Monday, August 9, 2010

Kedatangan yang dinanti

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani. Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam serta ahli keluarga baginda dan para sahabat radhiallahu ‘anhum ajma’iin.

1001 Peluang keemasan

Hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi seluruh umat Islam akan menyambut bulan yang penuh dengan keberkatan iaitu bulan Ramadhan. Di bulan Ramadhan inilah telah diturunkan kitab suci yang menjadi mu’jizat kepada nabi kita Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam. Selain daripada itu di bulan Ramadhan ini juga bulan yang merupakan satu bulan untuk kita bermuhasabah kembali sejauh manakah kebergantungan kita kepada Allah dalam segala segi sama ada ibadat mahupun muamalat. Bulan yang sangat istimewa ini merupakan satu anugerah tuhan kepada umat Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam untuk memberi peluang kepada umatnya untuk mencari rahmat, keampunan dan kejauhan daripada azab api neraka yang panas membara.

Saya sebagai hamba yang lemah menyeru diri ini dan juga teman-teman pengunjung sekalian untuk memaksimakan amalan kebaikan di bulan yang penuh dengan keberkatan ini. Justeru akan menghasilkan impak yang maksima. Ini kerana pada bulan inilah pintu-pintu syurga yang penuh dengan keni’matan dibuka seluas-luasnya. Manakala pintu-pintu neraka yang penuh dengan azab yang sangat pedih dikunci rapat-rapat. Dan juga musuh yang sentiasa mengganggu anak adam dibelenggu sekemas-kemasnya. Semoga ramadhan pada kali ini merupakan ramadhan yang lebih baik berbanding dengan tahun-tahun sebelum ini.

Meriahkan Ramadhan

Terlebih dahulu saya memohon ribuan kemaafan kerana saya lebih suka untuk berkongsi pengalaman Ramadhan di bumi iman dan hikmah. Yaman merupakan satu-satu Negara yang berada di luar yang pernah saya bermastautin. Alhamdulillah. Setinggi-tinggi kesyukuran ku panjatkan untukMu kerana diberikan peluang dan kesempatan berada di bumi iman dan hikmah.

Mungkin suasana masyarakat Yaman yang sentiasa gelut dengan perkara keakhiratan melebihi perkara keduniaan dan menanti-nanti akan kehadiran bulan yang mulia menyebabkan meriahnya suasana menyambut ketibaan bulan Ramadhan. Pengalaman beri’tikaf selama satu minggu pada minggu terakhir merupakan pengalaman yang sangat manis. Isteri ditinggalkan dan saya bersama dengan beberapa teman-teman berada di masjid selama satu minggu tersebut. Kami langsung tidak keluar dari masjid sehingga ke malam hari raya Ei’dul Fitri.

Suasana seperti itu mungkin sukar untuk kita dapati di bumi Malaysia ini. Mungkin ada sesetengah tempat yang mengadakan program I’tikaf seumpama itu. Program yang kami, di bumi iman dan hikmah sertai dianjurkan oleh satu kelab di bawah institusi masjid dan setiap peserta akan dikenakan yuran penyertaan untuk kos penginapan dan juga makan sahur dan berbuka puasa. Teringat saya akan saat hari pertama kami I’tikaf iaitu ketika berbuka puasa. Kami disajikan dengan nasi dengan lauk seekor ayam (nasi mandy) yang diletakkan di atas talam. Setiap talam boleh dimakan seramai 5 – 6 orang. Walaupun dalam keadaan yang kurang selesa iaitu dalam keadaan mencangkung dan hanya sedikit seorang yang sempat menjamah nasi tetapi dek kerana kesedapan menu berbuka puasa pada hari pertama menyebabkan segala kekurangan tidak dirasai. Saat seperti itu ditunggu-tunggu hingga ke saat terakhir beri’tikaf. Sepanjang I’tikaf kami dibahagikan kepada kumpulan bercampur dengan ‘foreigner’ dan makan bersama dengan ahli kumpulan sepanjang I’tikaf.

Ahlan wa sahlan wa marhaban ya Ramadhan

Antara yang boleh memeriahkan suasana menyambut kehadiran Ramadhan boleh dilakukan dengan menggantung banner-banner yang mempamerkan ayat-ayat galakan untuk menggandakan pahala di bulan Ramdhan. Di samping itu diedar juga poster-poster atau juga risalah-risalah yang boleh menaikkan semangat pembaca untuk melaksanakan amalan di bulan yang penuh berkat ini.

“Ahlan wa sahlan wa marhaban ya Ramadhan. Selamat datang Ramadhan..dan Ramadhan kareem buat semua pengunjung”

2 comments:

  1. Salam, insyaAllah ana dalam proses bersedia untuk menyambut ramadhan di sini.. hehe

    ReplyDelete
  2. salam kembali..anta sudah semestinya merasakan kelainan ramadhan di sana kan...malam macam siang dan siang macam malam.. :-)

    ReplyDelete