Sunday, May 23, 2010

Kembara Mencari Iman

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani. Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam serta ahli keluarga baginda dan para sahabat radhiallahu ‘anhum ajma’iin.

Batch pertama mahasiswa KUDQI melepasi trek 'night walk'

Di dalam perjalanan pulang saya mendengar perbualan antara isteri saya dengan peserta yang menumpang kereta saya. Apa yang boleh saya simpulkan ialah apabila tidak didedahkan dengan aktiviti seumpama ini maka kita tidak akan dapat mengetahui sejauhmana kesediaan mahasiswa KUDQI untuk ditarbiyah. Syukur padaMu ya Tuhan.

Antara perbualan di antara isteri dengan peserta tersebut.
Isteri: Seronok tak tamrin?
Peserta: Seronok.
Isteri: Slot mana yang paling seronok?
Peserta: Night walk
Isteri: Walaupun kena pacat?

Alhamdulillah pada semalam, 22 hb Mei 2010 pihak Lajnah Tarbiyah MPMKUDQI telah berjaya melaksanakan satu program Tamrin Marhalah Ta’rif dan Tamrin Marhalah Takween. Program ini telah berlangsung selama 3 hari 2 malam yang bermula semenjak 20 hb Mei 2010 lagi. Akhirnya rindu untuk melaksanakan program-program yang berbentuk tamrin terubat. Ketika berada di Yaman lagi saya menyarankan agar sahabat di sana mengadakan tamrin seperti ini. Memandangkan kemungkinan waqi’ di Yaman tidak sesuai untuk dijalankan tamrin seperti ini maka ianya tidak di adakan.

Di kesempatan ini saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada seluruh AJK pelaksana, fasi dan semua yang terlibat bagi menjayakannya. Juga syabas dan tahniah kepada ‘batch’ pertama pelajar KUDQI yang berjaya melepasi trek yang sediakan. Saya difahamkan oleh al-Fadhil Ustaz Kamaruzaman Mohamad selaku Penasihat Program antara yang mengadakan slot ‘night walk’ seumpama di lokasi ini ialah Pemuda Hulu Terengganu dan selepas itu pelajar KUDQI untuk tamrin pada kali ini. Saya selaku Ketua Unit Pengisian dan Ketua Fasi melahirkan setinggi-tinggi kesyukuran kepada tuhan kerana berjaya mengadakan trek ‘night walk’ yang agak mencabar dan sekaligus membuang persepsi pelajar KUDQI lemah dan manja.

"Kamu semua adalah merupakan pelapis kepada ulama'. Dan kita hendak supaya pelapis ulama' tidak lembik dan lesu.".

Itu merupakan sebahagian petikan maui'zzah yang diberikan oleh Penasihat Program setelah selesai menunaikan Qiamulail di atas pasir di tepi sungai. Mudah-mudahan tamrin pada kali ini mencetus suasana baru kepada pelapis a’milin yang sedang berada di KUDQI sesuai dengan ucapan saya semasa muktamar KUDQI yang lepas.

Saya juga memohon ribuan kemaafan di atas segala kekurangan yang ada dan akan berusaha untuk memperbaiki di masa-masa yang akan datang. Insya Allah.

Ucapan sulung selaku Pengerusi Lajnah Tarbiyah

Pada malam 22 hb Disember 2009 saya diminta untuk memberikan satu ucapan sulung sebagai Pengerusi Lajnah Tarbiyah MPMKUDQI. Memandangkan ada masalah yang tidak mengizinkan dua bulan selepas itu saya terpaksa meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Lajnah Tarbiyah MPMKUDQI. Walaubagaimanapun atas dasar amanah mentarbiyah merupakan tanggungjawab setiap muslim saya akan terus memberikan komitmen di dalam Lajnah Tarbiyah.

Alhamdulillah segala pengalaman yang diperolehi semasa berada di Gombak terutama di dalam Lajnah Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Kawasan Gombak akan digunakan sebaiknya. Insya Allah.

Yang dihormati Tuan Pengerusi Majlis, Yang berbahagia Tuan Presiden dan Ketua HESIS, Yang Berusaha seluruh pimpinan Exco MPM dan HESIS KUDQI serta seluruh mahasiswa dan mahasiswi yang dirahmati Allah Subhanahu Wa Ta’ala sekalian.

Alhamdulillah kita merafa’kan setinggi-tinggi kesyukuran kita kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala di atas kurniaan dua ni’mat yang sangat besar iaitu ni’mat Islam dan ni’mat Iman. Dengan dua ni’mat inilah kita masih lagi dapat menunaikan amanah Allah Subhanahu Wa Ta’ala dengan keadaan baik dan tersusun. Dengan dua ni’mat ini juga kita masih lagi diberikan kesempatan melakukan ibadah kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala dan menuntut ilmu dengan baik. Semoga kita semua terus diberikan kekuatan dan mendapat taufiq dan hidayah agar kita semua dapat terus istiqamah dalam Islam dan Iman.

Tarbiyah nadi organisasi

Tarbiyah merupakan suatu proses pembentukan yang dilakukan untuk membentuk anggota-anggota atau individu-individu Muslim melalui modul @ manhaj tertentu, dengan kaedah tertentu dan dengan matlamat atau tujuan tertentu. Ini bertujuan untuk melahirkan individu yang bersyakhsiah tinggi, berilmu, beriman dan bertaqwa.

Tarbiyah penting kerana ia merupakan proses membersih diri, menanam, melatih, mengubah, membangun dan membina syakhsiah seseorang itu menjadi hambaNya yang ‘aabid, bertaqwa, lebih baik, lebih mulia dan cemerlang di dunia dan di akhirat. Perlu diketahui bahawa tarbiyah merupakan nadi dan tunjang kepada organisasi Islam. Tarbiyah dengan organisasi Islam ibarat isi dengan kuku, ibarat ibu dan anak, ibarat pokok dengan buah, ibarat da’ie dengan da’wah dan ibarat rasul dengan risalah.

Kualiti bukan kuantiti

Tarbiyah adalah tanggungjawab semua pihak dan bukannya hanya diletakkan di atas bahu Lajnah Tarbiyah semata-mata. Apa yang penting ialah hasil yang kita hendak capai ialah kualiti dan bukannya kuantiti. Dan Allah Subhanahu Wa Ta’ala tidak akan bertanya adakah kita berjaya atau tidak tetapi Allah Subhanahu Wa Ta’ala akan bertanya adakah kita melaksanakan amanah tersebut atau tidak. Perlu juga diingatkan bahawa kejayaan yang hendak dicapai bukanlah dalam masa yang singkat tetapi hasilnya boleh dikecapi oleh generasi yang akan datang.

Orang yang berjaya mengikut pandangan Allah Subhanahu Wa Ta’ala

Firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala Surah Ali-Imran: Ayat 104 yang bermaksud:



Pesanan Allahyarham Syeikh Dr. Fathi Yakan

”Tanggungjawab yang besar dan berat yang dibebankan ke atas bahu petugas di medan da’wah membuktikan betapa perjalanan da’wah ini adalah panjang dan jauh, gerak-kerjanya terlalu sukar dan jihadnya adalah sengit.

Oleh yang demikian, mereka yang mengikuti jalan ini wajib mempunyai persediaan untuk menghadapi segala bentuk kekerasan, kesukaran dan pengorbanan.



Surah Al-Ankabut: Ayat 2-3)

Antara pesanan beliau lagi antaranya ialah kita hendaklah:-
1. Mengharapkan keredhaan Allah Subhanahu Wa Ta’ala dan tidak akan mundur di tengah perjalanan dan tidak tergesa-gesa hendak merasai hasil kerja sebelum tiba waktunya.
2. Sekiranya kita berjaya melaksanakan tugas dengan baik, kita hendaklah bersyukur kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Sebaliknya jika kita tidak berjaya melaksanakan tugas dengan baik kita tidak pula berputus asa, tidak kecewa dan tidak akan merasa takut. Bahkan dengan usaha kerja tersebut bermakna mereka telah menunaikan amanah dan telah melaksanakan kewajipan da’wah.

WalLahu A'lam.

Sunday, May 9, 2010

Tidak Rasa Berdosa Sedikit Pun!

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani. Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam serta ahli keluarga baginda dan para sahabat radhiallahu ‘anhum ajma’iin.

Rehlah yang merehatkan fikiran

Alhamdulillah saya berkesempatan untuk bersama menyertai rehlah muslimat ke Lata Cangkah, Setiu pada hari semalam 08 Mei 2010. Saya bersama dengan isteri menaiki sebuah kereta bersama 2 buah kenderaan menuju ke destinasi pada awal pagi. Kami disediakan roti dan juga air mineral sebagai sarapan pagi. Rehlah yang terakhir yang saya sertai ialah rehlah bekas-bekas pelajar Yaman di Belukar Bukit. Rehlah adalah salah satu cara untuk ‘release tention’ setelah kepala dibebankan dengan tugasan pelajaran dan juga kerja sampingan. Rehlah juga merupakan salah satu cara tarbiyah Islamiyyah. Antara lain lagi cara tarbiyah Islamiyyah ialah jaulah, mukhayyam, tamrin, lawatan dan lain-lain lagi.

