Friday, July 31, 2009

Usaha Kecil Di Alam Maya

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Dengan Nama ALLAH Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.

Seperti memegang bara api

Bersempena dengan hari ini Hari Jumaat yang merupakan ‘sayyidul ayyam’ iaitu penghulu segala hari, marilah kita merafa’kan setinggi-setinggi syukur kepada Tuhan Semesta Alam di atas kurniaanNya yang tidak terhingga. Alhamdulillah juga kupanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah SWT kerana memberikan taufiq serta hidayah kepada diriku ini selaku hamba yang hina lagi dhaif ini menyiapkan satu medium untukku menyampaikan da’wah kepada masyarakat di luar sana. Khas kuucapkan syukran jazilan kathiran buat isteri tersayang di atas sokongan dan dokongan. Tidak dilupakan juga ianya semoga menjadi ingatan kepada diri sendiri dalam menjalani kehidupan yang penuh dengan onak dan duri. Menjaga agama di zaman ini seolah-olah seperti ‘menggenggam bara api’.

Terima kasih 'pakcik google'

Berbekalkan sedikit pengalaman dalam mengendalikan satu laman web semasa bekerja dahulu memudahkan diriku membuat blog. Dengan bantuan ‘pakcik google’ selama 3 hari maka inilah hasilnya. di sini ku bermula. Alhamdulillah. Membuat blog dengan menggunakan blogspot.com sangat mudah. Bak kata orang 'macam kacang je’. Yang penting kita hendaklah banyak bertanya kepada ‘pakcik google’ dan banyak melakukan ‘try and error’. Ataupun bertanyakan sahabat-sahabat yang sudah mempunyai blog. Alhamdulillah. Idea dan ilham daripada Allah SWT datang mencurah-curah untuk menghasilkan artikel. Tinggal lagi bagaimana menguruskan waktu dan masa untuk mengendalikan blog agar segala kerja tersusun. Ya Allah, permudahkan segala urusanku. Amin, Ya Allah. Sesungguhnya usaha ini sangat kecil berbanding ulama’-ulama’ yang terdahulu yang menghabiskan masanya dengan ilmu.

Dr. Karim Zaidan seorang ulama' yang gigih

Membaca artikel yang ditulis oleh seorang sahabat di dalam Harakah yang terbaru sungguh menginsafkan diri. Cuba anda bayangkan seorang ulama’ di Yaman, Dr Abdul Karim Zaidan pernah berkata “Aku sangat mengharapkan agar aku mati dalam keadaan sedang mengajar”. Sekarang ini umur beliau ialah 92 tahun. Dr. Abdul Karim Zaidan merupakan seorang ulama’ yang berasal dari Iraq. Banyak kitab yang beliau hasilkan digunakan sebagai sukatan pelajaran di kebanyakan universiti. Sahabat tersebut juga sewaktu diriku baru-baru sampai di Bumi Iman dan Hikmah pernah mencadangkan membeli buku karangan Dr Abdul Karim Zaidan iaitu Usul ad-Da’wah. Kitab al-Wajiz fi Usul al-Fiqh sempat juga dipelajari ketika berada di Yaman. Antara karangan beliau yang lain ialah al-Wajiz fi al-Qawaid al-Fiqhhiyyah, Nizhom al-Qadha’, al-Mufasshal dan banyak lagi. Semoga kehadiran diriku bersama-sama teman di ruang tanpa batasan ini dapat menyebarkan da’wah dengan lebih berkesan lagi. Sungguhpun di sana banyak unsur-unsur negatif dan perkara yang tidak baik. Banyaknya laman-laman yang berunsur-unsur lucah tumbuh seperti tumbuhnya cendawan selepas hujan. Semoga kehadiran kita semua sebagai pendakwah siber diberkati dan diredhai Allah SWT. Dengan lafaz Dengan Nama ALLAH Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani saya merasmikan blog ini.

KUDQI dan Seminar Fiqh Semasa 2009

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Dengan Nama ALLAH Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.

KUDQI melahirkan cendekiawan Islam

Kolej Universiti Darul Quran Islamiyyah (KUDQI), Kubang Lembik, Manir, Kuala Terengganu merupakan sebuah universiti swasta yang tidak asing lagi di negeri Terengganu Darul Iman. Izinkan saya menceritakan sedikit berkenaan dengan KUDQI ini. Kemungkinan ada yang masih belum mengenali dengan lebih dekat tentang KUDQI ini. KUDQI merupakan sebuah universiti swasta yang dimiliki sepenuhnya dan dikendalikan oleh Dewan Ulamak PAS Pusat. Antara tujuannya ialah untuk melahirkan mahasiswa Islam yang cemerlang dari sudut sakhsiah dan akademik serta tidak ketinggalan daripada arus teknologi terkini.

