecil lagi untuk memilih sama ada hendak ke Syurga atau pun ke Neraka. Dan jelas kepada kita dari mana kita datang dan apa tujuan kita dilahirkan dan akhirnya ke mana kita akan pergi.” Kataku kepada ahli usrah.

Begitu juga dengan ni’mat dimasukkan ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai. Orang Cina cuba untuk membayangkan bagaimana keadaan syurga di dalam cerita-cerita yang mereka terbitkan. Akan tetapi aqal manusia tidak akan sampai untuk mengkhayalkan alam ghaib. Berbeza dengan Nabi Muhamad Sallallahu Alaihi Wassalam yang dapat melihat bagaimana keadaan sebenar Syurga dan Neraka.
“Jika kita biasa mendengar jamaah Tabligh memberikan tazkirah, seringkali di peringatkan dengan tawaran yang Allahu Subhanahu Wa’taala akan mengurniakan isteri-isteri yang suci di syurga nanti. Dengan kata lain ialah bidadari. Makanan-makanan di dalam syurga dan berbagai ni’mat lagi yang akan diperolehi oleh orang-orang yang melakukan a’malan yang soleh.” Kataku lagi.

Memecahkan tradisi

Selepas itu diadakan sedikit sessi taaruf dan akhirnya saya menyentuh sedikit berkenaan dengan teks usrah “Membina Fikrah Harakiyyah Islamiyyah (Himpunan Teks Usrah), Lajnah Penerbitan Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu. Antara yang sempat disentuh ialah maksud sebenar usrah dan apakah tujuan diadakan usrah. Selepas itu kami terpaksa menghabiskan usrah sekitar jam 8.15 pagi untuk mempersiapkan diri ke kuliah. Sebelum menutup pertemuan usrah saya mengakhiri ucapan saya dengan mengucapkan terima kasih kepada ahli-ahli usrah yang hadir.

“Tahniah dan syabas kepada antum semua telah berjaya memecahkan tradisi di KUDQI ini. Semoga ianya berterusan". Insya Allah. Akhirnya kami bersalam dan masing-masing melangkah mencari haluan masing-masing. Alhamdulillah.

Monday, October 18, 2010

What do you do in leisure time?

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani. Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam serta ahli keluarga baginda dan para sahabat radhiallahu ‘anhum ajma’iin.

Kerja rumah

Kepada pengunjung, sila betulkan penggunaan bahasa yang salah di dalam penulisan 'essay' ringkas ini. Ini merupakan 'wajibat' atau 'homework' atau kerja rumah mata pelajaran Bahasa Inggeris. Segala teguran saya dahului dengan ucapan syukran jazilan kathiran.

What do you do in leisure time?

Every people have their hobby at leisur time. I have a hobby in my life too. My hobby is surfing internet and explores it. Beside that, I like to update my blog. Now I’m very happy because I have a personal blog. I created a personal blog to describe and share my thought and opinion about the issues.

Before someone creates the blog, they must think what the purpose they want to create the blog. Before I create the blog, I surfed the internet how to make the simple blog. I searched the article about how to make the simple blog in web ‘Google’. I believed the people used same method to make their blog. Now many people have their blog because to make the blog is very simple and not difficult.

Only referred instructions in article that found in internet the people can produce their blog. There are several purpose people makes their blog such as for business, personal blog, for institutions and others. My blog is very simple and I hope the people can take that advantage from my blog. To go to my blog is very simple also. The people can type the words “di sini ku bermula” in the web Google and than press enter.

I’m very happy because now my blog “di sini ku bermula” placed at the top on web Google. If I have a time, I can updated my blog but if I’m very busy I can’t update my blog regularly. When my blog isn’t update I’m very sad because I can’t shared my opinion to the world. After this I hope I have a time to update my blog regularly.

Penyakit....

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani. Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam serta ahli keluarga baginda dan para sahabat radhiallahu ‘anhum ajma’iin.


Semoga kembali pulih

Apabila bercerita tentang penyakit-penyakit di kalangan manusia yang boleh menyebabkan kematian, pasti kita semua minta dijauhkan daripada penyakit tersebut. Sememangnya kita semua sudah mengetahui antara penyakit-penyakit tersebut. Antaranya ialah kanser, serangan jantung yang disebabkan tekanan darah tinggi, kencing manis dan lain-lain. Ada sahabat yang kini sedang menderita menghadapi penyakit buah pinggang yang tidak berfungsi. Kali terakhir saya dan sahabat-sahabat lain menziarahi beliau ialah ketika beliau terlantar di katil hospital. Semoga beliau berada diberikan kesihatan manusia normal yang lain oleh Allah Subhanahu Wata’ala. Amin.

Rahsia

Seringkali kita akan bertanya apakah punca penyakit itu dan penyakit ini. Rata-rata akan ada yang mengatakan ianya berpunca daripada pengambilan pemakanan yang tidak baik dan tidak seimbang. “Tidak elok minum ais sebab boleh melemahkan badan kita”. Tegur saya kepada sahabat yang memesan teh ais (loghat Terengganu teh peng). Kejadian tersebut berlaku di sebuah gerai berhampiran dengan Masjid Rusila ketika minum bersama dengan sahabat-sahabat yang pulang dari Yaman sempena cuti pengajian. Maklumlah sudah lama tidak berjumpa dan tidak minum bersama. Wah rasa macam kat Yaman je cumanya tidak boleh memesan ‘syai halib’ (teh panas dalam bahasa Arab). Banyak juga yang sempat kami sembang. Suasana dan tempat di Yaman yang masih segar di ingatan seringkali singgah di kotak ingatan menyebabkan saya bertanya berkenaan dengan keadaan di Yaman sekarang.

Pernah juga saya bercerita dengan sahabat-sahabat tentang seorang pakcik yang sudah berumur agak tua (mungkin sekitar berumur 80 an) dan masih lagi kuat mengayuh becanya. “Anta hendak tahu apa rahsia pakcik tersebut? Pakcik tersebut memberitahu bahawa dia tidak mengamalkan minum ais.” (loghat Terengganu air batu). Peristiwa ini berlaku beberapa tahun yang lepas dan saya lupa akan tarikhnya. Tetapi peristiwa ini berlaku di Negeri yang bergelar Negeri Serambi Mekah. Keinginan untuk menaiki beca terdetik ketika melihat ada beca yang melalui kawasan di tempat saya dan isteri berada ketika itu. “Jom kita naik beca, lama dah tidak naik beca”. Ajak saya kepada isteri.

Dalam ingatan masa kecil-kecil dahulu pernah saya menaiki beca tapi agak kabur akan ingatan tersebut. Apa yang hendak saya tekankan ialah orang-orang tua (baca lama) memang cukup menjaga akan kesihatan. Itulah sebabnya dalam keadaan berumur pun masih kuat mengayuh beca demi sesuap nasi. Begitu juga dengan da’wah. Apabila ibadah da’wah tidak disuburkan dengan makanan-makanan yang sihat maka ianya juga boleh menyebabkan penyakit-penyakit di jalan da’wah.

Penyakit da’wah

Di sana terdapat penyakit-penyakit yang melanda pada da’ie yang sedang berada di medan da’wah. Penyakit-penyakit tersebut boleh menyebabkan aktiviti da’wah boleh terencat atau tergendala. Malah lebih parah lagi akan menyebabkan ketempangan kepada da’wah dan akhirnya mematikan da’wah itu sendiri. Seperti juga penyakit-penyakit parah yang melanda manusia. Saya berhasrat untuk berkongsi dengan teman-teman pengunjung satu kertas kerja yang bertajuk Penyakit Di Jalan Da’wah. Kertas kerja lama ini saya perolehi ketika saya mengikuti ‘kuliyyah tafaqquh fid din’ anjuran Dewan Pemuda PAS Kawasan Marang. Tarikh yang sempat saya catat pada kulit depan ialah pada 11 hb Mac 2002. Insya Allah untuk artikel yang akan datang saya perincikan akan penyakit-penyakit yang melanda para da’ie. Cukup untuk artikel kali ini saya hanya memperincikan akan penyakit-penyakit tersebut. Antaranya:-
1. ‘Futur’ (pasif)
2. ‘Isti’jal’ (Gopoh)
3. ‘I’jabin nafsi’ (Kagum terhadap diri sendiri)

walLahu a’lam.

Saturday, October 16, 2010

Beratnya hati untuk melepaskanmu

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani. Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam serta ahli keluarga baginda dan para sahabat radhiallahu ‘anhum ajma’iin.

Serah fail Kelab

“Ustaz, ana nak serahkan fail Kelab I’jaazul Ilmi KUDQI”. Kataku kepada Ustaz Nik yang mengajar matapelajaran ‘Ad-da’wah’ untuk semester 1 Tahun 3 Syariah sebelum kelas bermula. “Boleh”. Jawab beliau ringkas. Tapi ku yakin jauh di sudut hatinya merasa kurang seronok dengan apa yang bakal ku lakukan. Dengan kata lain ‘meletak jawatan sebagai Pengerusi Kelab I’jaazul Ilmi KUDQI yang pertama’. Baru saja Kelab I’jaaz hendak berlatih bertatih, dalam keadaan merangkak pengerusinya telah meletak jawatan. Apakan daya, tidak boleh dielakkan lagi.

Setahun yang lalu

Jika diimbas kembali setahun yang lalu semenjak ditubuhkan, Ustaz Nik ada memaklumkan bahawa Kelab I’jaaz di bawah Lajnah Akademik MPMKUDQI. Tetapi kewujudan Kelab I’jaaz tidak begitu kukuh di KUDQI hanya dilihat idea Ustaz Nik semata-mata. “Iqram, Kelab I’jaaz ni di bawah Lajnah Akademik, Ustaz Nik bagitau. Dan datanglah menyuarat Kelab I’jaaz”. Ajakku kepada Pengerusi Lajnah Akademik ketika itu. Mungkin beliau sibuk ketika itu dan kelibat Iqram tidak kelihatan di dalam mesyuarat Kelab I’jaaz. Akhirnya Kelab I’jaaz berjalan tanpa ‘blueprint’ yang mengatakan Kelab I’jaaz di bawah Lajnah Akademik.

Agak rumit sedikit untuk Kelab I’jaaz hendak bergerak di bumi KUDQI memandangkan majoriti mahasiswa KUDQI agak kurang terdedah dengan ilmu-ilmu sains dan kaitannya dan Al-Qur’an. Dengan bilangan mahasiswa yang tidak seramai universiti-universiti yang lain juga menyebabkan Kelab I’jaaz kurang mendapat sambutan. Dengan program yang banyak yang dirancang oleh MPMKUDQI telah menyebabkan tiadanya ruang untuk Kelab I’jaaz untuk merancang program-program I’jaaz. Tambahan pula hampir keseluruhan Ahli Jawatan Kuasa Kelab I’jaaz terdiri daripada Ahli Jawatan Kuasa Lajnah Tarbiyah. Dengan situasi yang sedemikian telah menyebabkan perancangan Kelab I’jaaz tergendala hampir setahun tidak bergerak.

Syukur

Selayaknya kita tetap boleh melahirkan rasa bersyukur kepada Ilahi kerana Kelab I’jaaz berjaya juga untuk mengadakan pameran semasa Majlis Konvokesyen 2 sessi yang lepas. Cumanya diriku mewakili seluruh Ahli Jawatan Kuasa memohon ribuan kemaafan kepada beberapa orang yang telah mendaftar sebagai ahli Kelab I’jaaz. Ada ahli Kelab I’jaaz Ilmi KUDQI yang sedang melanjutkan pelajaran di UIA, Indonesia dan juga di bumi iman dan hikmah (Yaman). Pesanku kepada 2 orang sahabatku di Yaman ambillah peluang untuk mendalami ilmu I’jaaz di sana untuk dibawa pulang dan berkongsi ilmu tersebut dengan masyarakat di Negara kita. Negara kita sebenarnya jauh ketinggalan dari sudut ilmu ini berbanding dengan Yaman.

Dari sudut da’wah islamiyyah, I’jaazul Ilmi (Mukjizat Saintifik) sebenarnya sangat berkesan untuk kita menerapkan ke dalam setiap jiwa hambaNya tentang akidah tauhid. Ini kerana ilmu ini berkait rapat elemen-elemen sains dengan penciptaNya dengan pembuktian yang ada di dalam kitab suci al-Quranul Kareem. Dan ramai saintis Barat yang dikurniakan hidayah dan telah memeluk Islam setelah membuat kajian berkenaan dengan sains dan akhirnya mendapati fakta sains menepati apa yang dicatatkan di dalam al-Quran.

Semalam (14hb Oktober 2010) ku melangkah ke bilik Ustaz Nik sambil membawa Fail Kelab I’jaazul Ilmi untuk diserahkan. “Sebenarnya ana sedih jugak ni Ustaz sebab tiadanya aktiviti yang dijalankan”. Luahku menyatakan apa yang terpendam di hati kerana terpaksa menyerahkan fail tersebut. Akhirnya fail tersebut diserahkan kepada penasihat Kelab I’jaaz berserta beberapa borang ahli, duit Kelab I’jaaz, borang kosang dan Minit Mesyuarat yang lepas. Akhirnya apa yang menjadi harapan agar Kelab I’jaaz ini dapat bergerak semula di bumi KUDQI ini dan mempunyai program-program yang tersusun dibantu oleh Penasihat Kelab I’jaaz, Ustaz Nik Mohd Noor. Insya Allah.

WalLahu a’lam.
Ibnu Ibrahim.

Friday, October 15, 2010

Dah 2 Bulan Rupanya...

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani. Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam serta ahli keluarga baginda dan para sahabat radhiallahu ‘anhum ajma’iin.

Maaf, maaf, maaf.

Terlebih dahulu, maaf, maaf, maaf kepada sahabat-sahabat yang mungkin seringkali datang untuk melihat perkembangan blog ini. Permohonan maaf inilah yang akan saya mulakan jika pada masa-masa yang akan datang blog ini tidak di update dalam jangka waktu yang lama. Insya Allah jika masih diberikan kesempatan waktu dan masa saya akan cuba untuk mengisi blog ini dengan bahan-bahan yang boleh memberikan manfaat buat kita semua. Insya Allah.

Tersenyum saya apabila membuka laman sesawang kesayangan ini apabila hendak mengemaskini blog. Rupa-rupanya sudah 2 bulan tidak terusik. Ini sudah rekod baru ni. Hehe. Banyaknya sawang labah-labah... Cemburu saya melihat blog rakan-rakan yang sentiasa up-to-date blognya. Saya mencuba sedaya upaya agar ianya sentiasa dikemaskini. Perasaan cemburu merupakan fitrah seseorang manusia apabila melihat orang lain lebih terkehadapan di dalam sesuatu perkara. Dalam mata pelajaran 'Da'wah' semalam, kami semua pelajar Tahun 3 Syariah diberikan mauizzah oleh Ustaz Nik berkenaan dengan 'cemburu'. Beliau ada mengatakan bahawa Allah Subhanahu Wata'ala lebih cemburu daripada makhluknya. Allah Subhanahu Wa'taala cemburu melihat hamba-hambanya yang melakukan maksiat kepadanya.

Jika kita melihat di mana-mana dengan mudah kita akan dapati bahawa adanya orang yang tidak segan silu untuk melakukan maksiat. Bergurau senda antara dengan bukan mahram, berbonceng, tidak memakai tudung dan banyak lagi. Itu di tempat yang orang lain boleh melihat perbuatan maksiat tersebut. Di internet apatah lagilah. Moga kita semua dijauhi oleh Allah Subhanahu Wata'ala berdepan dengan makhluk-makhluk tersebut. Dan kita semua dipelihara dan tidak diuji ketika iman kita berada ditahap yang lemah. Amin.

Tahun 3 kena bertanding? Habislah kita.