Bestnya mandi

Saya dan beberapa rakan yang mengiringi muslimat ke tempat program mula mencari tempat yang sesuai untuk mandi. Muslimat mempunyai aktiviti yang padat dengan pengisian yang telah dirancangkan. Semasa mandi, kami ditegur oleh seorang pemuda yang lebih awal mandi daripada kami. Saya yang mengenakan baju ‘Moonson PAS’ mengambil kesempatan untuk mendekati budak muda tersebut. Alhamdulillah walaupun saya dan sahabat memakai baju yang berbaur politik mereka boleh menegur kami.

Dengan kemahiran berenang semenjak kecil lagi memudahkan saya untuk berenang. Berenang merupakan salah satu daripada sunnah Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam di samping memanah dan juga menunggang kuda. Kami mandi sehingga kami merasa puas dan terasa akan kesejukan air yang mengalir di celah-celah batu-batu bukit. Kepenatan memandu sejauh lebih kurang 80km hilang bersama dengan dengan air tersebut.

Jesus Chartered Church

Setelah selesai mandi, saya terpandang seorang lelaki Melayu yang agak berumur yang memakai baju t-shirt yang bertulisan yang tidak sepatutnya seorang muslim memakainya. Saya memberanikan diri dan menghampirinya untuk memastikan lagi tulisan yang tertulis pada baju yang dipakai lelaki tersebut.

“Assalamualaikum” Saya memulakan bicara. Salam saya dijawab. Saya berkata kepadanya “Baju abang ada tulisan Jesus tu”. Lelaki tersebut hanya mengangguk mengiyakan tanpa rasa berdosa sedikit pun. Hanya itu sahaja reaksi lelaki tersebut. Anaknya yang masih kecil bertanya. "Kenapa bah?". Saya tidak memastikan apakah respon si ayah kepada anaknya tersebut. Saya terus terpaku diam seribu bahasa dan terus meninggalkan lelaki tersebut sambil mengenangkan perlakuan lelaki tersebut. Apa yang penting ialah sudah selesai tanggungjawab saya untuk menegur perkara yang bertentangan Islam. Perasaan saya tersentuh kerana inilah kali pertama saya melihat di depan mata kasar dan ianya berlaku di negeri yang sekian lama dengan jolokan "Darul Iman".

Sebagai muhasabah bersama, sejauhmanakah pengisian akidah yang sebenar berjalan di negeri "Darul Iman"?

Kenapa nak promosi yang lain daripada Islam?

Allah Subhanahu Wataala menegah kita daripada meniru apa yang dilakukan dan disembah oleh orang-orang kafir. Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Al-Kaafirun : Ayat 2 yang bermaksud:


Rata-rata kita dapat melihat orang Melayu lebih seronok untuk mempromosikan agenda barat berbanding agenda Islam. Pemimpin yang ada sekarang ini lebih gemar mencipta istilah-istilah yang bertujuan untuk mengukuhkan sokongan dan juga istilah-istilah yang mengelirukan. 1Malaysia dan Islam Had-hari boleh dijadikan contoh. Adakah ini juga termasuk di dalam agenda Yahudi atau barat?

Istilah-istilah untuk menguatkan Islam tidak mendapat perhatian. Pelbagai ‘ghazwatul fikr’ ataupun serangan pemikiran yang membelenggu umat Islam hari ini melalui media-media massa. Masuk ke setiap rumah-rumah orang Islam tanpa tapisan ditambah pula dengan slogan-slogan yang mengelirukan yang akhirnya akan menyesatkan.
Begitu juga dengan tulisan-tulisan yang ada pada baju-baju anak-anak muda hari ini. Mereka lebih gemar untuk promosikan kumpulan muzik yang digemari berbanding baju-baju yang bertulisan Islamik. Bagi mereka yang mempunyai kesedaran marilah kita fikir-fikirkan dan renung-renungkan akan nasib yang menimpa Islam.

Tuesday, May 4, 2010

Kes H1N1 Pertama Tahun 2010

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani. Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam serta ahli keluarga baginda dan para sahabat radhiallahu ‘anhum ajma’iin.