Prasarana yang terdapat di KUDQI

KUDQI telah mula beroperasi semenjak 2001 lagi. Antara prasarana yang ada di KUDQI antaranya ialah bangunan berkembar pentadbiran dan juga kelas. Yang mana setinggi 4 tingkat (besar juga) yang mengandungi sebuah Dewan Besar, pejabat dan bilik kuliah, perpustakaan, kafetaria, bilik komputer dan koperasi pelajar. Asrama perempuan ditempatkan di tingkat 4 bangunan utama KUDQI ini.

Selain itu KUDQI mempunyai 2 buah bangunan asrama lelaki. Kedua-duanya juga setinggi 4 tingkat. Asrama lelaki dibina berasingan daripada bangunan utama KUDQI. Setakat hari ini hanya sebuah bangunan sudah diduduki pelajar (tingkat 1 sahaja) manakala tingkat 2-4 masih dalam pembinaan. Manakala sebuah lagi masih dalam pembinaan. Antara kursus yang ditawarkan ialah Diploma Syariah dan Diploma Usuluddin yang mana menggunakan silibus pengajian Universiti Al-Azhar. Itulah serba sedikit pengenalan tentang KUDQI.

Seminar Fiqh Semasa 2009

Buat julung kalinya KUDQI akan menganjurkan Seminar Fiqh Semasa 2009. Seminar pada kali ini pada pendapat saya sangat menarik kerana diadakan di tengah-tengah kecelaruan masyarakat. Masyarakat pada hari ini seharusnya dipanggil kembali pulang ke pangkal jalan untuk melihat ketulenan agama Islam. Malah segelintir masyarakat sangat dahagakan seminar yang sebegini. Saya menjangkakan ianya dihadiri oleh ramai peserta memandangkan mood rakyat juga bertambah baik. Saya ingin mengajak teman-teman yang berkelapangan untuk bersama di dalam program ini kerana ianya membariskan tokoh-tokoh hebat yang akan membentangkan kertas-kertas kerja. Seminar ini akan dirasmikan oleh Presiden PAS iaitu Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang. Malah beliau juga akan menyampaikan ucaptama yang bertajuk “Sejarah Perkembangan Mazhab”. Manakala seminar ini akan ditutup oleh Ketua Dewan Ulama' PAS Negeri Terengganu yang juga bekas speaker Dun Terengganu iaitu Dato’ Hussin Awang.

Ramai tokoh yang hadir memberikan buah fikiran

Antara tokoh yang akan membentangkan kertas kerja

1. Ybhg. Ustaz Abdul Ghani Shamsuddin (Ahli Jawatankuasa PAS Pusat selaku (Presiden Shura)akan membentangkan kertas kerja yang pertama bertajuk “Negara Islam Satu Tuntutan".

2. YB. Dato' Hj. Harun Taib (Ketua Dewan Ulama PAS Pusat selaku Pesuruhjaya PAS Terengganu) yang akan membentangkan ketas kerja yang bertajuk “Hak Non-Muslim Dalam Negara Islam”.

3. Ybhg. Ustaz Zaharuddin Mohamad (Pegawai Penyelidik Bank Islam Malaysia Berhad) akan membentangkan kertas kerja bertajuk “Perbankan Islam: Teori dan Perlaksanaannya”.

4. YB. Ustaz Mohd Nor Hamzah (Ketua Pemuda PAS Terengganu selaku YB Adun Bukit Payung) akan membentangkan kertas kerjanya yang bertajuk “Hiburan Dan Sukan Dalam Negara Islam.”

5. Y.Bhg. Ust. Khairuddin Aman Razali At-Takiri (Pengerusi Darul Fuqaha') akan menyempurnakan kertas kerja yang bertajuk “ Keusahawanan Dalam Islam”.

Yuran penyertaan

Para pelajar atau mahasiswa akan diberikan keistimewaan dengan yuran penyertaan hanya RM 20.00 berbanding peserta lain. Persatuan akan dikenakan sebanyak RM40.00. Manakala jika datang secara individu akan dikenakan sebanyak RM 60.00. Seminar ini akan dibuka kepada umum. Kepada sesiapa yang berminat menyertai seminar tersebut boleh lah menghubungi Setiausaha Program, Ustaz Kamaruzzaman Abdullah di talian 019- 9816 357 atau Ustaz Juzlan Mohamad di talian 014-2903 899.

Maklumat lain

Hari: Sabtu (15hb Ogos 2009)
Masa: 8.00 Pagi - 6.00 Petang
Tempat: Kolej Universiti Darul Quran Islamiyyah, Kubang Lembik, Manir, Kuala Terengganu.

Juga artikel berkaitan mpmkudqi

Thursday, July 30, 2009

Dedikasi Buat Pejuang Mansuhkan ISA

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Dengan Nama ALLAH Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.


Teringat kenangan manis yang lalu

Terlebih dahulu saya merasakan agak terkilan kerana tidak dapat menyertai Demo Mansuhkan ISA pada kali ini. Ada beberapa sebab yang menghalang saya berbuat demikian. Antaranya kekangan masa dan juga kewangan. Maklumlah sekarang menjadi 'pelajar tua' dan mempunyai banyak pula tanggungjawab yang perlu diselesaikan. Teringat memori indah ketika Demo Minyak Naik di KLCC suatu ketika dahulu. Selepas air dilepaskan maka bertempiaran lah peserta demo melarikan diri. Antara kenangan manis ketika itu ialah saat menyelamatkan diri dari tangkapan FRU. Ketika itu saya sambil memegang erat tangan isteri tercinta sambil memotong YB Tian Chua. Beliau berkata yang lebih kurang bunyinya "jangan lari..cool".

Saya Tidak pasti bahawa boleh dipakai atau tidak ayat beliau tersebut. Tetapi apa yang saya lihat beliau memang cool and steady ketika demo tersebut. Beliau berjalan perlahan seperti tiada apa yang berlaku. Tetapi untuk demo kali ini saya tidak dapat menyertainya. Terkilan rasanya. Hanya baju yang akan menjadi kenangan dan sebagai tanda sokongan. Apa pun saya mendoakan segalanya berjalan dengan lancar. Selamat berjuang wahai pejuang-pejuang kebenaran dan menentang segala kezaliman.!

Saya paste artikel yang diambil daripada blog seorang sahabat http://amdang81.blogspot.com/ untuk mengajak kita semua melihat keluhan seorang anak tahanan ISA dan sebagai sokongan moral kepada keluarga tersebut.

Saat ketika bapanya ditahan


Nama saya Suhaib. Saya berusia 16 tahun. Ketika bapa saya, Mat Sah Satray ditahan di bawah ISA pada 18 April tahun 2002, saya berusia 8 tahun 5 bulan. Saya masih terlalu kecil dan tidak dapat mengingati semua peristiwa. Ketika itu saya sedang tidur, tetapi terjaga apabila beberapa orang polis masuk ke bilik tidur saya dan dengan kasar menyelak cadar, mengangkat hujung tilam, menarik rak baju, membuka serta menutup almari pakaian hingga mengeluarkan bunyi kuat yang membuatkan saya terjaga. Umi, panggilan saya pada emak, mendukung saya dan diletakkan di sebelah abah yang ketika itu duduk di sofa di ruang tamu. Aku menoleh ke arah Abah dan nampak kedua-dua tangannya bergari. Aku menangis kerana terlalu takut melihat gari itu. Gambaran gari yang melengkar di kedua-dua belah tangan Abah amat sukar untuk hilang dari minda saya......

Agak lama juga polis menggeledah rumah kami. Seorang wanita sibuk menyoal Abah dan Umi bergilir-gilir dan kemudian menulis sesuatu di atas kertas. Manakala lima orang lelaki yang lain, sibuk membuka rak buku Abah, mengeluarkan Quran dan buku-buku agama serta menyelak-nyelak setiap muka surat dengan pantas. Saya tidak tahu, apa yang mereka cari. Tidak lama selepas itu, mereka membawa Abah masuk ke dalam van putih. Umi dukung saya dan kami berdua sempat melambai tangan kepada Abah. Sebaik sahaja van putih hilang dari pandangan, aku menangis lagi sambil memanggil-manggil Abah. Saya baring di riba Umi hingga tertidur...

