Saturday, October 16, 2010

Beratnya hati untuk melepaskanmu

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani. Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam serta ahli keluarga baginda dan para sahabat radhiallahu ‘anhum ajma’iin.

Serah fail Kelab

“Ustaz, ana nak serahkan fail Kelab I’jaazul Ilmi KUDQI”. Kataku kepada Ustaz Nik yang mengajar matapelajaran ‘Ad-da’wah’ untuk semester 1 Tahun 3 Syariah sebelum kelas bermula. “Boleh”. Jawab beliau ringkas. Tapi ku yakin jauh di sudut hatinya merasa kurang seronok dengan apa yang bakal ku lakukan. Dengan kata lain ‘meletak jawatan sebagai Pengerusi Kelab I’jaazul Ilmi KUDQI yang pertama’. Baru saja Kelab I’jaaz hendak berlatih bertatih, dalam keadaan merangkak pengerusinya telah meletak jawatan. Apakan daya, tidak boleh dielakkan lagi.

Setahun yang lalu

Jika diimbas kembali setahun yang lalu semenjak ditubuhkan, Ustaz Nik ada memaklumkan bahawa Kelab I’jaaz di bawah Lajnah Akademik MPMKUDQI. Tetapi kewujudan Kelab I’jaaz tidak begitu kukuh di KUDQI hanya dilihat idea Ustaz Nik semata-mata. “Iqram, Kelab I’jaaz ni di bawah Lajnah Akademik, Ustaz Nik bagitau. Dan datanglah menyuarat Kelab I’jaaz”. Ajakku kepada Pengerusi Lajnah Akademik ketika itu. Mungkin beliau sibuk ketika itu dan kelibat Iqram tidak kelihatan di dalam mesyuarat Kelab I’jaaz. Akhirnya Kelab I’jaaz berjalan tanpa ‘blueprint’ yang mengatakan Kelab I’jaaz di bawah Lajnah Akademik.

Agak rumit sedikit untuk Kelab I’jaaz hendak bergerak di bumi KUDQI memandangkan majoriti mahasiswa KUDQI agak kurang terdedah dengan ilmu-ilmu sains dan kaitannya dan Al-Qur’an. Dengan bilangan mahasiswa yang tidak seramai universiti-universiti yang lain juga menyebabkan Kelab I’jaaz kurang mendapat sambutan. Dengan program yang banyak yang dirancang oleh MPMKUDQI telah menyebabkan tiadanya ruang untuk Kelab I’jaaz untuk merancang program-program I’jaaz. Tambahan pula hampir keseluruhan Ahli Jawatan Kuasa Kelab I’jaaz terdiri daripada Ahli Jawatan Kuasa Lajnah Tarbiyah. Dengan situasi yang sedemikian telah menyebabkan perancangan Kelab I’jaaz tergendala hampir setahun tidak bergerak.

Syukur

Selayaknya kita tetap boleh melahirkan rasa bersyukur kepada Ilahi kerana Kelab I’jaaz berjaya juga untuk mengadakan pameran semasa Majlis Konvokesyen 2 sessi yang lepas. Cumanya diriku mewakili seluruh Ahli Jawatan Kuasa memohon ribuan kemaafan kepada beberapa orang yang telah mendaftar sebagai ahli Kelab I’jaaz. Ada ahli Kelab I’jaaz Ilmi KUDQI yang sedang melanjutkan pelajaran di UIA, Indonesia dan juga di bumi iman dan hikmah (Yaman). Pesanku kepada 2 orang sahabatku di Yaman ambillah peluang untuk mendalami ilmu I’jaaz di sana untuk dibawa pulang dan berkongsi ilmu tersebut dengan masyarakat di Negara kita. Negara kita sebenarnya jauh ketinggalan dari sudut ilmu ini berbanding dengan Yaman.

Dari sudut da’wah islamiyyah, I’jaazul Ilmi (Mukjizat Saintifik) sebenarnya sangat berkesan untuk kita menerapkan ke dalam setiap jiwa hambaNya tentang akidah tauhid. Ini kerana ilmu ini berkait rapat elemen-elemen sains dengan penciptaNya dengan pembuktian yang ada di dalam kitab suci al-Quranul Kareem. Dan ramai saintis Barat yang dikurniakan hidayah dan telah memeluk Islam setelah membuat kajian berkenaan dengan sains dan akhirnya mendapati fakta sains menepati apa yang dicatatkan di dalam al-Quran.

Semalam (14hb Oktober 2010) ku melangkah ke bilik Ustaz Nik sambil membawa Fail Kelab I’jaazul Ilmi untuk diserahkan. “Sebenarnya ana sedih jugak ni Ustaz sebab tiadanya aktiviti yang dijalankan”. Luahku menyatakan apa yang terpendam di hati kerana terpaksa menyerahkan fail tersebut. Akhirnya fail tersebut diserahkan kepada penasihat Kelab I’jaaz berserta beberapa borang ahli, duit Kelab I’jaaz, borang kosang dan Minit Mesyuarat yang lepas. Akhirnya apa yang menjadi harapan agar Kelab I’jaaz ini dapat bergerak semula di bumi KUDQI ini dan mempunyai program-program yang tersusun dibantu oleh Penasihat Kelab I’jaaz, Ustaz Nik Mohd Noor. Insya Allah.

WalLahu a’lam.
Ibnu Ibrahim.

No comments:

Post a Comment