Thursday, August 27, 2009

Orang Kurang Upaya Yang Berupaya

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Dengan Nama ALLAH Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani. Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhamad S.A.W serta ahli keluarga baginda dan para sahabat r.a.

Hari ke-6 kita berpuasa, 2 hari selapas menang

Alhamdulillah pada hari ini kita masih lagi diberikan peluang untuk merasai nikmat Iman dan Islam. Hari ini merupakan hari yang keenam kita berpuasa di bulan ramadhan. Alhamdulillah setinggi-tinggi syukur kita kehadrat Ilahi di atas kemenangan pada Pilihanraya Kecil Permatang Pasir kali ini. Semoga dengan kemenangan ini akan terus menjadi suntikan semangat kepada seluruh pejuang Islam.

Bulan ini al-Quran yang merupakan mukjizat Nabi SAW telah diturunkan dan menjadi panduan kepada seluruh umat Islam. Marilah kita sama-sama memanfaatkan peluang ini untuk menghayati seluruh isi kandungan al-quran. InsyaAllah.

Dikejutkan dengan berita kematian

Pagi tadi sempat mengucapkan takziah kepada seorang muslimat tentang kematian bapanya melalui 'kotak jerit' di blognya.

Baru sebentar tadi pula kita telah dikejutkan dengan satu berita tentang kematian seorang Orang Kurang Upaya (OKU). Apabila terbaca nama Dr. Ismail Salleh lantas saya teringat saat berborak dengan bapa mertua tentang Allahyarham sewaktu beliau muncul dikaca televisyen di dalam satu program. Pakar ekonomi yang saya maksudkan ialah Senator Prof Datuk Dr Ismail Md Salleh, seorang OKU yang cacat penglihatan tetapi dikurniakan aqal yang sangat cerdik. Semoga ikon OKU ini menjadi sumber inspirasi kepada kita untuk terus berusaha ke arah kejayaan yang lebih gemilang di masa-masa mendatang.

Beliau merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Twintech Holdings dan Naib Canselor Universiti Kolej Antarabangsa Teknologi Twintech. Selain itu Allahyarham merupakan bekas timbalan ketua pengarah Institut Kajian Strategik Antarabangsa (ISIS).

Ucapan takziah dan al-faatihah

Saya ingin mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarganya supaya bersabar dengan ujian dan dugaan Allah SWT ini. Semoga rohnya ditempatkan bersama dengan orang-orang yang soleh. Akhbar Malaysiakini versi online melaporkan beliau telah meninggal dunia dalam penerbangan dari China ke Singapura awal hari ini. Menurut akhbar itu lagi Allahyarham Dr Ismail, 61, telah mencipta sejarah sebagai senator pertama yang dilantik dari kalangan Orang Kurang Upaya (OKU) dan cacat penglihatan di Malaysia.

Marilah sama-sama kita mensedekahkan al-faatihah kepada Allahyarham Senator Prof Datuk Dr Ismail Md Salleh. Berikut merupakan berita dan ucapan takziah daripada Ketua Pemuda PAS Pusat Al-Fadhil Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi berhubung dengan kematian Allahyarham.

Senator, profesor OKU terhebat meninggal

Ogos 27, 09 11:45am

Pakar ekonomi Senator Prof Datuk Dr Ismail Md Salleh meninggal dunia semasa dalam penerbangan dari China ke Singapura awal hari ini. Menurut pegawai Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura, Prof Dr Ismail disahkan meninggal dunia di Hospital Besar Singapura sebaik tiba di hospital itu pada kira-kira pukul 8 pagi. Hospital itu kini dalam proses bedah siasat untuk mengetahui punca kematian, katanya ketika dihubungi Bernama.

Allahyarham mencipta sejarah

Allahyarham Dr Ismail, 61, mencipta sejarah sebagai senator pertama yang dilantik daripada kalangan Orang Kurang Upaya (OKU) dan cacat penglihatan di Malaysia. Beliau juga ialah bekas timbalan ketua pengarah Institut Kajian Strategik Antarabangsa (ISIS). Bapa kepada enam orang anak itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif Twintech Holdings dan Naib Canselor Universiti Kolej Antarabangsa Teknologi Twintech. Beliau dilahirkan di Pasir Mas, Kelantan pada 2 Sept, 1947 dan pernah mendapat pelbagai anugerah atas kecemerlangannya di bidang pengajian, antaranya, anugerah Guiness Book of Records sebagai orang cacat penglihatan pertama di dunia mendapat ijazah Doktor Falsafah.

Ucap takziah

Sementara itu, Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) mengucap takziah kepada keluarga allahyarham Dr Ismail. Dalam satu kenyataan hari ini, Ketuanya, Nasrudin Hassan berkata, pihaknya melihat Dr Ismail sebagai seorang ikon yang berjaya walaupun dalam keadaan kurang upaya.

"Namun peranan serta semangat beliau melebihi daripada orang kebiasaan.

"DPP menghargai peranan beliau terutama dalam memperjuangkan nasib serta hak golongan orang kurang upaya di Malaysia dan berharap agar kerajaan melaksanakan segala usaha dan peranannya sebagai satu tanda penghargaan kepada beliau," tegas Nasrudin.

Berita dipetik Malaysiakini

No comments:

Post a Comment