Saya bagaikan melalui satu mimpi buruk di mana Abah dilarikan dari rumah oleh sekumpulan lelaki. Bila terjaga dari tidur, saya mencari Abah di semua bilik termasuk bilik air tetapi tidak ditemui. Saya mendapatkan Umi yang sedang membancuh minuman untuk bertanya tentang Abah, tetapi saya nampak Umi juga sedang menangis....

Saya asyik teringatkan Abah. Dari pagi saya tunggu Abah, tengah hari, hinggalah cuaca gelap dan masuk waktu maghrib, Abah masih juga belum pulang. Saya mula menangis kerana rindukan Abah... Ketika itu telefon rumah berdering, saya dan Umi berlari ke arah telefon tetapi apabila gagang diangkat, tiada siapa yang bercakap di hujung talian....

7 tahun telah berlalu

Peristiwa buruk itu telah berlalu tujuh tahun yang lalu, namun ianya sukar untuk hilang semuanya dari fikiran saya. Tujuh tahun lalu Abah saya dibawa pergi, hingga kini beliau tidak pernah balik ke rumah kami.

Pada tahun 2009 ini, maknanya hampir separuh usia saya membesar tanpa belaian kasih sayang, bimbingan dan sentuhan Abah walaupun beliau masih hidup. Saya membesar bertemankan barang-barang peribadinya seperti jam tangan, dompet, baju, seluar, kain pelikat dan buku-buku beliau. Saya sekadar mengikuti nasihat dan kata-kata beliau melalui surat-surat kirimannya. Jika rasa terlalu rindu padanya, saya akan pakai baju, seluar dan kain pelikat beliau. Saya letak gambar Abah di dompet duit bersebelahan dengan gambar saya.

Umi akan memastikan kami melawat Abah sekurang-kurangnya dua kali sebulan. Namun waktu lawatan selama 45 minit itu jauh dari mencukupi untuk Abah menghilangkan rindu, memberikan bimbingan, tunjuk ajar serta melepaskan kasih sayangnya kepada saya.

Satu peristiwa yang tidak dapat dilupakan ialah ketika lawatan pertama ke Kem pada 24 Jun 2002. Setelah hampir tiga minggu tidak melihat Abah sejak pertemuan terakhir di Bukit Aman, saya rasa terlalu rindu kepadanya. Kami berbual selama 45 minit dan di akhir pertemuan, Abah dibenarkan keluar dari bilik kurungan untuk bersalaman dengan saya dan Umi. Abah mengangkat, mendukung dan mencium saya berkali-kali. Saya terlalu rindukan Abah dan apabila warden bertugas menyuruh Abah masuk kembali ke bilik kurungan, saya menangis dan tidak mahu melepaskan pegangan pada lengan Abah...

Bagaikan binatang di zoo

Sejak hari pertama penahanan Abah hinggalah di saat ini, saya tidak pernah berpeluang mengerjakan solat dan membaca quran bersama beliau. Saya tidak mengharapkan duit belanja atau keluar membeli belah kerana memahami semua itu tidak mungkin dapat dilakukan bersama. Namun, satu perkara yang lebih memedihkan bermula pada bulan April 2005, kami keluarga tahanan hanya dibenarkan bertemu menggunakan interkom di sebalik dinding kaca lutsinar. Bila sahaja melihat Abah di sebalik cermin kaca, hati saya terasa hancur... Ketika itu, saya teringat binatang di zoo yang diletakkan di dalam kotak kaca. Apakah dosa dan kesalahan Abah diperlakukan sedemikian rupa. Sejak tarikh itu, setiap kali melawat Abah, saya hanya berpeluang bercakap melalui interkom dan duduk di sebalik kaca. Saya hanya dapat melihat wajah Abah, tetapi tidak dapat menyentuhnya...hati ini memang pedih yang teramat sangat.

Tujuh tahun saya dipisahkan dari Abah, namun tiada sebarang tanda beliau akan dibebaskan. Walaupun pada tahun 2009 ini ada dua pembebasan beramai-ramai yang mendapat tempat di dada media, namun nama Abah saya tiada dalam kedua-dua senarai pembebasan tersebut....

Perpisahan dengan Abah benar-benar membuat saya rasa rendah diri dan terpinggir. Saya terlalu ingin menjalani kehidupan harian bersama Abah. Saya ingin makan, berbual, bergurau senda dan melakukan pelbagai aktiviti harian bersamanya. Saya juga punya keinginan mempunyai keluarga yang lengkap, sama seperti orang lain.