Berbalik kepada perkara untuk mengemaskini blog, sebenarnya sentiasa terlintas di fikiran akan perkara-perkara yang ingin dikongsi dengan teman-teman pengunjung. Dahulu pernah terlintas untuk menulis berkenaan dengan umur 'blog hijau biru' ini. Tetapi apakan daya ianya ditelan waktu dan zaman. Tahun ini merupakan tahun cabaran buat semua Tahun 3. Tahun ini merupakan tahun akhir bagi yang sedang menuntut di Kolej Universiti Darul Quran Islamiyah (KUDQI). Maka Tahun 3 inilah merupakan tahun untuk memperbaiki result yang terdahulu. Malah mentaliti ini sentiasa berlegar di kalangan mahasiswa Tahun Akhir. Akibat dipengaruhi dengan mentaliti yang pada saya kurang sihat ini telah menyebabkan satu usul khas yang memohon pihak pentadbiran membenarkan mahasiswa Tahun 3 untuk bertanding pilihanraya MPMKUDQI telah ditolak oleh mahasiswa.

Jujur, saya sendiri juga terpengaruh dengan mentaliti seperti ini. Entah kenapakah mentaliti seperti ini sukar untuk dibuang dan dikikis di kalangan mahasiswa. Mungkin disebabkan oleh kemuraman 'budaya i'lmu'. Maka dengan melihat kemasukan mahasiswa Tahun 1 yang baru maka saya berdoa agar 'budaya ilmu' dapat dihidupkan kembali. Saya juga memerlukan doa sahabat-sahabat agar hasrat ini tercapai. InsyaAllah.

Saya ada mengatakan dengan sahabat saya yang juga AJK untuk menggubal Perlembagaan MPMKUDQI, "Allah Subhanahu Wata'ala tidak melihat BERJAYA ATAU TIDAK tetapi apa yang Allah Subhanahu Wata'ala melihat ialah kita buat atau pun tidak". Alhamdulillah itulah ungkapan terbaik untuk menenangkan hati walaupun AJK Perlembagaan tidak berhak untuk mempertahankan usul, tetapi apa yang boleh dilakukan hanya menerang dan menjelaskan sahaja. Tidak perlulah saya nyatakan hujah-hujahnya cukup saya mengatakan bahawa di sana ramai contoh bekas mahasiswa tahun akhir yang cemerlang ketika berada di kampus universiti. Antaranya sebagai contoh Ustaz Zaharudin Abdul Rahman (UZAR). Dalam keadaan beliau memegang amanah kepimpinan peringkat kebangsaan sebagai Bekas Presiden Gamis yang pertama pun masih lagi mampu untuk cemerlang di dalam bidang akademik.

Ini sekaligus membuktikan bahawa jika kita sibuk setakat mana pun tetapi perngorbanan yang kita lakukan demi Islam maka Allah Subhanahu Wata'la akan memberikan kemudahan kepada hambanya mendapatkan keputusan yang cemerlang.

WalLahu A'lam.
Ibnu Ibrahim.

Monday, August 9, 2010

Kedatangan yang dinanti

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani. Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam serta ahli keluarga baginda dan para sahabat radhiallahu ‘anhum ajma’iin.

1001 Peluang keemasan

Hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi seluruh umat Islam akan menyambut bulan yang penuh dengan keberkatan iaitu bulan Ramadhan. Di bulan Ramadhan inilah telah diturunkan kitab suci yang menjadi mu’jizat kepada nabi kita Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam. Selain daripada itu di bulan Ramadhan ini juga bulan yang merupakan satu bulan untuk kita bermuhasabah kembali sejauh manakah kebergantungan kita kepada Allah dalam segala segi sama ada ibadat mahupun muamalat. Bulan yang sangat istimewa ini merupakan satu anugerah tuhan kepada umat Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam untuk memberi peluang kepada umatnya untuk mencari rahmat, keampunan dan kejauhan daripada azab api neraka yang panas membara.

Saya sebagai hamba yang lemah menyeru diri ini dan juga teman-teman pengunjung sekalian untuk memaksimakan amalan kebaikan di bulan yang penuh dengan keberkatan ini. Justeru akan menghasilkan impak yang maksima. Ini kerana pada bulan inilah pintu-pintu syurga yang penuh dengan keni’matan dibuka seluas-luasnya. Manakala pintu-pintu neraka yang penuh dengan azab yang sangat pedih dikunci rapat-rapat. Dan juga musuh yang sentiasa mengganggu anak adam dibelenggu sekemas-kemasnya. Semoga ramadhan pada kali ini merupakan ramadhan yang lebih baik berbanding dengan tahun-tahun sebelum ini.

Meriahkan Ramadhan

Terlebih dahulu saya memohon ribuan kemaafan kerana saya lebih suka untuk berkongsi pengalaman Ramadhan di bumi iman dan hikmah. Yaman merupakan satu-satu Negara yang berada di luar yang pernah saya bermastautin. Alhamdulillah. Setinggi-tinggi kesyukuran ku panjatkan untukMu kerana diberikan peluang dan kesempatan berada di bumi iman dan hikmah.

Mungkin suasana masyarakat Yaman yang sentiasa gelut dengan perkara keakhiratan melebihi perkara keduniaan dan menanti-nanti akan kehadiran bulan yang mulia menyebabkan meriahnya suasana menyambut ketibaan bulan Ramadhan. Pengalaman beri’tikaf selama satu minggu pada minggu terakhir merupakan pengalaman yang sangat manis. Isteri ditinggalkan dan saya bersama dengan beberapa teman-teman berada di masjid selama satu minggu tersebut. Kami langsung tidak keluar dari masjid sehingga ke malam hari raya Ei’dul Fitri.

Suasana seperti itu mungkin sukar untuk kita dapati di bumi Malaysia ini. Mungkin ada sesetengah tempat yang mengadakan program I’tikaf seumpama itu. Program yang kami, di bumi iman dan hikmah sertai dianjurkan oleh satu kelab di bawah institusi masjid dan setiap peserta akan dikenakan yuran penyertaan untuk kos penginapan dan juga makan sahur dan berbuka puasa. Teringat saya akan saat hari pertama kami I’tikaf iaitu ketika berbuka puasa. Kami disajikan dengan nasi dengan lauk seekor ayam (nasi mandy) yang diletakkan di atas talam. Setiap talam boleh dimakan seramai 5 – 6 orang. Walaupun dalam keadaan yang kurang selesa iaitu dalam keadaan mencangkung dan hanya sedikit seorang yang sempat menjamah nasi tetapi dek kerana kesedapan menu berbuka puasa pada hari pertama menyebabkan segala kekurangan tidak dirasai. Saat seperti itu ditunggu-tunggu hingga ke saat terakhir beri’tikaf. Sepanjang I’tikaf kami dibahagikan kepada kumpulan bercampur dengan ‘foreigner’ dan makan bersama dengan ahli kumpulan sepanjang I’tikaf.

Ahlan wa sahlan wa marhaban ya Ramadhan

Antara yang boleh memeriahkan suasana menyambut kehadiran Ramadhan boleh dilakukan dengan menggantung banner-banner yang mempamerkan ayat-ayat galakan untuk menggandakan pahala di bulan Ramdhan. Di samping itu diedar juga poster-poster atau juga risalah-risalah yang boleh menaikkan semangat pembaca untuk melaksanakan amalan di bulan yang penuh berkat ini.

“Ahlan wa sahlan wa marhaban ya Ramadhan. Selamat datang Ramadhan..dan Ramadhan kareem buat semua pengunjung”

Wednesday, July 14, 2010

Apa Selepas Piala Dunia 2010?

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani. Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam serta ahli keluarga baginda dan para sahabat radhiallahu ‘anhum ajma’iin.

