Sunday, July 11, 2010

Mati tetapi hidup

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani. Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam serta ahli keluarga baginda dan para sahabat radhiallahu ‘anhum ajma’iin.

Isu-isu yang melanda

Terlebih dahulu saya menyusun 10 jari kerana sudah lama tidak mengemaskini blog. Pelbagai perkara yang menghalang. Banyak perkara yang tidak sempat saya memberikan komentar dan pandangan berkenaan dengan dengan isu-isu yang melanda umat islam sama ada di Malaysia atau pun luar Negara.

Antaranya muktamar PAS, penubuhan bank bayi dan yang terkini PAS dituduh mengamalkan ajaran sesat. Tuduhan yang tidak berasas ini telah dibuat oleh seorang yang berstatus menteri. Pada saya tuduhan ini sangat berat dan perlu kepada bukti yang jelas untuk mengaitkan PAS dengan ajaran sesat. Sebenarnya sudah banyak kali PAS dikaitkan dengan perkara-perkara yang tidak masuk aqal. PAS pernah dikaitkan dengan keganasan. PAS dituduh sebagai rangkaian pengganas dengan dikaitkan dengan al-Maunah, peristiwa di Sauk dan JI dan KMM.

Alhamdulillah segala tuduhan yang dilempar atas dasar perasaan hasad dengki telah berjaya ditepis dengan mudah oleh kepimpinan PAS yang bijaksana. Terutamanya Allahyarham al-fadhil Ustaz Fadhil Noor. Semoga roh beliau sentiasa berada bersama pejuang-pejuang yang gugur syahid dalam usaha menegakkan kalimah Allah yang tinggi.

Syuhada' Mavi Marmara

Mendengar pengalaman yang diceritakan dalam oleh sukarelawan yang terlibat dan membaca di media-media yang melaporkan sebenarnya Israel takut dan hanya berani di sebalik topeng. Itulah sebenarnya sifat sebenarnya. Jabhah Ulama’ Al-Azhar mengatakan “Syahid di Laut, Syahid Paling Mulia”. Katanya lagi “Sungguh amat mulia anda…… mulianya jihad anda”. Di antara senarai syuhada tersebut yang paling muda sekali gugur syahid berumur 19 tahun. Beruntungnya pemuda tersebut. Jika dibandingkan dengan remaja di Negara kita dalam umur sedemikian tenggelam dalam arus zaman. Sedih kita memikirkan keadaan remaja kita. Dalam umur remaja mereka dileka dengan keseronokan dunia yang sementara yang tidak mempunyai masa depan. Ramai yang terlibat dengan gejala sosial, zina, buang bayi dan pelbagai masalah lagi.

Berbeza dengan Furkan Dogan, dia jelas akan matlamat sebenar kita dilahirkan di atas muka bumi ini. Tidak lain dan tidak bukan untuk mengabdikan diri kepadaNya dalam apa jua keadaan sekalipun. Dia tahu bahawa hidup yang kekal abadi adalah di sana dan bukannya di sini. Di sini tempat untuk bercucuk tanam manakala di akhirat sana tempat kita menuai hasilnya. Furkan Dogan antara yang 9 orang yang ditembak mati oleh Israel laknatulLah. Betapa jahatnya Israel dan sememangnya Israel jahat dan perangai seperti binatang buas yang hanya menunggu mangsanya untuk diterkam.

Semoga roh para syuhada' Gaza ditempatkan bersama syuhada'-syuhada' yang telah pergi dahulu menemui RabbNya. Sebenarnya mereka yang gugur di jalanNya bukan mati bahkan mereka hidup di sisi TuhanNya dengan mendapat rezeki. Marilah kita sedekahkan al-Fatihah kepada para Syuhada'.

Firman Allah Taala di dalam Surah Ali-Imran : Ayat 169 - 171.





Berikut adalah senarai yang gugur syahid adalah seperti berikut:

1. Ibrahim Bilgen, 61, seorang jurutera elektrik dari Siirt, Turki. Ahli Chamber of Electrical Engineers di Turki, berkahwin dan mempunyai enam orang anak.

2. Ali Haydar Bengi, 39, dari Diyarbakir. Graduan Universiti Al-Azhar, Kaherah, Mesir. Telah berkahwin dan mempunyai empat cahaya mata.

