Tuesday, August 4, 2009

Updated news: Ibu berusia 23 Tahun Mangsa ke-7 Manakala Guru Mangsa ke-8

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Dengan Nama ALLAH Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.

Mangsa kematian semakin bertambah dari ke sehari. Ini sangat-sangat memerlukan kepada kesungguhan Kerajaan Malaysia untuk mencegah penyakit ini daripada merebak.

Guru korban kelapan H1N1
Ibu muda baru bersalin di Sarawak turut jadi mangsa selsema babi
KUALA LUMPUR: Dua lagi kematian dicatatkan akibat selesema babi (H1N1), menjadikan jumlah keseluruhan lapan membabitkan seorang guru wanita berusia 51 tahun di Unit Rawatan Rapi, Hospital Seremban dan seorang ibu berusia 23 tahun yang baru bersalin di Hospital Miri.

Menteri Kesihatan, Datuk sri Liow Tiong Lai dalam kenyataan akhbarnya berkata, guru berkenaan dari Kuala Selangor juga menghidap radang paru-paru disahkan meninggal jam 11 malam tadi. Dia mendapat rawatan di klinik swasta dan Hospital Sungai Buloh sebelum ke Hospital Seremban, kata Liow.

Ibu muda berkenaan meninggal pula dunia jam 4 pagi semalam selepas dua minggu melahirkan bayi perempuan.

Wanita berkenaan dimasukkan ke hospital sejak 17 Julai lalu dan disahkan positif selesema babi sebelum meninggal akibat gangguan pernafasan serius awal pagi semalam menjadikannya korban pertama H1N1 di Sawarak.

Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Dr George Chan Hong Nam, berkata bayinya bagaimanapun sihat.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bencana Alam negeri berkata, keadaan ibu muda itu bertambah serius sejak 23 Julai. Doktor dari Kuching turut dihantar ke Miri untuk merawatnya, namun gagal.

"Imuniti wanita mengandung dan selepas bersalin rendah. Walaupun pelbagai usaha dilakukan untuk menyelamatkannya, beliau meninggal awal pagi ini," katanya di Wisma Bapa Malaysia di sini, semalam.

Kelmarin, budak lelaki 11 tahun mangsa keenam selesema babi di negara ini meninggal di Hospital Sultanah Aminah, Johor Baharu.

Dr Chan berkata, setakat ini 110 kes jangkitan tempatan dan 25 kes import dilaporkan di Sarawak dan keadaan agak membimbangkan.

"Keadaan semakin serius. Saya tidak suka menggemparkan orang ramai tetapi semua pihak harus memberi kerjasama mengawal wabak ini," katanya.

Justeru, katanya, orang ramai dinasihat mendapatkan rawatan di klinik atau hospital jika demam, selesema, batuk atau mengesan tanda dijangkiti wabak itu.

Sementara itu di KELANTAN, 13 kes baru dijangkiti H1N1 menjadikan jumlah 21 kes yang kebanyakannya di pusat pengajian tinggi.

Pengerusi Jawatankuasa Bencana Alam negeri, Datuk Mohd Aiseri Alias, berkata empat pusat pengajian tinggi itu ialah Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Pengkalan Chepa; Kolej Kejururawatan Masyarakat, Pasir Mas; Universiti Malaya, Kampus Nilam Puri dan Kolej Islam Sains dan Teknologi (Kist), Bachok.

Katanya, daripada 13 kes baru, hanya dua ditahan dalam wad, manakala selebihnya dikuarantin.

Di KUANTAN, Politeknik Sultan Ahmad Shah (Polisas) menangguh pendaftaran pelajar lama sehingga minggu depan berikutan kira-kira 50 pelajar baru dikesan mempunyai tanda demam, batuk dan selesema.

Pengarahnya, Abu Bakar Ahmad, berkata 50 daripada 1,500 pelajar baru mengadu demam, selesema dan batuk sejak kelmarin.

Berikutan itu, katanya pihaknya mendapatkan kerjasama Jabatan Kesihatan melakukan pemeriksaan kesihatan dan saringan ujian darah pelajar. Beliau menjangkakan keputusan ujian darah itu diketahui sehari dua lagi.

Di PUTRAJAYA, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Ismail Merican, berkata sehingga semalam 17 kes baru dilapor menjadikan keseluruhan 1,446 kes dan daripada jumlah itu 574 adalah kes import, manakala 872 kes jangkitan tempatan.

"Semua kes dicatat semalam adalah jangkitan tempatan dan sporadik atau terpencil membabitkan warga Malaysia," katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Beliau berkata, setakat semalam 1,408 kes pesakit dijangkiti H1N1 sudah sembuh dan hanya 29 kes menerima rawatan antiviral di hospital.

Daripada jumlah itu, beliau berkata, lapan pesakit dirawat di ICU dan sembilan lagi sedang menerima rawatan antiviral di rumah.

"Daripada lapan kes yang dirawat di ICU, empat daripada mereka mempunyai faktor risiko iaitu masing-masing satu bagi obesiti dan hamil, manakala dua lagi mempunyai imuniti rendah," katanya.

Bagi kes sporadik pula, Dr Ismail berkata, tujuh pesakit sedang dirawat di wad isolasi hospital, icu (1) dan pesakit luar (9).
Sumber berita: Mangsa ke-7 dan ke-8

Seorang Ibu Mangsa Ketujuh Influenza A (H1N1)

KUALA LUMPUR, 3 Ogos (Bernama) -- Seorang ibu yang baru bersalin dua minggu lepas di Sarawak menjadi korban negara yang ketujuh akibat influenza A (H1N1).

Mangsa terbaru berusia 23 tahun itu, yang meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi Hospital Miri pukul 4.00 Isnin pagi apabila mengidap pneumonia yang teruk, merupakan kes kematian pertama di negeri itu.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican berkata pesakit itu telah bersalin di hospital yang sama pada 21 Julai lepas.

"Selepas bersalin, beliau didapati mengidap pneumonia yang teruk dan disahkan menghidap jangkitan influenza A (H1N1) pada 23 Julai lepas.

"Simptom utama beliau adalah demam dan batuk yang telah bermula empat hari sebelum bersalin. Bayi pesakit didapati selamat dan disahkan bebas daripada jangkitan influenza A (HINI)," kata beliau.

Sejumlah 17 kes baru turut dilaporkan Isnin, kesemuanya kes tempatan dan melibatkan warga Malaysia, menjadikan kes terkumpul sehingga 8 pagi ini sebanyak 1,446 kes dengan 97 peratus telah sembuh.

Hanya 29 kes yang menerima rawatan antiviral di hospital manakala sembilan lagi menerima rawatan di rumah.

Dr Mohd Ismail berkata Kementerian Kesihatan masih menerima banyak pertanyaan mengenai langkah-langkah pencegahan.

Beliau menasihati ibu bapa jangan membawa anak-anak kecil ke tempat-tempat yang sesak.

Orang ramai juga diminta menjaga kebersihan diri seperti kerap mencuci tangan, menutup mulut ketika bersin atau batuk dan mengelak tempat yang sesak.

"Kementerian Kesihtan yakin dengan kerjasama dan penglibatan semua pihak, penularan influenza A (H1N1) di Malaysia dapat dibendung dengan sebaik mungkin untuk kesejahteraan semua," kata Dr Mohd Ismail.

Beliau berkata situasi semasa global ialah sejumlah 183,854 kes dengan 1,307 kematian dilaporkan, dari 167 negara.

Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Dr George Chan berkata setakat ini terdapat 110 kes jangkitan tempatan dilaporkan di Sarawak selain 25 kes import.

Katanya setakat ini lima buah sekolah di Sarawak masih ditutup selain empat institusi pengajian tinggi awam.

-- BERNAMA
Sumber berita: Mangsa ke-7

No comments:

Post a Comment