Thursday, November 4, 2010

Semoga amanah berterusan di Galas

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani. Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam serta ahli keluarga baginda dan para sahabat radhiallahu ‘anhum ajma’iin.

Di saat saya membuat coretan ini, apa yang berlaku di Galas adalah seperti berikut.

Langsung proses pengundian PRK N.45 Galas
Nazri Abdullah, Hazayani Zakaria, Mohd Nor Yahya
GUA MUSANG, 4 Nov: Sejumlah 11,426 pemilih berdaftar bagi Dun Galas akan membuang undi bermula jam 8.00 pagi ini.

8.20 am: Terdapat pondok panas kedua-dua pihak, namun didirikan lebih 100meter dari tempat pembuangan undi.

8.15 am: Berlaku sedikit kekecohan apabila penyokong dan perayu undi BN tidak mahu berganjak dari kawasan pintu pagar sekolah setelah diarah pihak polis.

Penyokong kedua-dua belah pihak diminta berada pada jarak lebih 50meter dr pintu masuk tempat pembuangan undi.

8.10 am: Calon bersama Menteri Besar beredar dari pusat pembuangan undi di sini dan akan ke Sek Cina di Kampung Baru.

8.07 am: TG Datuk Nik Abdul Aziz tiba di Sek Ren Keb Tengku Muhammad Fakri.

8.05 am: Dr. Zulkefli tiba di pusat pengundian Sek Keb Tengku Muhammad Fakri, Sungai Terah.

7.40 am: Calon PAS, Dr Zulkefli Mohamed dijangka melawat tempat pembuangan undi di Sek. Keb. Tengku Muhammad Fakri, Sungai Terah.

Turut serta menemaninya, Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. galas
Mu'tamar Thanawi MPM KUDQI

Lebih kurang jam 9.30 malam tadi telah berakhirnya Mu'tamar Thanawi MPM KUDQI sessi 2009/2010. Alhamdulillah secara rasmi amanah yang digalas iaitu sebagai Pengerusi Tetap atau Speaker telah selesai. Saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua AJK Pelaksana yang telah bertungkus lumus untuk menjayakan mu'tamar pada kali ini. Secara jujur inilah pengalaman yang paling berharga kerana banyak perkara baru yang saya pelajari.

Ini merangkumi apakah tugas sebenar seorang Pengerusi Tetap antaranya:-
a. Apakah tugas sebenar sebagai seorang pengendali menyuarat agung.
b. Bagaimana cara mengendalikan masa yang telah ditetapkan.
c. Bagaimana cara mengendalikan sessi perbahasan.
d. Bagaimana cara mengendalikan isu-isu yang hangat.
e. Bagaimana cara hendak menghangatkan suasana dewan yang hambar.
f. Bagaimana cara hendak mengendalikan ahli dewan yang pelbagai ragam.

Saya mengucapkan berbanyak syukur di atas anugerah serta ni'mat yang telah dikurniakan oleh Allah Subhanahu Wa Ta'ala. Secara peribadi saya merasakan mu'tamar thanawi pada tahun ini merupakan mu'tamar yang terbaik dari segi pengurusan, isu-isu yang diutarakan dan ramai pewakilan yang berani tampil untuk berbahas. Walaupun di sana masih terdapat kekurangan yang perlu ditampung dan diperbaiki pada masa hadapan.

Wind of change

Kita mengharapkan "wind of change" ini terus mendapat tempat di hati mahasiswa KUDQI dan mengharapkan agar ramai lagi mahasiswa yang berani melakukan anjakan paradiqma kepada diri sendiri dan berani untuk melakukan perubahan kepada suasana atau bi'ah yang lebih solehah yang menepati kehendak syariat Islam.

"Kita hendak 'wind of change' yang merupakan tajuk kepada sebuah lagu yang seringkali menjadi siulan anak-anak muda akan terus bertapak di bumi KUDQI". Kataku selaku Pengerusi Tetap semasa mengendalikan dewan.

Saya mengakhiri tugas sebagai Pengerusi Tetap dengan berkata: "Saya mendoakan agar calon yang terpilih menjadi Ahli Jawatankuasa MPMKUDQI untuk sessi 2010/2011 akan terus mendepani cabaran".

WalLahu a'lam.
Ibnu Ibrahim.

Wednesday, November 3, 2010

Pasif

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani. Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam serta ahli keluarga baginda dan para sahabat radhiallahu ‘anhum ajma’iin.

Kuliyyah Tafaqquh Fid-din’

Di dalam artikel yang lepas, saya ada mengatakan untuk memperincikan tiga jenis penyakit yang melanda para dai’e di dalam menjalankan amanah menyampaikan risalah da’wah. Di sini saya akan berkongsi satu kertas kerja yang bertajuk Penyakit Di Jalan Da’wah. Kertas kerja lama ini saya perolehi ketika saya mengikuti ‘Kuliyyah Tafaqquh Fid-din’ anjuran Dewan Pemuda PAS Kawasan Marang. Tarikh pembentangan yang saya catat pada muka depan kertas kerja ialah pada 11 hb Mac 2002. Maaf, saya tidak ingat siapakah pembentang pada waktu itu. Kertas kerja asal ini adalah kertas kerja Allahyarham al-Fadhil Ustaz Haji Fadhil Mohd Noor, seorang murabbi dan juga bekas Presiden PAS sebelum Tuan Guru Haji Hadi Awang menjadi Presiden. Marilah sama-sama kita memberi sedekah kepada Allahyarham al-Fadhil Ustaz Haji Fadhil Mohd Noor. Al-Fatihah dan mendoakan agar rohnya ditempatkan bersama-sama dengan orang-orang yang beriman dan ber’amal soleh.