3. Cevdet Kiliçlar, 38, Seorang wartawan dari Kayseri, Turki. Telah berkahwin dan mempunyai dua orang putera.

4. Çetin Topçuoglu, 54, dari Adana, Turki. Pemain bola amatur dan jurulatih taekwondo yang melatih atlet taekwondo Turki. Berkahwin dan mempunyai seorang cahaya mata.

5. Necdet Yildirim, 32, dari Malatya, Turki. Berkahwin dan mempunyai seorang anak perempuan berusia tiga tahun.

6. Fahri Yaldiz, 43, seorang ahli bomba di Adiyaman, Turki. Telah berkahwin dan mempunyai empat orang anak.

7. Cengiz Songür, 47, dari Izmir, Turki. Berkahwin dan mempunyai tujuh orang anak.

8. Cengiz Akyüz, 41, dari Iskenderun, Turki. Berkahwin dan mempunyai anak berusia 14, 12 dan 9 tahun.

9. Furkan Dogan, 19, as-syahid termuda dalam kalangan yang syahid, merupakan pelajar Kayseri High School. Anak kepada Dr. Ahmet Dogan, seorang professor di Erciyes University. Warganegara Turki-Amerika dan mempunyai dua adik beradik.

Pejuang Gaza

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani. Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam serta ahli keluarga baginda dan para sahabat radhiallahu ‘anhum ajma’iin.

Semoga selamat tiba di Gaza

Harakahdaily setakat saat ini melaporkan bahawa konvoi ke Gaza masih terhenti di Lautan Mediteranean. Marilah sama-sama mendoakan ianya selamat tiba ke Gaza. Insya Allah.

Konvoi Gaza berhenti di tengah Laut Mediterranean

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 30 Mei: Konvoi bantuan kemanusiaan antarabangsa ke Gaza masih terhenti di tengah Laut Mediterranean berhampiran perairan Cyprus.

Walaubagaimanapun, lifeline4gaza semalam melaporkan penangguhan itu tidak mengganggu jadual asal konvoi untuk tiba di Gaza.

Dalam satu sidang media di atas kapal Mavi Marmara semalam, Presiden IHH, Bulent Yildirim menjelaskan bahawa konvoi itu masih menunggu sebuah kapal penumpang daripada Cyprus yang akan membawa ahli-ahli parlimen Eropah.

Kapal tersebut dijangka sampai dalam masa terdekat.

Terdahulu, sebuah kapal kargo IHH telah mengalami sedikit kerosakan. Kerosakan tersebut telah dipulihkan sepenuhnya oleh sekumpulan jurutera dan juruselam yang dihantar daripada kapal Mavi Marmara.

Walaubagaimanapun, kapal Rachel Corries yang telah berlepas daripada Ireland dijangka mengambil masa lebih sehari lagi untuk sampai.

Dalam satu kenyataanya, Bulent menegaskan bahawa ancaman berterusan rejim zionis Israel terhadap konvoi kemanusiaan itu sekali-kali tidak membuatkan mereka takut mahupun menukar perancangan.

“Peserta paling muda dalam kapal ini berumur kurang daripada setahun. Peserta paling tua pula berumur lebih daripada 80 tahun.

“Kami tidak membawa sesuatu apa senjata pun. Jadi kalau Israel ingin menggunakan kekerasan terhadap kami, mereka akan benar-benar bertindak di luar akal yang waras,” kata Bulent.

Semua mereka yang menggunakan akal dapat menerima bahawa kapal itu hanya membawa bahan bantuan kemanusiaan.

Ketika ditanya apakah persiapan mereka untuk berhadapan dengan tentera Israel yang mungkin berlaku, Bulent menjawab, “kami tidak bawa apa-apa senjata, kami akan lawan dengan keinginan dan keyakinan kuat kami sahaja”.

“Adalah tidak masuk akal bila mana Israel cuba menentang kami seolah-olah mereka berhadapan dan berperang dengan sebuah negara. Kami hanyalah sebuah konvoi bantuan yang dibawa oleh NGO,” sambung Bulent.

Beliau juga tetap menegaskan pendirian untuk tidak menyerah mana-mana bahan bantuan yang dibawa mahupun peserta-peserta konvoi itu kepada Israel.

Ketika berita ini ditulis, sebuah kapal penumpang baru tiba daripada Sweeden. Kapal itu tidak termasuk dalam peracangan asal, menjadikan jumlah kapal yang menyertai konvoi itu sebanyak tujuh buah.

Sunday, May 23, 2010

Kembara Mencari Iman

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani. Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam serta ahli keluarga baginda dan para sahabat radhiallahu ‘anhum ajma’iin.

