Sunday, August 30, 2009

Fasa kedua madrasah

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Dengan Nama ALLAH Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani. Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhamad S.A.W serta ahli keluarga baginda dan para sahabat r.a.

Bakal memasuki fasa kedua madrasah Ramadhan

Tenangnya hari ini setenang air di tasik. Alhamdulillah Allah SWT masih lagi memberikan kepada kita kekuatan untuk terus melakukan ibadah di bulan yang mulia ini. Fasa pertama madrasah ramadhan sudah sampai ke penghujungnya yang mana fasa pertama (selama 10 hari) di bulan Ramadhan dikenali sebagai ‘awwaluhu rahmah’ (awalnya rahmat). Hari ini merupakan hari yang ke 9 umat Islam berpuasa. Tinggal 1 hari lagi baki fasa pertama bulan Ramadhan dan selepas ini umat Islam akan memasuki fasa kedua madrasah tarbiyah bulan ramadhan.

Fasa yang kedua (selama 10 hari ) dikenali sebagai ‘ausotuhu maghfirah’ (pertengahannya keampunan) dan fasa yang terakhir dikenali sebagai ‘aakhiruhu itqun minan nar’ (pengakhirannya kebebasan daripada api neraka). Semoga baki hari-hari yang masih ada kita mencari rahmat Allah SWT, keampunanNya dan kebebasan daripada azab api neraka. Mudah-mudahan kita menepati piawaian dan ciri-ciri puasa yang dikehendaki oleh Allah SWT. InsyaAllah.

Pagi subuh yang mengejutkan

Beberapa hari yang lalu, semasa turun dari rumah untuk menunaikan solat subuh di surau, saya telah dikejutkan dengan kehilangan ‘kuda’ kesayangan. “Alhamdulillah. Tuhan sedang mentarbiyah diriku”. Bisik hati kecilku. Begitulah setiap kali diriku berdoa kepada Allah SWT. Antara yang menjadi doa setiap kali selepas solat. “Ya Allah. Ampunkanlah dosa dan peliharakanlah diri hambaMu ini dari melakukan perkara yang Engkau murkai. Tarbiyahkanlah diri hambaMu ini menjadi hamba yang benar-benar beriman dan bertaqwa kepadaMu. Kurniakanlah hambaMu ini zuriat-zuriat yang soleh dan solehah. Amin. Ya Allah”. Alhamdulillah ujian Allah ini diterima dengan redha dan semoga Allah terus mengurniakan diriku ketabahan dalam setiap ujian yang dihadapi.

Firman Allah SWT dalam Surah Sod: Ayat 32 yang berbunyi:


Walaupun 'kuda'ku itu tadi tidaklah terlalu melalaikanku namun dengan kehilangannya diriku menyedari betapa besarnya nikmat sesuatu yang dipinjamkan oleh Allah kepada kita. Seperti mana yang saya tulis dalam artikel-artikel yang lalu, bulan Ramadhan merupakan madrasah tarbiyah. Semoga Allah SWT terus mentarbiyah diri kita dan umat Islam yang lain menjadi insan yang terpilih untuk terus istiqamah di jalanNya. InsyaAllah.

Kuda hitamku yang hilang

Saya tetap memohon kepada Allah SWT agar ‘kuda’ yang hilang tersebut dapat dijumpai semula. Dan saya juga tetap redha jika ‘kuda’ tersebut tidak dijumpai lagi. Sedih juga rasanya. Banyak jasa ‘kuda’ tersebut semasa saya masih belum mempunyai pacuan empat roda. ‘Kuda’ tersebut pernah digunakan untuk menghadiri program dan usrah yang jarak perjalanannya tidak terlalu jauh dan merupakan kenderaan yang pertama digunakan semasa baru kahwin.

Sesungguhnya sedikit sahaja nikmat yang ditarik oleh Allah SWT berbanding dengan dosa yang dilakukan. Semasa iman seseorang manusia lemah maka banyaklah dosa yang dilakukan. Namanya pun manusia. “Ya Allah ampunkanlah dosa hamba-hambaMu. Amin ya Allah.” Sesiapa pun akan sentiasa teringat akan barang yang telah hilang. Begitu juga halnya dengan diri saya. Mudah-mudahan perasaan sayangnya saya terhadap ‘kuda’ tersebut tidak melebihi sayang dan cinta hambaNya terhadap pencipta. Semoga Allah SWT menggantikan ‘kuda’ semasa di atas dunia ini dengan kuda yang sebenar di akhirat nanti iaitu kuda yang paling baik, yang paling cantik dan yang paling tangkas. InsyaAllah.

Hari yang menggembirakan kepada sahabat-sahabat

Alhamdulillah. Pagi tadi saya sempat bersama-sama mengiringi sahabat yang dapat melanjutkan pengajian ke luar Negara. Ramai senior (walaupun senior, tetapi jarak umur jauh lebih muda daripada saya) yang dapat melanjutkan pengajian ke Indonesia untuk meneruskan pengajian dalam bidang Ijazah di sana. Pelbagai suasana yang mewarnai ketika itu. Ada sahabat yang gembira melihat senior-senior mereka dapat pergi ke luar Negara. Seterusnya menjadi motivasi kepada pelajar junior.

Semoga sahabat yang berjaya ke Indonesia dapat mengambil manfaat dengan menimba ilmu sebanyak mungkin di sana. Dan apabila pulang akan menjadi ikon kepada masyarakat yang dahagakan ilmu Islam. Masyarakat hari ini berada di dalam keadaan kelam kabut dalam segala bidang. Hari ini seluruh Negara digemparkan dengan wabak H1N1 dan pada masa yang sama juga Negara kita dilanda ‘wabak haru-biru’ yang mana pemahaman masyarakat terhadap Islam telah tersasar jauh daripada yang sebenar. Maka menjadi tanggungjawab bagi yang memdalami ilmu agama untuk pulang memberikan ingatan kepada kaum mereka. Bertepatan dengan firman Allah SWT dalam Surah At-Taubah: Ayat 122 yang berbunyi:


Ibu mana yang tidak sedih untuk berpisah dengan anak

Manakala suasana yang sebaliknya berlaku di kalangan ibu-ibu yang menghantar anak-anak mereka. Kelihatan ibu-ibu yang mengesat air mata tatkala berpisah dengan anak mereka. Suasana seperti ini sememangnya biasa berlaku. Ibu mana yang tidak sayang akan anaknya dan ibu mana yang sanggup untuk berpisah lama dengan anaknya. Semoga ibu-ibu yang menghantar anak sentiasa mendoakan agar anak mereka dipermudahkan di dalam urusan menuntut ilmu mereka dan selamat kembali ke tanah air semula. InsyaAllah.

No comments:

Post a Comment