Hingga kini saya tidak faham kenapa Abah saya, seorang yang pendiam dan mudah tersenyum, masih juga belum dibebaskan. Saya tidak tahu apakah sebenarnya kesalahan beliau kerana tahanan ISA lain yang ditahan bersama Abah tujuh tahun dulu, hampir semuanya telah pun dibebaskan... namun Abah masih tetap dikurung di Kem. Saya setuju dengan pendapat Umi bahawa Abah sepatutnya dibicarakan di mahkamah. Kalau benar ada bukti menyatakan dia salah, sekurang-kurangnya hakim akan menetapkan, bilakah tarikh akhir dia menjalani kehidupan sebagai banduan. Saya amat sedih mengenangkan kehidupan Abah dalam ketidakpastian selama tujuh tahun dan terus berlarutan.

Saya akan terus berdoa pada Allah supaya Abah segera dibebaskan...

*Testimoni ini ditulis oleh Suhaib Mat Sah, anak kepada tahanan ISA Mat Sah Satray. Mat Sah Satray ditahan sejak tahun 2002, dituduh terlibat dalam aktiviti Jemaah Islamiah, namun tidak pernah dibuktikan di mahkamah.

**Ibu Suhaib adalah Puan Norlaila pemilik laman web merah hitam

Wabak Influenza A H1N1 di Malaysia Membimbangkan

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Dengan Nama ALLAH Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.

Wabak Influenza A H1N1

Hari ini kita dikejutkan dengan wabak Influenza A H1N1. Adakah wabak ini merupakan salah satu bala' daripada Allah? Ya. Dato' Seri Tuan Guru Hj. Abdul Hadi Awang dalam kuliah beliau yang terbaru mengatakan ini merupakan bala' dari Allah SWT. Semoga Allah SWT menjauhkan wabak ini daripada terus merebak. Di sini saya cuba catatkan berkenaan dengan wabak Influenza A H1N1 yang berlaku di Malaysia.

28 Julai 2009 - Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail, jumlah terkumpul kes Influenza A(H1N1) di Malaysia setakat ini adalah sebanyak 1,124 kes dengan dua kematian, dan daripada jumlah tersebut, 574 merupakan kes import dan 550 kes jangkitan tempatan. Beliau berkata, daripada jumlah tersebut, 1,103 kes (98 peratus) telah sembuh dan hanya 10 kes sahaja yang sedang menerima rawatan antiviral di hospital manakala lapan kes lagi mendapat rawatan di rumah.

Mengenai situasi global, Menteri Kesihatan Datuk Liow Tiong Lai berkata sejumlah 163,715 kes dengan 1,025 kematian dilaporkan daripada 159 negara, iaitu peningkatan sebanyak 4,492 kes dengan 38 kematian berbanding hari sebelumnya.

Akhbar perdana sehingga hari ini merekodkan sebanyak 4 kes yang melibatkan kematian di Malaysia.

Kematian pertama H1N1 di Malaysia

21 Julai 2009 - Kes pertama ini melibatkan seorang pesakit warga Indonesia berusia 30 tahun telah mati di sebuah pusat perubatan swasta di Kuala Lumpur jam 11.50 pagi. Menteri Kesihatan, Datuk Liow Tiong Lai, berkata punca sebenar kematian pesakit terbabit yang juga seorang pelajar masih belum diketahui tetapi siasatan awal mendapati ia disebabkan kadar denyutan jantung tidak terkawal. Liow juga berkata, sebanyak 18 kes baru dilaporkan sehingga 8 pagi ini, membabitkan 17 jangkitan tempatan dan satu import.

Kematian ke-2 H1N1 di Malaysia

26 Julai 2009 - Kematian kedua telah melibatkan kematian seorang lelaki berumur 46 tahun yang bekerja di Belgium. Lelaki tersebut dilaporkan mati akibat "pneumonia teruk dengan kegagalan pernafasan dengan kejutan septisemia dan kegagalan buah pinggang akut" selepas tujuh hari mendapat rawatan di unit rawatan rapi di sebuah hospital swasta di Subang Jaya.

