Wednesday, July 14, 2010

Apa Selepas Piala Dunia 2010?

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani. Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam serta ahli keluarga baginda dan para sahabat radhiallahu ‘anhum ajma’iin.

Kembara mencari iman 2

Alhamdulillah 4hb – 6hb Julai 2010 yang lepas satu lagi Tamrin Tahun Akhir untuk tahun 3 telah berjaya dilaksanakan. Saya difahamkan ini merupakan kali pertama tamrin berkonsepkan perkhemahan dijalankan untuk mahasiswa KUDQI. Tahniah kepada seluruh ahlijawatankuasa pelaksana yang terdiri daripada Lajnah Tarbiyah dan Majlis Perwakilan Mahasiswa KUDQI kerana membuat satu lagi pembaharuan untuk KUDQI. Tamrin untuk tahun akhir dilaksanakan bertujuan supaya mahasiswa yang akan mengakhiri pengajian dan akan melangkah ke dunia luar mempunyai persediaan dari segala segi. Pelbagai mehnah dan tribulasi yang akan menunggu mahasiswa yang akan berada di dalam masyarakat. Cuba bayangkan jika mereka ini tidak di dedahkan bagaimana realiti sebenar masyarakat, akan berlakulah ketempangan bagaimana untuk menyampaikan da’wah dengan lebih berkesan.

Sebenarnya secara peribadi walaupun kita sebagai ahli jawatankuasa pelaksana dan pada masa yang sama mengikuti segala aktiviti maka kita juga merasai apa yang peserta rasa. Pernah saya nyatakan kepada sahabat bahawa tamrin adalah merupakan satu wadah untuk kita menaikkan kembali iman kita. Ini kerana selama tiga hari terpisah dengan dunia luar yang penuh dengan pancaroba yang boleh melemahkan iman kita. Boleh dikatakan bahawa tamrin adalah merupakan satu pakej yang lengkap untuk kita kembali mendekatkan diri kita kepada Tuhan. Semoga pelajar tahun akhir berjaya menempuh alam selepas pengajian dengan Berjaya dan cemerlang dengan berbekalkan apa yang diperolehi semasa tamrin dijalankan. Manakala kepada pelajar tahun akhir yang akan menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi saya mendoakan agar sahabat-sahabat berjaya sehingga ke peringkat PHD insya Allah.

Piala dunia; melalaikan atau da’wah?

Antara aktiviti yang dijalankan ialah slot yang mana ianya melatih peserta untuk berani tampil ke hadapan. Di samping itu jua ianya menguji keberanian peserta untuk memberikan komentar berkenaan dengan tajuk yang diberi. Di dalam slot ini saya diminta untuk menjadi pengkritik. Sebenarnya saya bukanlah orang yang paling layak untuk menjadi pengkritik. Apa pun saya mencuba yang terbaik setakat yang saya mampu. Saya pun dalam proses belajar.

Ada seorang peserta diminta untuk memnghuraikan satu tajuk yang berbunyi “Piala dunia; melalaikan atau da’wah?”. Selepas peserta tersebut memberikan komentarnya maka saya pula memberikan kritikan berkenaan dengan isi. Apa jawapan saya?

Saya mengatakan bahawa memang ‘ya’ menonton Piala dunia melalaikan tetapi kita yang terlibat secara langsung di dalam medan siasah dan da’wah perlulah mengambil peluang ini untuk menyampaikan da’wah kepada remaja. Peluang keemasan ini perlulah diambil dengan sebaiknya untuk kita menyampaikan da’wah islam. Kita juga boleh melihat apa yang telah dilaksanakan oleh as-Syahid Imam Hassan al-Banna yang pergi ke kedai-kedai kopi untuk menyampaikan ucapan berbentuk da’wah. Tindakan ini telah Berjaya menarik ribuan pemuda dan pemudi kembali kepada cahaya Islam. Itulah ayat terakhir di dalam komentar saya tersebut. Saya juga teringat akan inisiatif yang telah dimainkan oleh sahabat ketika berada di dalam Pemuda Hulu Kelang satu ketika dahulu. Kita di waktu itu telah memainkan peranan mengedarkan poster jadual perlawanan bola berbentuk da’wah.

Sambutan Isra’ Mi’raj; antara sedar dan tidak

Piala Dunia telah pun berakhir dengan Piala Dunia 2010 berjaya dirangkul oleh Sepanyol yang telah mengalahkan Belanda 1-0. Bagi penyokong Sepanyol melahirkan rasa puas setelah hampir berminggu bersengkang mata semata mahu memberikan sokongan moral kepada pasukan yang diminati. Manakala bagi penyokong yang mana pasukannya kalah, maka saat inilah yang digunakan untuk mengqada’ kembali tidur yang tidak teratur sebelum ini.

Satu hari lagi 27hb Rejab bakal menjelma. Lazimnya apabila tibanya 27hb Rejab setiap tahun umat Islam akan menyambut sambutan Isra’ dan Mi’raj. Satu persoalan yang ingin saya lontarkan kepada diri saya sendiri dan buat para pengunjung sekalian. Mampukah sambutan Isra’ Mi’raj menyaingi kemeriahan sambutan Piala Dunia 2010 yang telah berlalu?

Maka saya yakin setiap orang yang mempunyai kesedaran akan mempunyai harapan yang sama dengan saya agar sambutan Isra’ Mi’raj juga bakal meriah sebagaimana meriahnya sambutan Piala Dunia 2010. Ini kerana peristiwa Isra’ dan Mi’raj mempunyai pengajaran yang sangat besar kepada kita selaku umat yang mengaku umat Nabi Muhamad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam.

No comments:

Post a Comment