Sunday, October 24, 2010

Butakah cinta?

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani. Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam serta ahli keluarga baginda dan para sahabat radhiallahu ‘anhum ajma’iin.

Situasi

“Man, cuba kau tengok perempuan tu cantik tak? Tanya seorang remaja kepada kawannya yang sedang melihat computer ribanya. Man menjawab. “Wah cantiknya. Kalau dia menjadi awek aku ok juga ni” Mereka berdua terpesona apabila melihat seorang perempuan yang melintas di hadapan mereka berdua, perempuan itu kelihatannya berpakaian t-shirt lengan pendek, berseluar jeans, tidak bertudung serta memakai minyak wangi. Aku yang sedang mencari maklumat di dalam internet hilang fokus sekejap. Terganggu dengan perbualan budak remaja dan bau semerbak minyak wangi yang dipakai oleh perempuan tersebut.

Hari berikutnya di tempat yang sama. Aku pergi bersama dengan sahabatku bernama Alim (bukan nama sebenar). Dia merupakan seorang sahabat lama ketika menuntut di sebuah universiti. Dia lah satu-satu kawan dan sahabat yang masih rapat sehingga ke hari ini. Walaupun masing-masing sudah berkahwin. Apabila berjumpa, maka kami tidak akan melepaskan peluang untuk berbicara mengenai pelbgai perkara. Ada kalanya kami bergelak ketawa mengenangkan semasa kami belajar dahulu. Sebenarnya masih ada seorang lagi sahabat yang sehingga ke hari ini aku masih belum mendengar beritanya. Entah hidup entah mati.

Jejak kasih

Tiba-tiba singgah di ingatan. “Alim, semoga kita bertiga dapat duduk kembali dan bergelak ketawa bersama.” Ini merupakan satu pesanan bertulis yang aku hantar kepada Alim selepas masing-masing mencari haluan sendiri. Kami terpisah dek di sebabkan pekerjaan. Sahabat yang seorang lagi ini bernama Zuraihi. Dia merupakan lulusan Diploma Quantity Surveyour sama seperti aku juga. Tetapi dia senior satu tahun daripada aku dan mengulang tahun. Dia tinggal di Pasir Mas, Kelantan. Itu sahajalah maklumat yang aku ada. Mudah-mudahan kami dipertemukan kembali.

“Aku nok nikoh sebulan lagi, marilah.” Kata Alim dalam loghat Terengganu. “Insya Allah. Jika tak dok aral melingtang”. “Mung nok nikoh ngang piye Alim?”. Tanyaku kembali dalam loghat Terengganu. “Mung dok kenal perempuan tu tapi dia dok pakai tudung.”Jawab Alim. “Ish. Biar betul mung Alim. Aku cukup respek ah ke mung sebab kahwin dengan seorang janda beranak tiga dan tidak memakai tudung asalnya tapi mung buleh tarbiyah dia untuk memakai tudung. Aku pung dok mampu nok wat macam mung ni. Kena wi tabik spring ke mung.”

Cinta tidak kenal siapa.

Begitulah tahap kemampuan seseorang. “Mung seorang yang hebat Alim.” Getus hatiku. Semoga sahabatku itu hidup berkekalan sehingga ke syurga. Insya Allah. Setiap hambanya berbeza dari segi tahap keimanan dan berbeza tahap ujian serta cabaran hidup seseorang. Begitu juga dengan persoalan cinta. Ada orang bercinta atas dasar nafsu semata-mata dan ada orang mencari pasangan atas dasar ingin melahirkan zuriat yang soleh dan solehah. Dan begitu juga dengan kecantikan seseorang perempuan. Ianya dinilai dari sudut pandangan yang berbeza. Seperti dialog yang paling awal tersebut. Kecantikan perempuan itu dinilai dari sudut langsung tidak memakai pakaian Islam dan tidak menutup aurat.

