Wednesday, October 20, 2010

Hendak 1001 Daya Tak Hendak Apakan Daya

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani. Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam serta ahli keluarga baginda dan para sahabat radhiallahu ‘anhum ajma’iin.

Galakan

“Cuba abang buat usrah pada waktu pagi. Mula daripada Tahun Satu inilah kita cuba biasakan adik-adik di KUDQI membina bi’ah solehah di KUDQI ini.” Saran zaujahku beberapa hari sebelumnya. Allah telah mempermudahkan. AlhamdulilLah. Dan ku yakin bahawa ada benarnya kata pepatah Melayu yang berbunyi “Di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Semasa sessi yang lepas ku tidak yakin hendak menjalankan usrah pada waktu pagi tetapi pelajar Tahun Satu inilah pembuka jalan. Semoga ini merupakan satu pertolongan dan petanda yang cukup baik bagi membina satu bi’ah solehah di bumi KUDQI ini. Insya Allah. Ini juga sebagai menyahut cabaran daripada sahabat. Syukran jazilan kutujukan buatmu wahai sahabat.

Bi’ah solehah; tanggungjawab semua

Akan tetapi seperti mana kata sahabat. Hendak mewujudkan satu bi’ah solehah bukan satu kerja yang sangat mudah. Ianya hendaklah dilakukan dengan istiqamah dan perlulah dilakukan secara berkumpulan di samping memerlukan kerjasama semua pihak. Ini termasuklah senior-senior yang masih menuntut di KUDQI dan senior lepasan KUDQI, pensyarah-pensyarah dan seluruh kakitangan KUDQI. Maka untuk mewujudkan satu bi’ah yang baru iaitu bi’ah solehah, ianya akan berjaya jika semuanya berganding bahu ke arah itu. Semoga kita semua diberikan kekuatan olehNya untuk terus ‘thabat’ untuk menjayakan usaha yang murni ini.

Senior-senior hendaklah menunjukkan contoh atau ‘role model’ yang baik kepada adik-adik junior. Baik dari segi akhlaknya mahupun rajin untuk hadir mengikuti kuliah. Ini kerana akhlak yang tidak baik yang ditunjukkan oleh abang-abang senior akan menjadi ikutan kepada junior-junior ini. Budaya yang tidak sihat seharusnya dibuang daripada terus menerus bertapak di KUDQI. Malah jika boleh mencabut akarnya maka kita hendaklah mencabut dengan akar-akarnya sekali. Budaya lepak, budaya malas, budaya meniru di dalam peperiksaan dan lain-lain hendaklah dibuang sama sekali. Saya tidak menafikan di mana-mana institusi pengajian pun ada budaya yang tidak sihat seperti ini. Ini bercanggah dengan sifat seseorang mahasiswa yang sebenar.

Syurga dan neraka

Berbalik kepada usrah yang dijalankan alhamdulillah. Tepat jam 7.00 pagi waktu Malaysia pada 19 hb Oktober 2010, usrah kali pertama dapat dimulakan selepas semua pelajar Tahun Satu dapat dikumpulkan. Kami memulakan sessi usrah dengan masing-masing membaca al-Quranul Kareem 3-4 ayat setiap orang. Jika ada ahli usrah yang salah dari segi makhraj atau pun hukum tajwid, maka ahli ianya akan ditegur oleh saya atau ahli usrah yang lain. Kemudian, semua ahli usrah dikehendaki membaca terjemahannya. Diikuti pula saya akan membuat kesimpulan keseluruhan ayat al-Quran yang dibaca. “Kita di ajar semenjak kecil lagi untuk memilih sama ada hendak ke Syurga atau pun ke Neraka. Dan jelas kepada kita dari mana kita datang dan apa tujuan kita dilahirkan dan akhirnya ke mana kita akan pergi.” Kataku kepada ahli usrah.

Begitu juga dengan ni’mat dimasukkan ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai. Orang Cina cuba untuk membayangkan bagaimana keadaan syurga di dalam cerita-cerita yang mereka terbitkan. Akan tetapi aqal manusia tidak akan sampai untuk mengkhayalkan alam ghaib. Berbeza dengan Nabi Muhamad Sallallahu Alaihi Wassalam yang dapat melihat bagaimana keadaan sebenar Syurga dan Neraka.
“Jika kita biasa mendengar jamaah Tabligh memberikan tazkirah, seringkali di peringatkan dengan tawaran yang Allahu Subhanahu Wa’taala akan mengurniakan isteri-isteri yang suci di syurga nanti. Dengan kata lain ialah bidadari. Makanan-makanan di dalam syurga dan berbagai ni’mat lagi yang akan diperolehi oleh orang-orang yang melakukan a’malan yang soleh.” Kataku lagi.

Memecahkan tradisi

Selepas itu diadakan sedikit sessi taaruf dan akhirnya saya menyentuh sedikit berkenaan dengan teks usrah “Membina Fikrah Harakiyyah Islamiyyah (Himpunan Teks Usrah), Lajnah Penerbitan Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu. Antara yang sempat disentuh ialah maksud sebenar usrah dan apakah tujuan diadakan usrah. Selepas itu kami terpaksa menghabiskan usrah sekitar jam 8.15 pagi untuk mempersiapkan diri ke kuliah. Sebelum menutup pertemuan usrah saya mengakhiri ucapan saya dengan mengucapkan terima kasih kepada ahli-ahli usrah yang hadir.

“Tahniah dan syabas kepada antum semua telah berjaya memecahkan tradisi di KUDQI ini. Semoga ianya berterusan". Insya Allah. Akhirnya kami bersalam dan masing-masing melangkah mencari haluan masing-masing. Alhamdulillah.

No comments:

Post a Comment