Di samping itu saya juga membuat penambahan dengan merujuk kitab ‘Wabak Sepanjang Jalan’ karangan Dr. Al Syed Muhammad Noh. Ini bertujuan agar kertas kerja yang walaupun ringkas tetapi lebih padat, cantik dan mudah difahami oleh para dai’e di luar sana.

Kertas kerja Allahyarham

Bismillahirrahmannirrahim. Alhamdulillahi rabbil a’lamin wassolatu wassalamu a’la asyrafi anbiyai wal mursalina wa a’la aalihi wa sohbihi ajmaien, amma ba’du.

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani. Segala puji bagi Tuhan sekalian a’lam. Selawat dan salam ke atas semulia-mulia para nabi yang diutuskan dan ke atas seluruh keluarga serta seluruh sahabat baginda, amma ba’du.

Terlalu banyak penyakit-penyakit yang melanda para pejuang dan perjuangan Islam. Seorang penulis yang bernama Dr. Al Syed Muhammad Noh setakat ini ada menyenaraikan sebanyak dua puluh lapan (28) penyakit, di dalam liqa’ ini kita cuba memperincikan hanya beberapa penyakit tersebut antara lainnya ialah:-
1. pasif,
2. gopoh,
3. kagum terhadap diri sendiri,
4. berpandangan sempit dan
5. bercita-cita untuk berada di saff hadapan serta berusaha untuk menjadi pemimpin.

Dalam kertas kerja ini kita cuba memperkatakan perkara-perkara ini dalam bentuk yang ringkas untuk dijadikan bahan perbincangan dan seterusnya berusaha mengelakkan diri kita daripada dihinggapi oleh penyakit tersebut.

Saudara kamu di jalan Allah,
Haji Fadhil Mohd Noor.

Al-Futur (pasif)

Ta'rif: Bekerja secara berkala sesudah bekerja secara berterusan atau malas menjalankan kerja. Penyakit ini apabila terkena kepada para pejuang Islam paling kurang menjadikan mereka merasa malas bekerja atau suka berehat-rehat atau menangguhkan-nangguhkan kerja.

Sebab yang menjadikan seseorang itu berpenyakit sedemikian ialah:-
a. Keterlaluan di dalam agama, seperti di dalam beri’badat sehingga tidak memberi ruang kepada badan untuk berehat, akhirnya ia menjadi lemah, jemu dan seterusnya bekerja dengan putus-putus atau dengan malas.
b. Menggunakan segala yang harus (makan, minum) dengan melampaui batas, hal ini boleh membawa kepada penguasaan hawa nafsu terhadap seseorang, berat badan menjadi bertambah dan akhirnya terasa malas bekerja.
c. Suka mengasingkan diri daripada jamaah. Akhirnya ia kehilangan para sahabat yang sentiasa memperbaharui kecergasannya.
d. Kurang mengingati mati dan a’lam akhirat.
e. Selalu terjerumus ke dalam ma’siat terutama dalam dosa-dosa kecil dan ia selalu memandang ringan terhadap perkara-perkara tersebut.

(Manakala tambahan daripada kitab ‘Wabak Sepanjang Jalan’ karangan Dr. Al Syed Muhammad Noh.)

f. Pengabaian melakukan ibadah harian.
g. Mengambil makanan yang haram atau syubhah.
h. Penumpuan a’milin ke atas sudut tertentu dari ajaran Islam.
i. Gagal memahami sunnatulLah tentang a’lam dan penghidupan.
j. Mengabaikan hak tubuh badan kerana bebanan tugas dan tanggung jawab di samping kekurangan tenaga a’milin.
k. Tidak bersedia menghadapi halangan dan cabaran dalam perjuangan.
l. Mendampingi golongan yang tidak berjiwa besar.
m. Sambil lewa menjalankan tugas sama ada di peringkat individu atau di peringkat jamaah.

Cara hendak mengubati al-Futur (tambahan daripada kitab ‘Wabak Sepanjang Jalan’ karangan Dr. Al Syed Muhammad Noh)

1. Menjauhkan diri dari melakukan ma’siat sama ada yang besar mahupun kecil.
2. Berterusan melakukan ibadah harian.
3. Mengintai waktu-waktu yang afdhal untuk beramal dan melakukan ibadah.
4. Membebaskan diri dari begitu keterlaluan di dalam agama.
5. Meletakkan diri dalam dakapan jamaah.
6. Memberi perhatian kepada sunnatullah yang wujud pada manusia dan alam seluruhnya.
7. Bersedia untuk berhadapan dengan halangan.
8. Meneliti dan bertindak secara sistematik dalam pekerjaan.
9. Sentiasa mendampingan orang-orang soleh yang berjihad di kalangan hamba Allah.
10. Memberi hak kepada badan.
11. Menghiburkan perlakuan yang harus .
12. Sentiasa merujuk dan mengkaji buku-buku sirah, sejarah dan biografi.
13. Sentiasa mengingati mati dan soal kubur
14. Sentiasa mengingati syurga dan neraka.
15. Sentiasa menghadiri majlis ilmu.
16. Menerima Islam secara keseluruhan.
17. Melakukan muhasabah ke atas diri dan mengkaji setiap masa.