Kembara mencari iman 2

Alhamdulillah 4hb – 6hb Julai 2010 yang lepas satu lagi Tamrin Tahun Akhir untuk tahun 3 telah berjaya dilaksanakan. Saya difahamkan ini merupakan kali pertama tamrin berkonsepkan perkhemahan dijalankan untuk mahasiswa KUDQI. Tahniah kepada seluruh ahlijawatankuasa pelaksana yang terdiri daripada Lajnah Tarbiyah dan Majlis Perwakilan Mahasiswa KUDQI kerana membuat satu lagi pembaharuan untuk KUDQI. Tamrin untuk tahun akhir dilaksanakan bertujuan supaya mahasiswa yang akan mengakhiri pengajian dan akan melangkah ke dunia luar mempunyai persediaan dari segala segi. Pelbagai mehnah dan tribulasi yang akan menunggu mahasiswa yang akan berada di dalam masyarakat. Cuba bayangkan jika mereka ini tidak di dedahkan bagaimana realiti sebenar masyarakat, akan berlakulah ketempangan bagaimana untuk menyampaikan da’wah dengan lebih berkesan.

Sebenarnya secara peribadi walaupun kita sebagai ahli jawatankuasa pelaksana dan pada masa yang sama mengikuti segala aktiviti maka kita juga merasai apa yang peserta rasa. Pernah saya nyatakan kepada sahabat bahawa tamrin adalah merupakan satu wadah untuk kita menaikkan kembali iman kita. Ini kerana selama tiga hari terpisah dengan dunia luar yang penuh dengan pancaroba yang boleh melemahkan iman kita. Boleh dikatakan bahawa tamrin adalah merupakan satu pakej yang lengkap untuk kita kembali mendekatkan diri kita kepada Tuhan. Semoga pelajar tahun akhir berjaya menempuh alam selepas pengajian dengan Berjaya dan cemerlang dengan berbekalkan apa yang diperolehi semasa tamrin dijalankan. Manakala kepada pelajar tahun akhir yang akan menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi saya mendoakan agar sahabat-sahabat berjaya sehingga ke peringkat PHD insya Allah.

Piala dunia; melalaikan atau da’wah?

Antara aktiviti yang dijalankan ialah slot yang mana ianya melatih peserta untuk berani tampil ke hadapan. Di samping itu jua ianya menguji keberanian peserta untuk memberikan komentar berkenaan dengan tajuk yang diberi. Di dalam slot ini saya diminta untuk menjadi pengkritik. Sebenarnya saya bukanlah orang yang paling layak untuk menjadi pengkritik. Apa pun saya mencuba yang terbaik setakat yang saya mampu. Saya pun dalam proses belajar.

Ada seorang peserta diminta untuk memnghuraikan satu tajuk yang berbunyi “Piala dunia; melalaikan atau da’wah?”. Selepas peserta tersebut memberikan komentarnya maka saya pula memberikan kritikan berkenaan dengan isi. Apa jawapan saya?

Saya mengatakan bahawa memang ‘ya’ menonton Piala dunia melalaikan tetapi kita yang terlibat secara langsung di dalam medan siasah dan da’wah perlulah mengambil peluang ini untuk menyampaikan da’wah kepada remaja. Peluang keemasan ini perlulah diambil dengan sebaiknya untuk kita menyampaikan da’wah islam. Kita juga boleh melihat apa yang telah dilaksanakan oleh as-Syahid Imam Hassan al-Banna yang pergi ke kedai-kedai kopi untuk menyampaikan ucapan berbentuk da’wah. Tindakan ini telah Berjaya menarik ribuan pemuda dan pemudi kembali kepada cahaya Islam. Itulah ayat terakhir di dalam komentar saya tersebut. Saya juga teringat akan inisiatif yang telah dimainkan oleh sahabat ketika berada di dalam Pemuda Hulu Kelang satu ketika dahulu. Kita di waktu itu telah memainkan peranan mengedarkan poster jadual perlawanan bola berbentuk da’wah.

Sambutan Isra’ Mi’raj; antara sedar dan tidak

Piala Dunia telah pun berakhir dengan Piala Dunia 2010 berjaya dirangkul oleh Sepanyol yang telah mengalahkan Belanda 1-0. Bagi penyokong Sepanyol melahirkan rasa puas setelah hampir berminggu bersengkang mata semata mahu memberikan sokongan moral kepada pasukan yang diminati. Manakala bagi penyokong yang mana pasukannya kalah, maka saat inilah yang digunakan untuk mengqada’ kembali tidur yang tidak teratur sebelum ini.

Satu hari lagi 27hb Rejab bakal menjelma. Lazimnya apabila tibanya 27hb Rejab setiap tahun umat Islam akan menyambut sambutan Isra’ dan Mi’raj. Satu persoalan yang ingin saya lontarkan kepada diri saya sendiri dan buat para pengunjung sekalian. Mampukah sambutan Isra’ Mi’raj menyaingi kemeriahan sambutan Piala Dunia 2010 yang telah berlalu?

Maka saya yakin setiap orang yang mempunyai kesedaran akan mempunyai harapan yang sama dengan saya agar sambutan Isra’ Mi’raj juga bakal meriah sebagaimana meriahnya sambutan Piala Dunia 2010. Ini kerana peristiwa Isra’ dan Mi’raj mempunyai pengajaran yang sangat besar kepada kita selaku umat yang mengaku umat Nabi Muhamad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam.

Sunday, July 11, 2010

Mati tetapi hidup

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani. Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam serta ahli keluarga baginda dan para sahabat radhiallahu ‘anhum ajma’iin.

Isu-isu yang melanda

Terlebih dahulu saya menyusun 10 jari kerana sudah lama tidak mengemaskini blog. Pelbagai perkara yang menghalang. Banyak perkara yang tidak sempat saya memberikan komentar dan pandangan berkenaan dengan dengan isu-isu yang melanda umat islam sama ada di Malaysia atau pun luar Negara.

Antaranya muktamar PAS, penubuhan bank bayi dan yang terkini PAS dituduh mengamalkan ajaran sesat. Tuduhan yang tidak berasas ini telah dibuat oleh seorang yang berstatus menteri. Pada saya tuduhan ini sangat berat dan perlu kepada bukti yang jelas untuk mengaitkan PAS dengan ajaran sesat. Sebenarnya sudah banyak kali PAS dikaitkan dengan perkara-perkara yang tidak masuk aqal. PAS pernah dikaitkan dengan keganasan. PAS dituduh sebagai rangkaian pengganas dengan dikaitkan dengan al-Maunah, peristiwa di Sauk dan JI dan KMM.

Alhamdulillah segala tuduhan yang dilempar atas dasar perasaan hasad dengki telah berjaya ditepis dengan mudah oleh kepimpinan PAS yang bijaksana. Terutamanya Allahyarham al-fadhil Ustaz Fadhil Noor. Semoga roh beliau sentiasa berada bersama pejuang-pejuang yang gugur syahid dalam usaha menegakkan kalimah Allah yang tinggi.

Syuhada' Mavi Marmara

Mendengar pengalaman yang diceritakan dalam oleh sukarelawan yang terlibat dan membaca di media-media yang melaporkan sebenarnya Israel takut dan hanya berani di sebalik topeng. Itulah sebenarnya sifat sebenarnya. Jabhah Ulama’ Al-Azhar mengatakan “Syahid di Laut, Syahid Paling Mulia”. Katanya lagi “Sungguh amat mulia anda…… mulianya jihad anda”. Di antara senarai syuhada tersebut yang paling muda sekali gugur syahid berumur 19 tahun. Beruntungnya pemuda tersebut. Jika dibandingkan dengan remaja di Negara kita dalam umur sedemikian tenggelam dalam arus zaman. Sedih kita memikirkan keadaan remaja kita. Dalam umur remaja mereka dileka dengan keseronokan dunia yang sementara yang tidak mempunyai masa depan. Ramai yang terlibat dengan gejala sosial, zina, buang bayi dan pelbagai masalah lagi.

Berbeza dengan Furkan Dogan, dia jelas akan matlamat sebenar kita dilahirkan di atas muka bumi ini. Tidak lain dan tidak bukan untuk mengabdikan diri kepadaNya dalam apa jua keadaan sekalipun. Dia tahu bahawa hidup yang kekal abadi adalah di sana dan bukannya di sini. Di sini tempat untuk bercucuk tanam manakala di akhirat sana tempat kita menuai hasilnya. Furkan Dogan antara yang 9 orang yang ditembak mati oleh Israel laknatulLah. Betapa jahatnya Israel dan sememangnya Israel jahat dan perangai seperti binatang buas yang hanya menunggu mangsanya untuk diterkam.

Semoga roh para syuhada' Gaza ditempatkan bersama syuhada'-syuhada' yang telah pergi dahulu menemui RabbNya. Sebenarnya mereka yang gugur di jalanNya bukan mati bahkan mereka hidup di sisi TuhanNya dengan mendapat rezeki. Marilah kita sedekahkan al-Fatihah kepada para Syuhada'.

Firman Allah Taala di dalam Surah Ali-Imran : Ayat 169 - 171.





Berikut adalah senarai yang gugur syahid adalah seperti berikut:

1. Ibrahim Bilgen, 61, seorang jurutera elektrik dari Siirt, Turki. Ahli Chamber of Electrical Engineers di Turki, berkahwin dan mempunyai enam orang anak.

2. Ali Haydar Bengi, 39, dari Diyarbakir. Graduan Universiti Al-Azhar, Kaherah, Mesir. Telah berkahwin dan mempunyai empat cahaya mata.

3. Cevdet Kiliçlar, 38, Seorang wartawan dari Kayseri, Turki. Telah berkahwin dan mempunyai dua orang putera.

4. Çetin Topçuoglu, 54, dari Adana, Turki. Pemain bola amatur dan jurulatih taekwondo yang melatih atlet taekwondo Turki. Berkahwin dan mempunyai seorang cahaya mata.

5. Necdet Yildirim, 32, dari Malatya, Turki. Berkahwin dan mempunyai seorang anak perempuan berusia tiga tahun.

6. Fahri Yaldiz, 43, seorang ahli bomba di Adiyaman, Turki. Telah berkahwin dan mempunyai empat orang anak.

7. Cengiz Songür, 47, dari Izmir, Turki. Berkahwin dan mempunyai tujuh orang anak.

8. Cengiz Akyüz, 41, dari Iskenderun, Turki. Berkahwin dan mempunyai anak berusia 14, 12 dan 9 tahun.

9. Furkan Dogan, 19, as-syahid termuda dalam kalangan yang syahid, merupakan pelajar Kayseri High School. Anak kepada Dr. Ahmet Dogan, seorang professor di Erciyes University. Warganegara Turki-Amerika dan mempunyai dua adik beradik.

Pejuang Gaza

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani. Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam serta ahli keluarga baginda dan para sahabat radhiallahu ‘anhum ajma’iin.

Semoga selamat tiba di Gaza

Harakahdaily setakat saat ini melaporkan bahawa konvoi ke Gaza masih terhenti di Lautan Mediteranean. Marilah sama-sama mendoakan ianya selamat tiba ke Gaza. Insya Allah.

Konvoi Gaza berhenti di tengah Laut Mediterranean

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 30 Mei: Konvoi bantuan kemanusiaan antarabangsa ke Gaza masih terhenti di tengah Laut Mediterranean berhampiran perairan Cyprus.

Walaubagaimanapun, lifeline4gaza semalam melaporkan penangguhan itu tidak mengganggu jadual asal konvoi untuk tiba di Gaza.

Dalam satu sidang media di atas kapal Mavi Marmara semalam, Presiden IHH, Bulent Yildirim menjelaskan bahawa konvoi itu masih menunggu sebuah kapal penumpang daripada Cyprus yang akan membawa ahli-ahli parlimen Eropah.

Kapal tersebut dijangka sampai dalam masa terdekat.

Terdahulu, sebuah kapal kargo IHH telah mengalami sedikit kerosakan. Kerosakan tersebut telah dipulihkan sepenuhnya oleh sekumpulan jurutera dan juruselam yang dihantar daripada kapal Mavi Marmara.

Walaubagaimanapun, kapal Rachel Corries yang telah berlepas daripada Ireland dijangka mengambil masa lebih sehari lagi untuk sampai.

Dalam satu kenyataanya, Bulent menegaskan bahawa ancaman berterusan rejim zionis Israel terhadap konvoi kemanusiaan itu sekali-kali tidak membuatkan mereka takut mahupun menukar perancangan.

“Peserta paling muda dalam kapal ini berumur kurang daripada setahun. Peserta paling tua pula berumur lebih daripada 80 tahun.

“Kami tidak membawa sesuatu apa senjata pun. Jadi kalau Israel ingin menggunakan kekerasan terhadap kami, mereka akan benar-benar bertindak di luar akal yang waras,” kata Bulent.

Semua mereka yang menggunakan akal dapat menerima bahawa kapal itu hanya membawa bahan bantuan kemanusiaan.

Ketika ditanya apakah persiapan mereka untuk berhadapan dengan tentera Israel yang mungkin berlaku, Bulent menjawab, “kami tidak bawa apa-apa senjata, kami akan lawan dengan keinginan dan keyakinan kuat kami sahaja”.

“Adalah tidak masuk akal bila mana Israel cuba menentang kami seolah-olah mereka berhadapan dan berperang dengan sebuah negara. Kami hanyalah sebuah konvoi bantuan yang dibawa oleh NGO,” sambung Bulent.

Beliau juga tetap menegaskan pendirian untuk tidak menyerah mana-mana bahan bantuan yang dibawa mahupun peserta-peserta konvoi itu kepada Israel.

Ketika berita ini ditulis, sebuah kapal penumpang baru tiba daripada Sweeden. Kapal itu tidak termasuk dalam peracangan asal, menjadikan jumlah kapal yang menyertai konvoi itu sebanyak tujuh buah.

Sunday, May 23, 2010

Kembara Mencari Iman

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani. Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam serta ahli keluarga baginda dan para sahabat radhiallahu ‘anhum ajma’iin.

Batch pertama mahasiswa KUDQI melepasi trek 'night walk'

Di dalam perjalanan pulang saya mendengar perbualan antara isteri saya dengan peserta yang menumpang kereta saya. Apa yang boleh saya simpulkan ialah apabila tidak didedahkan dengan aktiviti seumpama ini maka kita tidak akan dapat mengetahui sejauhmana kesediaan mahasiswa KUDQI untuk ditarbiyah. Syukur padaMu ya Tuhan.

Antara perbualan di antara isteri dengan peserta tersebut.
Isteri: Seronok tak tamrin?
Peserta: Seronok.
Isteri: Slot mana yang paling seronok?
Peserta: Night walk
Isteri: Walaupun kena pacat?

Alhamdulillah pada semalam, 22 hb Mei 2010 pihak Lajnah Tarbiyah MPMKUDQI telah berjaya melaksanakan satu program Tamrin Marhalah Ta’rif dan Tamrin Marhalah Takween. Program ini telah berlangsung selama 3 hari 2 malam yang bermula semenjak 20 hb Mei 2010 lagi. Akhirnya rindu untuk melaksanakan program-program yang berbentuk tamrin terubat. Ketika berada di Yaman lagi saya menyarankan agar sahabat di sana mengadakan tamrin seperti ini. Memandangkan kemungkinan waqi’ di Yaman tidak sesuai untuk dijalankan tamrin seperti ini maka ianya tidak di adakan.

Di kesempatan ini saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada seluruh AJK pelaksana, fasi dan semua yang terlibat bagi menjayakannya. Juga syabas dan tahniah kepada ‘batch’ pertama pelajar KUDQI yang berjaya melepasi trek yang sediakan. Saya difahamkan oleh al-Fadhil Ustaz Kamaruzaman Mohamad selaku Penasihat Program antara yang mengadakan slot ‘night walk’ seumpama di lokasi ini ialah Pemuda Hulu Terengganu dan selepas itu pelajar KUDQI untuk tamrin pada kali ini. Saya selaku Ketua Unit Pengisian dan Ketua Fasi melahirkan setinggi-tinggi kesyukuran kepada tuhan kerana berjaya mengadakan trek ‘night walk’ yang agak mencabar dan sekaligus membuang persepsi pelajar KUDQI lemah dan manja.

"Kamu semua adalah merupakan pelapis kepada ulama'. Dan kita hendak supaya pelapis ulama' tidak lembik dan lesu.".