Rupanya H1N1 masih aktif

Terkejut juga melihat berita baru-baru ini berkenaan dengan mangsa terbaru yang melibatkan kematian. Yang terkini adalah berlaku pada hari Selasa April 13 2010 yang mana seorang peguam mati akibat virus Influenza A (H1N1). Peguam tersebut merupakan seorang lelaki yang berusia 42 tahun dari Johor Baharu. Bersamalah kita menjaga kebersihan agar kita semua dijauhi daripada wabak ini.

Di bawah ini merupakan berita penuh berkenaan kes terbaru tersebut.

H1N1: Seorang Peguam Lelaki Mangsa Terbaru

PUTRAJAYA: Satu lagi kematian akibat virus Influenza A (H1N1) dicatatkan di negara ini, melibatkan seorang peguam lelaki berusia 42 tahun dari Johor Baharu, semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Ismail Merican berkata lelaki terbabit meninggal dunia ketika dirawat di sebuah hospital swasta di Johor Baharu.

Beliau berkata kematian terbaru itu adalah yang pertama tahun ini, menjadikan jumlah keseluruhan mangsa yang meninggal dunia akibat virus itu meningkat kepada 78 orang, sejak wabak itu dikesan tahun lepas.

"Ujian makmal mengesahkan lelaki itu dijangkiti H1N1. Beliau yang mempunyai faktor risiko obes turut mengalami komplikasi lain termasuk kegagalan ginjal akut dan jangkitan kuman.

"Keadaan beliau yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital berkenaan menjadi semakin tenat dan beliau meninggal dunia semalam disebabkan oleh pneumonia H1N1 dengan 'Acute Respiratory Distress Syndrome," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat teknikal wabak H1N1 di sini hari ini.

Dr Ismail berkata dua kematian yang melibatkan seorang ibu dan anaknya yang baru melahirkan anak kedua di Hospital Melaka pada 31 Mac dan 2 April lepas, bukan disebabkan oleh jangkitan virus H1N1.

"Dua (yang sebelum ini dilaporkan akibat jangkitan H1N1) daripada tiga kematian tahun ini bukan mempunyai kaitan secara langsung dengan H1N1 tetapi yang terbaru (semalam) berkaitan dengan H1N1," katanya.

Dua beranak iaitu Maimunah Dimah, 54, dilaporkan meninggal dunia akibat komplikasi diabetes selepas dimasukkan ke hospital dengan simptom Penyakit Serupa Influenza (ILI) manakala anaknya, Sumarni Mat Nor, 29, yang sedang mengandung 36 minggu dimasukkan ke hospital dengan gejala ILI dan tanda kelemasan bayi dalam kandungan.

Dr Ismail menjelaskan daripada pemantauan berterusan, belum ada tanda-tanda virus H1N1 yang sedang menular ketika ini, mempunyai ciri-ciri berbeza daripada virus sebelum ini, yang boleh menyebabkan gelombang kedua yang lebih serius.

"Oleh itu langkah-langkah pencegahan yang disarankan serta rawatan awal dengan ubat anti viral seharusnya berkesan bagi mengekang penularan jangkitan itu," katanya.

Sementara itu, Dr Ismail berkata sehingga pukul 5.30 petang semalam, jumlah terkumpul kes ILI yang masih dirawat di dalam wad di seluruh negara adalah 678 kes.

Beliau berkata daripada jumlah itu, 66 kes disahkan positif H1N1 manakala lima kes dirawat di ICU.

"Kementerian Kesihatan ingin menjelaskan bahawa penularan H1N1 2009 masih lagi aktif bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di rantau ini dan seluruh dunia.

"Kementerian ingin menegaskan bahawa sememangnya terdapat peningkatan aktiviti jangkitan H1N1 dengan peningkatan bilangan kes-kes positif yang dimasukkan ke hospital dan juga kejadian-kejadian kluster yang berlaku di seluruh negara," katanya.

Dr Ismail berkata bagi mereka yang menunjukkan tanda-tanda ILI dan berterusan selama 48 jam atau ujian pantas influenza adalah positif, rawatan hendaklah dimulakan tanpa memerlukan ujian pengesahan H1N1.

Beliau berkata penutupan sekolah merupakan langkah terakhir sekiranya gejala ILI telah menjejaskan keseluruhan fungsi sekolah terbabit dan ia akan diumumkan oleh Jabatan Pelajaran berkenaan. - BERNAMA

Dipetik daripada mstar