Thursday, August 20, 2009

Madrasah yang bakal dibuka..

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Dengan Nama ALLAH Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.

Ahlan wa sahlan ya Ramadhan! Selamat menyambut Ramadhan buat seluruh umat Islam

Tinggal beberapa hari sahaja lagi bulan Syaaban akan melabuhkan tirainya meninggalkan kita. Ini bermakna umur kita telah bertambah satu bulan dan kita semakin menghampiri kepada kematian. Kita akan dipertemukan pula dengan satu bulan yang mempunyai satu malam yang sangat istimewa. Malam tersebut ialah ‘lailatul qadar’ dimana fadhilat mengerjakan ibadah pada malam tersebut lebih baik daripada 1000 bulan. Bulan yang saya maksudkan ialah bulan Ramadhan. Barangsiapa yang berpuasa pada bulan ini Allah SWT sendiri yang akan menentukan berapa kadar pahala yang akan diperolehinya. Semoga kita diberikan kesempatan oleh Allah SWT untuk berada di dalam bulan Ramadhan daripada hari pertama sehinggalah ke akhirnya.


Ramadhan kareem; Madrasah iman dan taqwa

Sepertimana yang kita biasa dengar daripada ceramah ustaz-ustaz bahawa bulan Ramadhan merupakan bulan turunnya Kitab Allah al-Quranul Karim (syahrul Quran). Al-Quran telah diturunkan oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW yang merupakan mu’jizat sehingga ke akhir zaman. Al-Quran mengandungi seluruh panduan hidup manusia di atas muka bumi dan telah diturunkan pada malam berlakunya peristiwa Nuzul Quran.

Bulan Ramadhan juga dikenali dengan bulan ibadah (syahrul ibadah), bulan sedeqah (syahrul sadaqah) dan bulan jihad (syahrul jihad). Pada bulan yang sangat mulia dan penuh dengan keberkatan ini, saya mengajak diri saya yang lemah serta dhaif ini dan juga teman-teman untuk bersama-sama memanfaatkan sepenuhnya pada bulan Ramadhan al-Mubarak ini.

Merindui suasana berpuasa di Bumi Iman dan Hikmah

Alhamdulillah saya diberikan keizinan dan kesempatan oleh Allah SWT untuk berada di bulan Ramadhan di bumi Yaman. Apa yang saya dapat rasakan banyak perbezaannya suasana Ramadhan di Bumi Yaman jika hendak dibandingkan dengan suasana Ramadhan di tanahair sendiri. Di Yaman kita dapat melihat suasana ‘hidup’ dengan ibadah pada malam hari. Masjid-masjid akan dipenuhi dengan orang ramai yang hendak mengerjakan ibadah tarawikh. Suasana seperti ini akan berterusan sehinggalah selepas Ramadhan. Setiap malam Ramadhan selepas solat tarawikh pengisian tentang fadhilat serta kelebihan Ramadhan akan disampaikan oleh syeikh-syeikh tuan guru.

Apabila berbuka puasa kita akan berbuka dengan makanan yang sedikit. Ini kerana, masyarakat di Yaman berbuka puasa dengan kadar yang sederhana. Secara tidak langsung kita dijauhkan daripada amalan pembaziran. Manakala pada 10 malam terakhir saya serta beberapa teman sempat beri’tikaf di masjid dengan meninggalkan isteri untuk mencari ‘lailatul qadar’. kami akan berada di masjid tanpa keluar. Entah bilakah lagi saya akan dapat merasai nikmat tersebut di Bumi Yaman. Wallahu aklam.

Suasana Ramadhan di Malaysia

Di Malaysia, lazimnya akan kedengaran lagu-lagu raya di corong-corong radio serta televisyen pada bulan yang penuh dengan keberkatan ini. Sedangkan para sahabat Nabi SAW menyambut Ramadhan dengan penuh rasa kerinduan dan menangis apabila hendak berpisah dengan Ramadhan. Promosi filem-filem baru akan menghiasi media-media massa. 10 Malam terakhir bulan Ramadhan para wanita sibuk dengan membuat kuih-kuih raya serta sibuk dengan membuat tempahan baju-baju raya. Suasana seperti ini akan menyebabkan segelintir umat Islam di Malaysia tidak lagi merasai kerinduan menanti bulan Ramadhan bahkan meninggalkan Ramadhan dalam keadaan gembira.

Pada awal Ramadhan kita melihat masjid-masjid juga penuh dengan orang ramai. Alangkah seronoknya jika suasana tersebut berterusan sehingga selepas Ramadhan. Akan tetapi kita akan melihat bilangan jemaah akan berkurang apabila bertambahnya bilangan hari di bulan Ramadhan. Akhirnya apabila Ramadhan pergi meninggalkan kita masjid-masjid akan kembali sepi.

Banyak bazar Ramadhan dibuka dengan jualan pelbagai kuih-muih. Ini akan membuka selera pengunjung bazaar Ramadhan. Ada yang membeli kuih-muih dalam kuantiti yang banyak untuk juadah berbuka puasa. Ada yang terpaksa membuang lebihan makanan yang tidak habis. Lazimnya manusia berbuka puasa dalam kadar yang sedikit. Ini secara tidak langsung telah menyebabkan berlakunya pembaziran.

Keluar daripada madrasah dengan taqwa

Semoga kita semua dapat melakukan ibadah di bulan Ramadhan kali ini dengan sebaik-baiknya. Diberikan hidayah serta dikurniakan ‘lailatul qadar’. Akhirnya semoga diberikan kesempatan untuk berjumpa semula dengan Ramadhan pada tahun hadapan. InsyaAllah.

3 comments: