Tuesday, August 4, 2009

Anta Ni Keras Sangat Syeikh...

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Dengan Nama ALLAH Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.

Saya juga bantah jika blog diguna untuk politik semata-mata!

“Anta ni keras sangat syeikh”. Kataku dalam nada bergurau selepas seorang sahabat memberikan respon awalnya tentang jemputan bertandang ke blog saya. Dia berkata bahawa dia bantah sesiapa yang ingin membuat blog dengan tujuan politik. Pada saya itu merupakan pandangan peribadi beliau. Kebiasaannya saya menggelar ‘syeikh’ kepada sahabat-sahabat seperjuangan. Banyak pengalaman dan suka duka selama berada di perantauan. Boleh dikatakan agak lama juga saya berada di negeri orang semenjak diriku bujang sehinggalah bertemu dengan jodoh melalui ‘perantaraan’ seorang senior.

Sekadar pandangan peribadi
Terlebih dahulu saya memohon maaf kerana menulis artikel yang agak berat sedikit. Perkara ini sudah lama berlegar di dalam pemikiran. Berbalik kepada topik. Apabila merenung dalam-dalam saya boleh bersetuju dengan pandangan peribadi beliau. Dan ianya seakan senada dengan pandangan peribadi saya. Cumanya ada sedikit perbezaan di antara pandangan peribadi saya dengan pandangan peribadi beliau tersebut. Pada saya, perbezaan tersebut tidaklah menjadi isu yang besar pun. Sekadar mengutarakan pandangan peribadi. Bukankah Allah SWT menjadikan seseorang itu mempunyai tahap pemikiran yang berbeza. Maka ini pandangan peribadi saya. Jika sekiranya sesebuah jemaah atau pertubuhan itu mengutamakan politik melebihi da’wah maka akan hilanglah roh sesebuah jemaah tersebut.

Membesar dalam suasana hijau

Saya akan menumpukan perbahasan ini kepada Gerakan Islam PAS. Alhamdulillah saya dibesarkan dalam suasana yang agak Islamik dengan tarbiyah secara tidak langsung walaupun ayah saya bukanlah seorang ustaz. Daripada kecil dibawanya saya ke tempat-tempat pengisian ilmu dan juga ceramah PAS. Antara yang tidak dapat saya lupakan ialah betapa nikmatnya tidur dalam pangkuan ayah di mana-mana tempat pengisian dan juga ceramah. Maklumlah masih kecil. Tidak tahu apa-apa lagi apa itu politik dan seumpamanya. Ianya segar terpahat di ingatan walaupun ianya berlaku 20 tahun lebih. “Ya Allah SWT panjangkanlah usia ayah dan ibuku untukku berbakti kepadanya. Amin” Jadi saya melihat tidak timbul persoalan Gerakan Islam PAS melebihkan politik daripada da’wah. Ianya seiring. Tinggal lagi tahap pemahaman seseorang tentang Gerakan Islam PAS. Jika ia meneliti dengan mendalam maka dia akan melihat bahawa Gerakan Islam PAS merupakan Gerakan Siasah Nafas Panjang.

Gerakan Islam PAS Merupakan Gerakan Siasah Nafas Panjang.

Untuk memantapkan lagi pemahaman kita tentang ciri-ciri sebuah gerakan Islam. Saya mengutip pandangan Al-Marhum Syeikh Dr. Fathi Yakan di dalam buku beliau ‘Maza Ya’ni Fi al-Islam’ yang bermaksud “Apa Ertinya Saya Menganut Islam”. Ini merupakan salah satu daripada ciri yang beliau nyatakan dalam buku tersebut. Seperti yang semua sedia maklum tentang perginya seorang ulama’ haraki dengan meninggalkan mutiara yang sangat berguna. Marilah sama-sama sedekahkan al-fatihah buat beliau. Baca juga artikel Takziah Atas Pemergian Yang Pasti dan juga blog sahabat
Syeikh Fathi Yakan; Bahaya AIDS Haraki Dalam Gerakan Islam