Batch pertama mahasiswa KUDQI melepasi trek 'night walk'

Di dalam perjalanan pulang saya mendengar perbualan antara isteri saya dengan peserta yang menumpang kereta saya. Apa yang boleh saya simpulkan ialah apabila tidak didedahkan dengan aktiviti seumpama ini maka kita tidak akan dapat mengetahui sejauhmana kesediaan mahasiswa KUDQI untuk ditarbiyah. Syukur padaMu ya Tuhan.

Antara perbualan di antara isteri dengan peserta tersebut.
Isteri: Seronok tak tamrin?
Peserta: Seronok.
Isteri: Slot mana yang paling seronok?
Peserta: Night walk
Isteri: Walaupun kena pacat?

Alhamdulillah pada semalam, 22 hb Mei 2010 pihak Lajnah Tarbiyah MPMKUDQI telah berjaya melaksanakan satu program Tamrin Marhalah Ta’rif dan Tamrin Marhalah Takween. Program ini telah berlangsung selama 3 hari 2 malam yang bermula semenjak 20 hb Mei 2010 lagi. Akhirnya rindu untuk melaksanakan program-program yang berbentuk tamrin terubat. Ketika berada di Yaman lagi saya menyarankan agar sahabat di sana mengadakan tamrin seperti ini. Memandangkan kemungkinan waqi’ di Yaman tidak sesuai untuk dijalankan tamrin seperti ini maka ianya tidak di adakan.

Di kesempatan ini saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada seluruh AJK pelaksana, fasi dan semua yang terlibat bagi menjayakannya. Juga syabas dan tahniah kepada ‘batch’ pertama pelajar KUDQI yang berjaya melepasi trek yang sediakan. Saya difahamkan oleh al-Fadhil Ustaz Kamaruzaman Mohamad selaku Penasihat Program antara yang mengadakan slot ‘night walk’ seumpama di lokasi ini ialah Pemuda Hulu Terengganu dan selepas itu pelajar KUDQI untuk tamrin pada kali ini. Saya selaku Ketua Unit Pengisian dan Ketua Fasi melahirkan setinggi-tinggi kesyukuran kepada tuhan kerana berjaya mengadakan trek ‘night walk’ yang agak mencabar dan sekaligus membuang persepsi pelajar KUDQI lemah dan manja.

"Kamu semua adalah merupakan pelapis kepada ulama'. Dan kita hendak supaya pelapis ulama' tidak lembik dan lesu.".

Itu merupakan sebahagian petikan maui'zzah yang diberikan oleh Penasihat Program setelah selesai menunaikan Qiamulail di atas pasir di tepi sungai. Mudah-mudahan tamrin pada kali ini mencetus suasana baru kepada pelapis a’milin yang sedang berada di KUDQI sesuai dengan ucapan saya semasa muktamar KUDQI yang lepas.

Saya juga memohon ribuan kemaafan di atas segala kekurangan yang ada dan akan berusaha untuk memperbaiki di masa-masa yang akan datang. Insya Allah.

Ucapan sulung selaku Pengerusi Lajnah Tarbiyah

Pada malam 22 hb Disember 2009 saya diminta untuk memberikan satu ucapan sulung sebagai Pengerusi Lajnah Tarbiyah MPMKUDQI. Memandangkan ada masalah yang tidak mengizinkan dua bulan selepas itu saya terpaksa meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Lajnah Tarbiyah MPMKUDQI. Walaubagaimanapun atas dasar amanah mentarbiyah merupakan tanggungjawab setiap muslim saya akan terus memberikan komitmen di dalam Lajnah Tarbiyah.

Alhamdulillah segala pengalaman yang diperolehi semasa berada di Gombak terutama di dalam Lajnah Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Kawasan Gombak akan digunakan sebaiknya. Insya Allah.

Yang dihormati Tuan Pengerusi Majlis, Yang berbahagia Tuan Presiden dan Ketua HESIS, Yang Berusaha seluruh pimpinan Exco MPM dan HESIS KUDQI serta seluruh mahasiswa dan mahasiswi yang dirahmati Allah Subhanahu Wa Ta’ala sekalian.