Dengan berlengan pendek dan tidak memakai tudung jelas tidak melambangkan seorang wanita muslim. Seperti yang kita semua ketahui bahawa lengan seorang wanita adalah aurat yang hendaklah ditutup rapi. Tudung apatah lagi. Seorang perempun yang mengaku Islam wajib memakai tudung sehingga menutupi dada serta memakai pakaian yang berlengan panjang dan labuh hingga ke punggung dan memakai stokin. Ini jelas bahawa aurat perempuan hendaklah ditutup kesemua sekali kecuali muka dan kedua-dua tapak tangan. Pendapat ini disepakati oleh sebahagian besar ulama’. Adapun jika ada yang mengenakan niqab, itu merupakan perkara yang khilaf di kalangan para ulama’.

Ada yang menilai kecantikan seseorang perempuan itu apabila perempuan memakai pakaian Islam itu mengenakan tudung dan menutup aurat dengan sempurna. Ini bergantung kepada cita rasa lelaki yang menilai kecantikan seseorang perempuan. Pernah sekali aku diperli oleh ketika menegur seseorang perempuan yang ketika itu praktikal sekali denganku di sebuah Jabatan.

Kaki itu aurat

Aku ditempatkan di bawah seliaan seorang Juru Ukur Bahan. Kataku kepada perempuan yang juga masih menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM) ketika itu. “Kaki itu aurat”. Dek kerana teguran yang aku lontarkan itu dianggap remeh oleh Penyelia tersebut menyebabkan dia melukis peristiwa tersebut dalam bentuk kartun dan keesokannya aku dapati ianya ditampal di dinding cermin bilik kami ditempatkan. Kami ditempatkan satu bilik dengan penyelia tersebut. Apa yang teman-teman pengunjung dapat gambarkan di pemikiran akan peristiwa tersebut?

Entahlah apa niat sebenar penyelia tersebut menampalkan kartun tersebut wallahu a’lam. Tetapi diriku lebih cenderung untuk mengatakan ianya merupakan satu sindiran kepadaku. Ini kerana rata-rata perempuan yang kita jumpai tidak menutup kakinya dengan stokin. Ini mungkin sudah menjadi kebiasaan di dalam masyarakat kita. Cukup dengan melihat di sekeliling kita. Berapa ramai yang memakai stokin atau kasut dan berapa ramai yang tidak memakai stokin dan berselipar.

Tutup aurat atau bungkus aurat

Sedih kita melihat situasi seperti ini dan masyarakat sudah menjadi begitu keliru dengan istilah ‘menutup aurat’ dengan ‘membungkus aurat’. Di sini beberapa bentuk kekeliruan yang berlaku di dlaam masyarakat hari ini akibat terpengaruh dengan fesyen yang bukan-bukan. Antaranya:-
a. Memakai tudung tetapi memakai t-shirt berlengan pendek.
b. Memakai tudung tetapi sanggul dinaikkan seperti bentuk ‘bonggol unta’
c. Memakai tudung tetapi tidak memakai anak tudung sehinggakan rambut terkeluar dari hujung tudung akibat ditiup angin ketika menunggang motosikal.
d. Memakai tudung tetapi kain tudung nipis sehingga terbayang rambutnya.
e. Memakai tudung tetapi mendedahkan bahagian dada (paling banyak berlaku di dalam masyarakat).
f. Berjubah tetapi ketat sehingga terlihat bentuk tubuh badan.
g. Hanya mengenakan selendang seolah-olah membungkus kepala sahaja.

Panduan Islam

Jelas kepada kita semua fesyen adalah diharuskan sekiranya menepati cita rasa Islam malah lebih-lebih lagilah dituntut jika ianya bertujuan membahagiakan suami yang tercinta. Bukannya kita berfesyen dengan mendedahkan aurat demi hendak menarik lelaki untuk memandangnya malah lebih teruk lagi menarik untuk melakukan penzinaan. Wal ‘iya zubillahi min zaa lik. Mari kita melihat syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh Islam. Antaranya:
a. Menutup seluruh badan kecuali dadurat
b. Pakaian tersebut tebal dan tidak nipis sehingga menampakkan warna kulit.
c. Hendaklah longgar, lapang dan luas.
d. Bukan daripada fabrik yang lembut sehinggakan melekat kepada badan.
e. Tidak mengenakan wangi-wangian.

Jika ada di kalangan kita terlanjur dan ada melakukan perkara yang sedemikian, maka wajiblah kita segera bertaubat kepada Allahu Subhanahu Wata’ala dan bertekad untuk tidak kembali melakukannya.

No comments:

Post a Comment