Tulisan Al-Marhum Syeikh Dr. Fathi Yakan antaranya;
[Siasah Nafas Panjang

Tanggungjawab yang besar dan berat yang dibebankan ke atas bahu petugas di medan da’wah membuktikan betapa perjalanan da’wah ini adalah panjang dan jauh, gerak-kerjanya terlalu sukar dan jihadnya adalah sengit. Oleh yang demikian, mereka yang mengikuti jalan ini wajib mempunyai persediaan untuk menghadapi segala bentuk kekerasan, kesukaran dan pengorbanan. Firman Allah Swt di dalam Surah Al-Ankabut 29: Ayat 2-3 Maksudnya: “Apakah manusia itu menyangka bahawa mereka dibiarkan (begitu sahaja dengan) mengatakan: “Kami telah beriman” sedangkan mereka belum diuji lagi. Dan sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta”.

Orang-orang yang menggabungkan diri dengan Harakah Islamiyah mestilah berpegang teguh kepada siasah nafas panjang, supaya dengan cara ini da’wah ke jalan Allah dapat dilakukan dengan pandangan yang jelas dan dengan niat menuntut keredhaan Allah Swt. Mereka tidak akan mundur di tengah perjalanan dan tidak tergesa-gesa hendak merasai hasil kerja sebelum tiba waktunya. Ini semua tidak akan berlaku kecuali setelah mereka memahami bahawa kerajaan Islam adalah wasilah untuk mencapai matlamat perjuangan.

Kalaulah sekiranya mereka berjaya melaksanakan pemerintahan Islam, mereka bersyukur kepada Allah. Sebaliknya jika mereka tidak berjaya, tidak pula berputus asa, tidak kecewa dan tidak akan merasa takut. Dengan usaha kerja tersebut bermakna mereka telah menunaikan amanah dan telah melaksanakan kewajipan da’wah.

Boleh jadi ada orang berkata: “Bagaimanakah keadaannya dengan parti-parti politik yang bertindak secara kotor dan menjadi talibarut penjajah telah berjaya menubuhkan kerajaan dan mendapat kekuasaan di sana sini dalam waktu yang begitu singkat dengan cara yang begitu mudah?

Untuk menjawab persoalan tersebut kita mengatakan bahawa kedua-dua jalan (jalan perjuangan Islam dan jalan parti-parti politik) itu adalah berbeza kerana Harakah Islamiyah tidak akan sampai kepada matlamatnya kecuali dengan dengan cara yang berbeza dan bersih. Sekiranya anda (termasuk saya) rela ditunggangi oleh kekuatan seperti ini atau diperalat oleh penjajah atau yang seumpamanya anda akan mencapai tujuan seperti yang mereka capai.

Ingatlah Firman Allah swt di dalam Surah Al-Syura: Ayat 15 yang bermaksud: “Maka kerana itu serulah (mereka kepada agama itu) dan tetap sebagaimana yang diperintahkan kepadamu dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka”]

Politik itu kotor atau orang politik yang cintakan duniawi kotor?
Berbalik kepada pandangan sahabat saya tersebut. Sahabat saya mungkin mempunyai alasan tersendiri. Tambahan pula sekarang ini istilah politik telah disalah tafsirkan. Politik sering kali dirangkaikan dengan perkataan ‘kotor’. Maka seringkali kedengaran ‘politik kotor’. Persoalannya siapakah yang mengotorkan politik? Jika bukan politikus yang mengotorkannya maka pada saya tiada siapa lagi yang boleh dipersalahkan. Tidak dinafikan bahawa politik juga merupakan wasilah da’wah. Saya lebih berminat untuk menggunakan perkataan ‘siasah’ berbanding dengan perkatan ‘politik’. Ini kerana perkataan siasah merujuk kepada Politik Islam. Dalam Islam adanya ‘siasah syariyyah’ yang mana ianya mencakupi makna siasah dan juga da’wah.

Siasah, da’wah dan tarbiyah hendaklah seiring

Perlu difahami bahawa siasah dan da’wah hendaklah seiring dalam usaha kita hendak menegakkan Islam. Antara contoh yang ada di hadapan kita ialah apa yang telah dilakukan oleh kedua-dua murabbi kesayangan kita iaitu Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang. Lihatlah bagaimana cara kedua-dua tok guru mendidik dan mentarbiyah ahli di peringkat bawah dengan menyampaikan kuliah setiap pagi Jumaat. Oleh yang demikian, ahli diperingkat bawah secara tidak langsung memahami bahawa da’wah dan politik adalah seiring. Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat seringkali mengingatkan ahli supaya sentiasa kita menyebut Parti Islam PAS dan kurangkan kita menyebut Parti PAS. Pada saya ini merupakan salah satu strategi da’wah.

Perlu difahami juga bahawa penyertaan Gerakan Islam PAS ke dalam pilihanraya adalah merupakan jalan ‘Dakwah dan Jihad’. Itulah sebabnya kita melihat bahawa tarbiyah dalaman tetap berterusan walaupun selesai pilihanraya. Program-program usrah dan latihan (tamrin) terus berjalan sebelum dan selepas pilihanraya.

Mari kita melihat penegasan yang dibuat oleh Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang ketika membentangkan ucapan dasar dalam Muktamar PAS yang ke-55 pada 11-13 Jamadilakhir 1430H bersamaan 5-7 Jun 2009 di Stadium Melawati, Shah Alam, Selangor.


[Gerakan Islam PAS Merupakan Sebuah Parti Siasah Islam, Gerakan Da’wah dan Tarbiyah

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Hai orang-orang yang beriman hendaklah kamu jadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) Kerana Allah, menjadi saksi dengan adil. dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, Sesungguhnya Allah Maha mengetahui apa yang kamu kerjakan. (Surah Al-Maa-idah: Ayat 8)

Atas dasar inilah PAS sebagai sebuah parti siasah Islam, gerakan da’wah dan tarbiah terus-menerus mendokong nilai-nilai Islam yang kekal dan dinamis serta nilai-nilai yang tidak bersifat perkauman. Politik yang kita majukan adalah berteraskan politik ‘lita’arafu’ politik saling menghormati, khususnya bagi Negara bangsa ini yang bersifat majmuk, maka bertambah penting bagi PAS menyerlahkan sifat keadilan Islam yang mampu meraikan kepelbagaian.

Hakikat sebenar Gerakan Islam PAS

Pada masa yang sama, kita menyedari bahawa PAS dianggotai oleh individu yang mempunyai pelbagai latar belakang pendidikan, pekerjaan dan lain-lainnya. Sesetengahnya pula menerima didikan awal dari pelbagai organisasi da’wah dan ada yang tidak mempunyai latar belakang tarbiyah Islam langsung. Itulah hakikat kerencaman ahli dalam parti kita ini.

Walaupun PAS sungguh terbuka untuk menerima idea-idea baru, semua yang menjadi ahli PAS ini perlulah ditarbiyah dengan kefahaman ‘fiqh siyasi’ yang diperjuangkan oleh PAS, serta memahami budaya dan kaedah PAS. Institusi usrah dipelbagai peringkat pula perlulah diperkukuhkan untuk melahirkan ahli yang faham serta istiqamah dengan perjuangan yang kita bawa ini.]

Kesimpulan

Akhirnya marilah kita sama-sama berdoa agar diberikan kekuatan Iman dan Islam di dalam meneruskan sisa-sisa baki umur kita yang masih ada ini. Dan juga semoga kita dimatikan di dalam perjuangan menegakkan Islam di mana jua kita berada. Insya Allah. Saya juga menyusun 10 jari jika ada yang terasa, terguris dengan tulisan saya kali ini. Ini merupakan pandangan peribadi. Sebahagian yang lain saya nyatakan pandangan serta penegasan oleh ulama’. Dan saya akui juga setiap orang berhak menyuarakan pandangan serta pendapat. Jika ada sedikit perbezaan di antara kita maka tidaklah ianya mencacatkan ukhuwwah yang kita bina dan pupuk selama ini. Maka apa yang baik ambillah ia sebagai pengajaran dan yang buruk itu dijadikan sempadan.

No comments:

Post a Comment