Kematian ke-3 H1N1 di Malaysia

27 Julai 2009 – Seorang lelaki rakyat Malaysia berumur 42 tahun mati menjadikannya mangsa yang ketiga wabak Influenza A (H1N1). Beliau dilaorka tidak sihat sejak 6 Julai lepas dan telah mendapatkan rawatan pesakit luar di beberapa klinik dan hospital swasta. Lelaki itu dimasukkan ke wad di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur pada 18 Julai kerana keadaan yang semakin teruk dan didiagnosis sebagai pneumonia.

Semasa di wad beliau dikesan menghidap Diabetes Mellitus manakala x-ray dada pula menunjukkan beliau mengalami pneumonia. Menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai "Pada 19 Julai kes dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) kerana mengalami sesak nafas dan memerlukan bantuan alat pernafasan (ventilator). "Memandangkan keadaan kes yang semakin teruk, ujian sampel tekak diambil pada 22 Julai dan disahkan positif Influenza A (H1N1) pada 23 Julai," katanya.

Gadis 20 tahun mangsa ke-4 maut akibat H1N

 28 Jul 2009 - Seorang wanita rakyat Malaysia berusia 20 tahun merupakan mangsa keempat yang meninggal dunia akibat Influenza A (H1N1) di Hospital Melaka, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Ismail Merican di Putrajaya hari ini (29 Julai 2009).

Tuesday, July 28, 2009

Bersama Teman-teman Berjuang Di Medan Ini.

Assalamualaikum wmt. wbh dan salam sejahtera.

Dengan Nama ALLAH Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.

Alhamdulillah setinggi-tinggi syukur atas kurniaanNya. Setelah bertungkus lumus siang dan malam akhirnya siaplah blog di sini ku bermula yang dihiasi dengan kehijauan dan kebiruan ini.

Terjun bersama di medan da'wah

Sebenarnya perasaan untuk memiliki blog sendiri sudah bermain di fikiran semenjak menuntut di UST, Yemen lagi. Alhamdulillah kini diri ini memiliki juga blog sendiri. Perasaan untuk bersama di alam maya juga semakin membara setelah membaca artikel Ust. Zaharuddin Abd. Rahman di dalam blog beliau, artikel bertajuk Takziah Atas Pemergian Yang Pasti. Artikel tersebut berkenaan dengan kematian seorang ust muda yang telah menghembuskan nafasnya dalam usia yang sangat muda (30 tahun) dan meninggalkan isteri dan zuriat yang soleh dan solehah (insyaAllah). Kata Ust. Zaharuddin Abd. Rahman lagi ust. muda tersebut juga meninggalkan hasil penulisan di dalam blog beliau.

Mati meninggalkan ilmu

Ust. muda tersebut ialah Ustaz Wan Mohd Salimi bin Wan Sulong (suami kepada anak sepupu). Jika diimbau kenangan bersama dengan beliau tidaklah banyak. Masih segar di ingatan ketika saat bersama beliau. Alhamdulillah sempat bersama isteri menziarahi beliau dan keluarga sebelum kematiannya. Juga kenangan manis masih segar di ingatan ketika makan bersama di bawah pondok ketika jamuan di sebuah kampung. Walaupun satu sekolah dengan beliau ketika di SMAASZA tetapi tidak rapat dengan beliau. Tetapi rasa sangat bersyukur kerana sempat juga bersama dengan beliau walaupun tidak lama. Blog beliau sehingga ke saat ini masih diziarahi. Beliau merupakan pemilik blog sekali kaki melangkah. Marilah sama-sama sedekahkan Al-Faatihah kepada Al-Marhum. Berita tentang kematian beliau ada tercatat di dalam blog senior semasa di sekolah SMA(A)SZA, Batu Burok. Catatan Abu Umair

Matinya anak adam

Di zaman yang serba canggih dan moden ini para pendakwah seharusnya menceburkan diri di dalam bidang penulisan terutamanya di internet. Ini merupakan sebahagian daripada amal yang soleh. Bertepatan dengan sebuah hadis yang bermaksud:
Sabda Rasulullah s.a.w :
"Apabila telah mati seorang anak Adam,
maka putuslah amalnya kecuali tiga perkara, iaitu:
Sedekah jariah, Ilmu yang bermanfaat
dan anak yang soleh yang mendoakan kepadanya."

Semoga usahaku untuk menjadi salah seorang daripada 'penda'wah siber' di ruang yang tiada batasan ini mendapat berkat serta redha daripada Allah SWT. "ihfazilLaha yahfazka". Yang bermaksud: Jagalah Allah Nescaya Allah akan menjaga kamu.