Alhamdulillah kita merafa’kan setinggi-tinggi kesyukuran kita kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala di atas kurniaan dua ni’mat yang sangat besar iaitu ni’mat Islam dan ni’mat Iman. Dengan dua ni’mat inilah kita masih lagi dapat menunaikan amanah Allah Subhanahu Wa Ta’ala dengan keadaan baik dan tersusun. Dengan dua ni’mat ini juga kita masih lagi diberikan kesempatan melakukan ibadah kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala dan menuntut ilmu dengan baik. Semoga kita semua terus diberikan kekuatan dan mendapat taufiq dan hidayah agar kita semua dapat terus istiqamah dalam Islam dan Iman.

Tarbiyah nadi organisasi

Tarbiyah merupakan suatu proses pembentukan yang dilakukan untuk membentuk anggota-anggota atau individu-individu Muslim melalui modul @ manhaj tertentu, dengan kaedah tertentu dan dengan matlamat atau tujuan tertentu. Ini bertujuan untuk melahirkan individu yang bersyakhsiah tinggi, berilmu, beriman dan bertaqwa.

Tarbiyah penting kerana ia merupakan proses membersih diri, menanam, melatih, mengubah, membangun dan membina syakhsiah seseorang itu menjadi hambaNya yang ‘aabid, bertaqwa, lebih baik, lebih mulia dan cemerlang di dunia dan di akhirat. Perlu diketahui bahawa tarbiyah merupakan nadi dan tunjang kepada organisasi Islam. Tarbiyah dengan organisasi Islam ibarat isi dengan kuku, ibarat ibu dan anak, ibarat pokok dengan buah, ibarat da’ie dengan da’wah dan ibarat rasul dengan risalah.

Kualiti bukan kuantiti

Tarbiyah adalah tanggungjawab semua pihak dan bukannya hanya diletakkan di atas bahu Lajnah Tarbiyah semata-mata. Apa yang penting ialah hasil yang kita hendak capai ialah kualiti dan bukannya kuantiti. Dan Allah Subhanahu Wa Ta’ala tidak akan bertanya adakah kita berjaya atau tidak tetapi Allah Subhanahu Wa Ta’ala akan bertanya adakah kita melaksanakan amanah tersebut atau tidak. Perlu juga diingatkan bahawa kejayaan yang hendak dicapai bukanlah dalam masa yang singkat tetapi hasilnya boleh dikecapi oleh generasi yang akan datang.

Orang yang berjaya mengikut pandangan Allah Subhanahu Wa Ta’ala

Firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala Surah Ali-Imran: Ayat 104 yang bermaksud:



Pesanan Allahyarham Syeikh Dr. Fathi Yakan

”Tanggungjawab yang besar dan berat yang dibebankan ke atas bahu petugas di medan da’wah membuktikan betapa perjalanan da’wah ini adalah panjang dan jauh, gerak-kerjanya terlalu sukar dan jihadnya adalah sengit.

Oleh yang demikian, mereka yang mengikuti jalan ini wajib mempunyai persediaan untuk menghadapi segala bentuk kekerasan, kesukaran dan pengorbanan.



Surah Al-Ankabut: Ayat 2-3)

Antara pesanan beliau lagi antaranya ialah kita hendaklah:-
1. Mengharapkan keredhaan Allah Subhanahu Wa Ta’ala dan tidak akan mundur di tengah perjalanan dan tidak tergesa-gesa hendak merasai hasil kerja sebelum tiba waktunya.
2. Sekiranya kita berjaya melaksanakan tugas dengan baik, kita hendaklah bersyukur kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Sebaliknya jika kita tidak berjaya melaksanakan tugas dengan baik kita tidak pula berputus asa, tidak kecewa dan tidak akan merasa takut. Bahkan dengan usaha kerja tersebut bermakna mereka telah menunaikan amanah dan telah melaksanakan kewajipan da’wah.

WalLahu A'lam.

Sunday, May 9, 2010

Tidak Rasa Berdosa Sedikit Pun!

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani. Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam serta ahli keluarga baginda dan para sahabat radhiallahu ‘anhum ajma’iin.

Rehlah yang merehatkan fikiran

Alhamdulillah saya berkesempatan untuk bersama menyertai rehlah muslimat ke Lata Cangkah, Setiu pada hari semalam 08 Mei 2010. Saya bersama dengan isteri menaiki sebuah kereta bersama 2 buah kenderaan menuju ke destinasi pada awal pagi. Kami disediakan roti dan juga air mineral sebagai sarapan pagi. Rehlah yang terakhir yang saya sertai ialah rehlah bekas-bekas pelajar Yaman di Belukar Bukit. Rehlah adalah salah satu cara untuk ‘release tention’ setelah kepala dibebankan dengan tugasan pelajaran dan juga kerja sampingan. Rehlah juga merupakan salah satu cara tarbiyah Islamiyyah. Antara lain lagi cara tarbiyah Islamiyyah ialah jaulah, mukhayyam, tamrin, lawatan dan lain-lain lagi.

Bestnya mandi

Saya dan beberapa rakan yang mengiringi muslimat ke tempat program mula mencari tempat yang sesuai untuk mandi. Muslimat mempunyai aktiviti yang padat dengan pengisian yang telah dirancangkan. Semasa mandi, kami ditegur oleh seorang pemuda yang lebih awal mandi daripada kami. Saya yang mengenakan baju ‘Moonson PAS’ mengambil kesempatan untuk mendekati budak muda tersebut. Alhamdulillah walaupun saya dan sahabat memakai baju yang berbaur politik mereka boleh menegur kami.

Dengan kemahiran berenang semenjak kecil lagi memudahkan saya untuk berenang. Berenang merupakan salah satu daripada sunnah Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam di samping memanah dan juga menunggang kuda. Kami mandi sehingga kami merasa puas dan terasa akan kesejukan air yang mengalir di celah-celah batu-batu bukit. Kepenatan memandu sejauh lebih kurang 80km hilang bersama dengan dengan air tersebut.

Jesus Chartered Church

Setelah selesai mandi, saya terpandang seorang lelaki Melayu yang agak berumur yang memakai baju t-shirt yang bertulisan yang tidak sepatutnya seorang muslim memakainya. Saya memberanikan diri dan menghampirinya untuk memastikan lagi tulisan yang tertulis pada baju yang dipakai lelaki tersebut.

“Assalamualaikum” Saya memulakan bicara. Salam saya dijawab. Saya berkata kepadanya “Baju abang ada tulisan Jesus tu”. Lelaki tersebut hanya mengangguk mengiyakan tanpa rasa berdosa sedikit pun. Hanya itu sahaja reaksi lelaki tersebut. Anaknya yang masih kecil bertanya. "Kenapa bah?". Saya tidak memastikan apakah respon si ayah kepada anaknya tersebut. Saya terus terpaku diam seribu bahasa dan terus meninggalkan lelaki tersebut sambil mengenangkan perlakuan lelaki tersebut. Apa yang penting ialah sudah selesai tanggungjawab saya untuk menegur perkara yang bertentangan Islam. Perasaan saya tersentuh kerana inilah kali pertama saya melihat di depan mata kasar dan ianya berlaku di negeri yang sekian lama dengan jolokan "Darul Iman".

Sebagai muhasabah bersama, sejauhmanakah pengisian akidah yang sebenar berjalan di negeri "Darul Iman"?

Kenapa nak promosi yang lain daripada Islam?

Allah Subhanahu Wataala menegah kita daripada meniru apa yang dilakukan dan disembah oleh orang-orang kafir. Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Al-Kaafirun : Ayat 2 yang bermaksud:


Rata-rata kita dapat melihat orang Melayu lebih seronok untuk mempromosikan agenda barat berbanding agenda Islam. Pemimpin yang ada sekarang ini lebih gemar mencipta istilah-istilah yang bertujuan untuk mengukuhkan sokongan dan juga istilah-istilah yang mengelirukan. 1Malaysia dan Islam Had-hari boleh dijadikan contoh. Adakah ini juga termasuk di dalam agenda Yahudi atau barat?

Istilah-istilah untuk menguatkan Islam tidak mendapat perhatian. Pelbagai ‘ghazwatul fikr’ ataupun serangan pemikiran yang membelenggu umat Islam hari ini melalui media-media massa. Masuk ke setiap rumah-rumah orang Islam tanpa tapisan ditambah pula dengan slogan-slogan yang mengelirukan yang akhirnya akan menyesatkan.
Begitu juga dengan tulisan-tulisan yang ada pada baju-baju anak-anak muda hari ini. Mereka lebih gemar untuk promosikan kumpulan muzik yang digemari berbanding baju-baju yang bertulisan Islamik. Bagi mereka yang mempunyai kesedaran marilah kita fikir-fikirkan dan renung-renungkan akan nasib yang menimpa Islam.

Tuesday, May 4, 2010

Kes H1N1 Pertama Tahun 2010

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani. Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam serta ahli keluarga baginda dan para sahabat radhiallahu ