Tuesday, August 18, 2009

Kenapa I'jaazul Ilmi?

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Anta minat I’jaazul Ilmi?

Hari itu merupakan hari terakhir minggu pertama diriku menduduki peperiksaan semester kedua. Ketika hati berdebar-debar menunggu ustaz yang menjaga peperiksaan memberikan kertas soalan, tiba-tiba datang seorang ustaz sambil menghulurkan kertas soalan. Lantas menyapaku dengan satu soalan “Anta minat I’jaazul Ilmi?”. Diriku sangat gembira apabila disapa dengan soalan sebegitu. Hilang seketika perasaan berdebar-debar tadi. Tidak tahu bagaimana hendakku gambarkan perasaanku ketika itu. Kenapa? Akan kujelaskan di perenggan berikutnya.

Soalan ustaz tadi kujawab dengan berkata “Minat. Zaujah ana pun minat. Kenapa ustaz?”. Beliau pun menjawab “ana nak buat Kelab I’jaazul Ilmi, nanti anta carikan orang yang betul-betul berminat. Anta carilah dalam 10 orang.” Jawabku kembali “Ok ustaz. InsyaAllah”. Kemudian ustaz tadi pun berlalu untuk mengagihkan kertas soalan kepada pelajar-pelajar lain.

Ketika beliau lalu sekali lagi berhampiran dengan tempat dudukku, diriku terus bertanya tentang bilakah hendak diadakan pertemuan pertama tersebut. Beliau menjawab “kalau boleh kita buat dalam masa terdekat”. “Ok ustaz. Nanti saya maklumkan kepada pelajar yang berminat. InsyaAllah” jawabku kembali.

Ustaz tersebut ialah Ustaz Nik Mohd Noor bin Nik Mat. Beliau merupakan pensyarah yang mengajarku semasa semester pertama dahulu. Beliau lebih dikenali dengan panggilan Ustaz Nik. Semasa berada di Yaman dahulu nama Ustaz Nik seringkali ku dengar sama ada di kalangan pelajar Malaysia mahupun Pensyarah. Pernah sekali pensyarah matapelajaran ‘ulum al-Quran’ semasa di ‘Jamiat al-ulum’ menyebut nama Ustaz Nik di dalam kelas. Pensyarah tersebut memuji kecerdikan Ustaz Nik bagi membangkitkan semangat pelajar terutamanya Pelajar Malaysia untuk mengikuti jejak langkah Ustaz Nik di dalam pelajaran. Walaupun diriku tidak sempat untuk mengenali beliau di Yaman, namun ku diberikan peluang oleh Allah SWT untuk mengutip mutiara yang berharga daripada beliau di tanah air sendiri. Alhamdulillah.

Mesyuarat pertama Kelab I’jaazul Ilmi

Keesokan harinya diriku terus menghubungi beberapa orang sahabat yang kurasakan berminat tentang I’jaazul Ilmi. Alhamdulillah respon yang diberikan agak baik terutama di kalangan pelajar muslimin. Ada di kalangan mereka yang pernah mendengar, membaca atau mempelajarinya ketika berada di luar Negara dan ada juga mengetahuinya melalui bahan-bahan bacaan lain. Manakala respon daripada pelajar muslimat kurang memberangsangkan. Mungkin kerana kurangnya pendedahan tentang ilmu I’jaazul Ilmi di kalangan mereka.

Akhirnya satu pertemuan telah disusun dan diadakan pada 07hb Julai 2009 bersamaan dengan 14hb Rejab 1430H. Mesyuarat kali pertama diadakan adalah bertujuan untuk membincangkan serta merangka gerak kerja yang akan dijalankan oleh ahli kelab. Ustaz Nik Mohd Noor bin Nik Mat telah dilantik sebagai Penasihat Kelab dalam mesyuarat tersebut. Dalam mesyuarat itu juga beliau telah menjelaskan kenapa perlunya diwujudkan kelab I’jaazul Ilmi serta kepentingan mempelajari ilmu ini.

Ilmu Sains mula diminati semenjak di bangku sekolah

Matapelajaran Sains dan Matematik merupakan matapelajaran yang paling kuminati semenjak sekolah menengah lagi. Jika diimbau kenangan semasa belajar di Sekolah Menengah Agama Marang dahulu, matapelajaran Sains merupakan antara matapelajaran yang diminati oleh kebanyakan pelajar. Ini kerana guru yang mengajar matapelajaran Sains waktu itu memasukkan elemen agama ke dalam matapelajaran Sains. Dengan kata lain, guru tersebut mengaitkan apa yang dipelajari di dalam matapelajaran Sains dengan kebesaran dan keagungan pencipta kita.

Ilmu I’jaazul Ilmi pertama kali didengar di Bumi Iman dan Hikmah. Lantas diriku terpaut dengan ilmu tersebut. Ilmu ini sangat sinonim di kalangan pelajar Yaman. Malah matapelajaran I’jaazul Ilmi turut diajar di peringkat sekolah lagi. Pendekatan yang dibawa oleh guru matapelajaran Sains semasa di sekolah menengah merupakan titik tolak kepada minatnya diriku kepada I’jaazul Ilmi. Apatah lagi I’jaazul Ilmi merupakan ilmu yang mengupas tentang mukjizat al-Quran dan Rasul dengan pembuktiaan saintifik dan teknologi.

Pengenalan I’jaazul Ilmi

Berikut merupakan penjelasan oleh Ustaz Nik Mohd Noor bin Nik Mat berkenaan dengan I’jaazul Ilmi ataupun dikenali sebagai ilmu saintifik al-Quran.

I’jaazul Ilmi ialah pemberitahuan al-Quran ataupun al-Sunnah tentang hakikat teori yang di jumpai oleh sains. Ia sememangnya tidak dapat dijangkaui oleh kemampuan manusia di zaman Rasulullah disebabkan teknologi yang belum berkembang pada zaman itu. Ini menjadi bukti kebenaran Nabi Muhammad SAW terhadap apa yang baginda sampaikan.

Artikel yang berkaitan dengan I'jaazul Ilmi akan menyusul selepas ini untuk memantapkan lagi ilmu berkenaan dengan saintifik al-Quran ini.

Sebagai Cetusan Baru di Kalangan Pelajar

Alhamdulillah dengan tenaga kerja yang terhad Kelab I’jaazul Ilmi telah berjaya mengadakan pameran selama dua hari sempena Konvokesyen Pelajar dan juga Seminar Fiqh Semasa. Pameran tersebut telah diadakan pada 14 dan 15hb Ogos 2009 baru-baru ini.

Walaupun sambutan yang diberikan tidaklah menggalakkan tetapi sekurang-kurangnya telah berjaya membuka minda pelajar dan juga masyarakat luar tentang kewujudan ilmu ini serta kepentingannya. Dan pada hari pameran juga beberapa orang pelajar telah mendaftarkan diri menjadi ahli Kelab I’jaazul Ilmi. Sebenarnya banyak lagi yang perlu dibuat penambahbaikan kepada bahan pameran itu sendiri. Dan boleh juga dikatakan pameran kali pertama ini merupakan percubaan yang berjaya daripada Kelab I'jaazul Ilmi.

Syabas diucapkan kepada AJK Kelab I'jaazul Ilmi yang bertungkus-lumus menjayakan pameran tersebut. Semoga Kelab I'jaazul Ilmi akan terus mantap di masa-masa yang akan datang dan semoga ahli Kelab I’jaazul Ilmi akan terus bertambah dari semasa ke semasa. InsyaAllah.

artikel yang berkaitan: projek i'jaazul ilmi

No comments:

Post a Comment