Itu merupakan sebahagian petikan maui'zzah yang diberikan oleh Penasihat Program setelah selesai menunaikan Qiamulail di atas pasir di tepi sungai. Mudah-mudahan tamrin pada kali ini mencetus suasana baru kepada pelapis a’milin yang sedang berada di KUDQI sesuai dengan ucapan saya semasa muktamar KUDQI yang lepas.

Saya juga memohon ribuan kemaafan di atas segala kekurangan yang ada dan akan berusaha untuk memperbaiki di masa-masa yang akan datang. Insya Allah.

Ucapan sulung selaku Pengerusi Lajnah Tarbiyah

Pada malam 22 hb Disember 2009 saya diminta untuk memberikan satu ucapan sulung sebagai Pengerusi Lajnah Tarbiyah MPMKUDQI. Memandangkan ada masalah yang tidak mengizinkan dua bulan selepas itu saya terpaksa meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Lajnah Tarbiyah MPMKUDQI. Walaubagaimanapun atas dasar amanah mentarbiyah merupakan tanggungjawab setiap muslim saya akan terus memberikan komitmen di dalam Lajnah Tarbiyah.

Alhamdulillah segala pengalaman yang diperolehi semasa berada di Gombak terutama di dalam Lajnah Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Kawasan Gombak akan digunakan sebaiknya. Insya Allah.

Yang dihormati Tuan Pengerusi Majlis, Yang berbahagia Tuan Presiden dan Ketua HESIS, Yang Berusaha seluruh pimpinan Exco MPM dan HESIS KUDQI serta seluruh mahasiswa dan mahasiswi yang dirahmati Allah Subhanahu Wa Ta’ala sekalian.

Alhamdulillah kita merafa’kan setinggi-tinggi kesyukuran kita kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala di atas kurniaan dua ni’mat yang sangat besar iaitu ni’mat Islam dan ni’mat Iman. Dengan dua ni’mat inilah kita masih lagi dapat menunaikan amanah Allah Subhanahu Wa Ta’ala dengan keadaan baik dan tersusun. Dengan dua ni’mat ini juga kita masih lagi diberikan kesempatan melakukan ibadah kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala dan menuntut ilmu dengan baik. Semoga kita semua terus diberikan kekuatan dan mendapat taufiq dan hidayah agar kita semua dapat terus istiqamah dalam Islam dan Iman.

Tarbiyah nadi organisasi

Tarbiyah merupakan suatu proses pembentukan yang dilakukan untuk membentuk anggota-anggota atau individu-individu Muslim melalui modul @ manhaj tertentu, dengan kaedah tertentu dan dengan matlamat atau tujuan tertentu. Ini bertujuan untuk melahirkan individu yang bersyakhsiah tinggi, berilmu, beriman dan bertaqwa.

Tarbiyah penting kerana ia merupakan proses membersih diri, menanam, melatih, mengubah, membangun dan membina syakhsiah seseorang itu menjadi hambaNya yang ‘aabid, bertaqwa, lebih baik, lebih mulia dan cemerlang di dunia dan di akhirat. Perlu diketahui bahawa tarbiyah merupakan nadi dan tunjang kepada organisasi Islam. Tarbiyah dengan organisasi Islam ibarat isi dengan kuku, ibarat ibu dan anak, ibarat pokok dengan buah, ibarat da’ie dengan da’wah dan ibarat rasul dengan risalah.

Kualiti bukan kuantiti

Tarbiyah adalah tanggungjawab semua pihak dan bukannya hanya diletakkan di atas bahu Lajnah Tarbiyah semata-mata. Apa yang penting ialah hasil yang kita hendak capai ialah kualiti dan bukannya kuantiti. Dan Allah Subhanahu Wa Ta’ala tidak akan bertanya adakah kita berjaya atau tidak tetapi Allah Subhanahu Wa Ta’ala akan bertanya adakah kita melaksanakan amanah tersebut atau tidak. Perlu juga diingatkan bahawa kejayaan yang hendak dicapai bukanlah dalam masa yang singkat tetapi hasilnya boleh dikecapi oleh generasi yang akan datang.

Orang yang berjaya mengikut pandangan Allah Subhanahu Wa Ta’ala

Firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala Surah Ali-Imran: Ayat 104 yang bermaksud:



Pesanan Allahyarham Syeikh Dr. Fathi Yakan

”Tanggungjawab yang besar dan berat yang dibebankan ke atas bahu petugas di medan da’wah membuktikan betapa perjalanan da’wah ini adalah panjang dan jauh, gerak-kerjanya terlalu sukar dan jihadnya adalah sengit.

Oleh yang demikian, mereka yang mengikuti jalan ini wajib mempunyai persediaan untuk menghadapi segala bentuk kekerasan, kesukaran dan pengorbanan.



Surah Al-Ankabut: Ayat 2-3)

Antara pesanan beliau lagi antaranya ialah kita hendaklah:-
1. Mengharapkan keredhaan Allah Subhanahu Wa Ta’ala dan tidak akan mundur di tengah perjalanan dan tidak tergesa-gesa hendak merasai hasil kerja sebelum tiba waktunya.
2. Sekiranya kita berjaya melaksanakan tugas dengan baik, kita hendaklah bersyukur kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Sebaliknya jika kita tidak berjaya melaksanakan tugas dengan baik kita tidak pula berputus asa, tidak kecewa dan tidak akan merasa takut. Bahkan dengan usaha kerja tersebut bermakna mereka telah menunaikan amanah dan telah melaksanakan kewajipan da’wah.

WalLahu A'lam.

Sunday, May 9, 2010

Tidak Rasa Berdosa Sedikit Pun!

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani. Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam serta ahli keluarga baginda dan para sahabat radhiallahu ‘anhum ajma’iin.

Rehlah yang merehatkan fikiran

Alhamdulillah saya berkesempatan untuk bersama menyertai rehlah muslimat ke Lata Cangkah, Setiu pada hari semalam 08 Mei 2010. Saya bersama dengan isteri menaiki sebuah kereta bersama 2 buah kenderaan menuju ke destinasi pada awal pagi. Kami disediakan roti dan juga air mineral sebagai sarapan pagi. Rehlah yang terakhir yang saya sertai ialah rehlah bekas-bekas pelajar Yaman di Belukar Bukit. Rehlah adalah salah satu cara untuk ‘release tention’ setelah kepala dibebankan dengan tugasan pelajaran dan juga kerja sampingan. Rehlah juga merupakan salah satu cara tarbiyah Islamiyyah. Antara lain lagi cara tarbiyah Islamiyyah ialah jaulah, mukhayyam, tamrin, lawatan dan lain-lain lagi.

Bestnya mandi

Saya dan beberapa rakan yang mengiringi muslimat ke tempat program mula mencari tempat yang sesuai untuk mandi. Muslimat mempunyai aktiviti yang padat dengan pengisian yang telah dirancangkan. Semasa mandi, kami ditegur oleh seorang pemuda yang lebih awal mandi daripada kami. Saya yang mengenakan baju ‘Moonson PAS’ mengambil kesempatan untuk mendekati budak muda tersebut. Alhamdulillah walaupun saya dan sahabat memakai baju yang berbaur politik mereka boleh menegur kami.

Dengan kemahiran berenang semenjak kecil lagi memudahkan saya untuk berenang. Berenang merupakan salah satu daripada sunnah Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam di samping memanah dan juga menunggang kuda. Kami mandi sehingga kami merasa puas dan terasa akan kesejukan air yang mengalir di celah-celah batu-batu bukit. Kepenatan memandu sejauh lebih kurang 80km hilang bersama dengan dengan air tersebut.

Jesus Chartered Church

Setelah selesai mandi, saya terpandang seorang lelaki Melayu yang agak berumur yang memakai baju t-shirt yang bertulisan yang tidak sepatutnya seorang muslim memakainya. Saya memberanikan diri dan menghampirinya untuk memastikan lagi tulisan yang tertulis pada baju yang dipakai lelaki tersebut.

“Assalamualaikum” Saya memulakan bicara. Salam saya dijawab. Saya berkata kepadanya “Baju abang ada tulisan Jesus tu”. Lelaki tersebut hanya mengangguk mengiyakan tanpa rasa berdosa sedikit pun. Hanya itu sahaja reaksi lelaki tersebut. Anaknya yang masih kecil bertanya. "Kenapa bah?". Saya tidak memastikan apakah respon si ayah kepada anaknya tersebut. Saya terus terpaku diam seribu bahasa dan terus meninggalkan lelaki tersebut sambil mengenangkan perlakuan lelaki tersebut. Apa yang penting ialah sudah selesai tanggungjawab saya untuk menegur perkara yang bertentangan Islam. Perasaan saya tersentuh kerana inilah kali pertama saya melihat di depan mata kasar dan ianya berlaku di negeri yang sekian lama dengan jolokan "Darul Iman".

Sebagai muhasabah bersama, sejauhmanakah pengisian akidah yang sebenar berjalan di negeri "Darul Iman"?

Kenapa nak promosi yang lain daripada Islam?

Allah Subhanahu Wataala menegah kita daripada meniru apa yang dilakukan dan disembah oleh orang-orang kafir. Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Al-Kaafirun : Ayat 2 yang bermaksud:


Rata-rata kita dapat melihat orang Melayu lebih seronok untuk mempromosikan agenda barat berbanding agenda Islam. Pemimpin yang ada sekarang ini lebih gemar mencipta istilah-istilah yang bertujuan untuk mengukuhkan sokongan dan juga istilah-istilah yang mengelirukan. 1Malaysia dan Islam Had-hari boleh dijadikan contoh. Adakah ini juga termasuk di dalam agenda Yahudi atau barat?

Istilah-istilah untuk menguatkan Islam tidak mendapat perhatian. Pelbagai ‘ghazwatul fikr’ ataupun serangan pemikiran yang membelenggu umat Islam hari ini melalui media-media massa. Masuk ke setiap rumah-rumah orang Islam tanpa tapisan ditambah pula dengan slogan-slogan yang mengelirukan yang akhirnya akan menyesatkan.
Begitu juga dengan tulisan-tulisan yang ada pada baju-baju anak-anak muda hari ini. Mereka lebih gemar untuk promosikan kumpulan muzik yang digemari berbanding baju-baju yang bertulisan Islamik. Bagi mereka yang mempunyai kesedaran marilah kita fikir-fikirkan dan renung-renungkan akan nasib yang menimpa Islam.

Tuesday, May 4, 2010

Kes H1N1 Pertama Tahun 2010

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani. Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam serta ahli keluarga baginda dan para sahabat radhiallahu ‘anhum ajma’iin.

Rupanya H1N1 masih aktif

Terkejut juga melihat berita baru-baru ini berkenaan dengan mangsa terbaru yang melibatkan kematian. Yang terkini adalah berlaku pada hari Selasa April 13 2010 yang mana seorang peguam mati akibat virus Influenza A (H1N1). Peguam tersebut merupakan seorang lelaki yang berusia 42 tahun dari Johor Baharu. Bersamalah kita menjaga kebersihan agar kita semua dijauhi daripada wabak ini.

Di bawah ini merupakan berita penuh berkenaan kes terbaru tersebut.

H1N1: Seorang Peguam Lelaki Mangsa Terbaru

PUTRAJAYA: Satu lagi kematian akibat virus Influenza A (H1N1) dicatatkan di negara ini, melibatkan seorang peguam lelaki berusia 42 tahun dari Johor Baharu, semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Ismail Merican berkata lelaki terbabit meninggal dunia ketika dirawat di sebuah hospital swasta di Johor Baharu.

Beliau berkata kematian terbaru itu adalah yang pertama tahun ini, menjadikan jumlah keseluruhan mangsa yang meninggal dunia akibat virus itu meningkat kepada 78 orang, sejak wabak itu dikesan tahun lepas.

"Ujian makmal mengesahkan lelaki itu dijangkiti H1N1. Beliau yang mempunyai faktor risiko obes turut mengalami komplikasi lain termasuk kegagalan ginjal akut dan jangkitan kuman.

"Keadaan beliau yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital berkenaan menjadi semakin tenat dan beliau meninggal dunia semalam disebabkan oleh pneumonia H1N1 dengan 'Acute Respiratory Distress Syndrome," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat teknikal wabak H1N1 di sini hari ini.

Dr Ismail berkata dua kematian yang melibatkan seorang ibu dan anaknya yang baru melahirkan anak kedua di Hospital Melaka pada 31 Mac dan 2 April lepas, bukan disebabkan oleh jangkitan virus H1N1.

"Dua (yang sebelum ini dilaporkan akibat jangkitan H1N1) daripada tiga kematian tahun ini bukan mempunyai kaitan secara langsung dengan H1N1 tetapi yang terbaru (semalam) berkaitan dengan H1N1," katanya.

Dua beranak iaitu Maimunah Dimah, 54, dilaporkan meninggal dunia akibat komplikasi diabetes selepas dimasukkan ke hospital dengan simptom Penyakit Serupa Influenza (ILI) manakala anaknya, Sumarni Mat Nor, 29, yang sedang mengandung 36 minggu dimasukkan ke hospital dengan gejala ILI dan tanda kelemasan bayi dalam kandungan.

Dr Ismail menjelaskan daripada pemantauan berterusan, belum ada tanda-tanda virus H1N1 yang sedang menular ketika ini, mempunyai ciri-ciri berbeza daripada virus sebelum ini, yang boleh menyebabkan gelombang kedua yang lebih serius.

"Oleh itu langkah-langkah pencegahan yang disarankan serta rawatan awal dengan ubat anti viral seharusnya berkesan bagi mengekang penularan jangkitan itu," katanya.

Sementara itu, Dr Ismail berkata sehingga pukul 5.30 petang semalam, jumlah terkumpul kes ILI yang masih dirawat di dalam wad di seluruh negara adalah 678 kes.

Beliau berkata daripada jumlah itu, 66 kes disahkan positif H1N1 manakala lima kes dirawat di ICU.

"Kementerian Kesihatan ingin menjelaskan bahawa penularan H1N1 2009 masih lagi aktif bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di rantau ini dan seluruh dunia.

"Kementerian ingin menegaskan bahawa sememangnya terdapat peningkatan aktiviti jangkitan H1N1 dengan peningkatan bilangan kes-kes positif yang dimasukkan ke hospital dan juga kejadian-kejadian kluster yang berlaku di seluruh negara," katanya.

Dr Ismail berkata bagi mereka yang menunjukkan tanda-tanda ILI dan berterusan selama 48 jam atau ujian pantas influenza adalah positif, rawatan hendaklah dimulakan tanpa memerlukan ujian pengesahan H1N1.

Beliau berkata penutupan sekolah merupakan langkah terakhir sekiranya gejala ILI telah menjejaskan keseluruhan fungsi sekolah terbabit dan ia akan diumumkan oleh Jabatan Pelajaran berkenaan. - BERNAMA

Dipetik daripada mstar

Thursday, April 29, 2010

Lambatnya Negara Kita...

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani. Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam serta ahli keluarga baginda dan para sahabat radhiallahu ‘anhum ajma’iin.

Yaman lebih terkehadapan

Masih jelas di ingatan ketika berada di bumi iman dan hikmah iaitu Yaman yang mana di sana sangat menghormati kaum wanitanya. Di dalam bidang pengangkutan, penumpang lelaki secara automatik akan memberikan tempat duduk kepada wanita di belakang. Tidak berlaku lelaki dan wanita bukan muhrim duduk sebelah menyebelah. Fenomena seperti ini bukannya setahun dua berlaku malah telah lama dipraktikkan di Negara Yaman. Saya sebenarnya sudah lama ingin membuat satu coretan berkenaan dengan Yaman tetapi masa yang tidak mengizinkan. InsyaAllah di masa yang akan datang. Lamanya sebuah negara yang boleh dikatakan maju menyediakan pengasingan terhadap lelaki dan wanita di dalam sistem pengangkutan awam.

LRT bila lagi?

Saya melahirkan rasa bersyukur dengan perkembangan terbaru berkenaan dengan kewujudan gerabak khas untuk wanita di dalam Keretapi Tanah Melayu Berhad. Dan ini sangat bertepatan dengan syariat Islam malah boleh mengurangkan gangguan seksual. Teringat ketika berada di ibu kota dua tiga tahun lepas, apabila hendak menggunakan perkhidmatan LRT kita terpaksa berhimpit-himpit antara lelaki. Fenomena seperti ini sangat mendukacitakan kita. Daripada dulu lagi kita digembar-gemburkan bahawa negara kita sebuah Negara Islam.

Jadi LRT bila lagi? Pengasingan tempat duduk pun sudah cukup kalau tidak hendak mewujudkan gerabak khusus wanita. Apa-pun saya juga mengucapkan syabas dan tahniah kepada KTMB di atas perkembangan terbaru ini.

Di sini disiarkan petikan ucapan Tahniah PAS kepada KTMB. Petikan ini diambil daripada Gerabak untuk wanita

KTMB : PAS Ucap Tahniah dengan wujudnya Gerabak Khas Wanita
April 29, 2010

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mengucapkan tahniah kepada pihak Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) kerana memperkenalkan gerabak khas untuk penumpang wanita KTM Komuter. Ini adalah satu penghormatan kepada kaum wanita dan keunikan buat sistem pengangkutan awam dinegara ini.

PAS amat menyokong langkah ini kerana ia mampu memberikan keselesaan kepada penumpang wanita yang selama ini terpaksa berhimpit-himpit dengan penumpang lelaki khususnya ketika waktu puncak. Malah langkah ini dapat mengurangkan masalah ganguan seksual kepada penumpang wanita.

Langkah ini menepati syariat Islam yang meletakan wanita ditempat paling istimewa yang perlu dilindungi dan dilayani dengan sebaiknya. Kemudahan KTM ini walaupun baru namun diyakini akan mendapat sambutan meluas berikutan jumlah penumpang komuter setiap hari yang ramai.

Perkara ini sudah lama diadakan diluar negara seperti di Jepun dan beberapa negara Eropah. PAS mencadangkan agar selepas ini diwujudkan juga gerabak khas untuk mereka yang bekeluarga dan juga warga emas termasuk golongan OKU bagi memudahkan mereka mendapat perkhidmatan yang lebih baik.

PAS berharap inisiatif ini juga diambil oleh pengusaha pengangkutan awam yang lain agar masalah-masalah penindasan atau pencabulan wanita ditempat awam dapat dikurangkan disamping meningkatkan imej perkhidmatan awam dimata masyarakat.

Ust. Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat

Wednesday, April 21, 2010

Ada Sungai Dalam Laut?

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani. Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam serta ahli keluarga baginda dan para sahabat radhiallahu ‘anhum ajma’iin.

Penemuan yang menakjubkan

Penemuan berkenaan dengan sungai di dalam laut membuktikan kebenaran yang telah diberitahu di dalam al-Quranul Kareem. Firman Allah Subhanahu Wa Ta'ala yang bermaksud: "Dan Dialah yang membiarkan dua laut mengalir (berdampingan) ; yang ini tawar lagi segar dan yang lain masin lagi pahit; dan Dia jadikan antara keduanya dinding dan batas yang menghalangi." (Q.S Al Furqan:53)

Penemuan yang sangat menarik ini ditemui oleh Mr.Jacques Yves Costeau, ia seorang ahli oceanografer dan ahli selam terkemuka dari Perancis dan pernah disiarkan di dalam rancangan TV 'Discovery'. Diberitakan pada suatu hari ketika dia sedang melakukan eksplorasi di bawah laut, tiba-tiba dia menemui beberapa kumpulan mata air tawar-segar yang sangat sedap rasanya kerana tidak bercampur atau tidak melebur dengan air laut yang masin di sekelilingnya, seolah-olah ada dinding atau membran yang membatasi keduanya.


Fenomena ganjil itu memeningkan Mr. Costeau dan mendorongnya untuk mencari penyebab terpisahnya air tawar dari air masin di tengah-tengah lautan. Ia mulai berfikir, jangan-jangan itu hanya halusinansi atau khalayan sewaktu menyelam. Waktu pun terus berlalu setelah kejadian tersebut, namun dia tidak mendapat jawapan yang memuaskan tentang fenomena ganjil tersebut.

Sampai pada suatu hari dia bertemu dengan seorang profesor muslim dan menceritakan tentang fenomena ganjil tersebut. Profesor itu teringat pada ayat Al Quran tentang bertemunya dua lautan (surat Ar-Rahman ayat 19-20) yang sering dikitkankan dengan Terusan Suez. Ayat itu berbunyi "Marajal bahraini yaltaqiyaan, bainahumaa barzakhun laa yabghiyaan... "Ertinya: "Dia biarkan dua lautan bertemu, di antara keduanya ada batas yang tidak boleh ditembus." Kemudian dibacakan surat Al Furqan ayat 53 di atas.


Selain itu, dalam beberapa kitab tafsir, ayat berkenaan bertemunya dua lautan tetapi tidak bercampur airnya diertikan sebagai lokasi muara sungai, di mana terjadi pertemuan antara air tawar dari sungai dan air masin dari laut. Namun tafsir itu tidak menjelaskan ayat berikutnya dari surat Ar-Rahman ayat 22 yang berbunyi "Yakhruju minhuma lu'lu'u wal marjaan" ertinya "Keluar dari keduanya mutiara dan marjan." Padahal di muara sungai tidak ditemukan mutiara.

Lantas terpesonalah Mr. Costeau apabila mendengar ayat-ayat Al Qur'an itu, melebihi kekagumannya melihat keajaiban pemandangan yang pernah dilihatnya di lautan yang dalam. Al Qur'an ini mustahil disusun oleh Nabi Muhammad yang hidup di abad ke tujuh, suatu zaman sebelum adanya peralatan selam yang canggih untuk mencapai lokasi yang jauh terpencil di kedalaman laut yang sangat dalam.

Ini merupakan salah satu daripada mukjizat al-Quran, berita tentang fenomena ganjil 14 abad yang silam akhirnya terbukti pada abad 20. Mr. Costeau pun berkata bahawa Al Qur'an memang sesungguhnya kitab suci yang berisi firman Allah, yang seluruh kandungannya mutlak benar. Dengan seketika dia pun memeluk Islam.

Allahu Akbar...! Mr. Costeau mendapat hidayah melalui fenomena teknologi kelautan. Maha Benar Allah yang Maha Agung. Sadaqallahu Al `Azhim. Rasulullah s.a.w. bersabda: "Sesungguhnya hati manusia akan berkarat sebagaimana besi yang dikaratkan oleh air." Bila seorang bertanya, "Apakah caranya untuk menjadikan hati-hati ini bersih kembali?" Rasulullah s.a.w. bersabda, "Selalulah ingat mati dan membaca Al Quran."


Jika anda seorang penyelam, maka anda harus mengunjungi Cenote Angelita, Mexico. Disana ada sebuah gua. Jika anda menyelam sampai kedalaman 30 meter, airnya air segar (tawar), namun jika anda menyelam sampai kedalaman lebih dari 60 meter, airnya menjadi air asin, lalu anda dapat melihat sebuah "sungai" di dasarnya, lengkap dengan pohon dan daun daunan.

Maklumat tambahan:
1. Artikel ini telah diedit daripada artikel yang asal iaitu daripada versi Indonesia.
2. Terdapat percanggahan fakta mengenai keislaman Jaques Costeau sama ada telah memeluk agama Islam atau sebaliknya. Jika fakta yang sebenar mengatakan bahawa dia masih belum memeluk Islam, maka kita boleh berdoa supaya dia diberikan hidayah oleh Allah Subanhu Wa Taala.
3. Apa yang penting yang hendak disampaikan ialah penemuan ini membuktikan akan kebesaran dan kebenaran al-Quran secara saintifik atau lebih dikenali sebagai I'jaazul Ilmi (Mukjizat Saintifik).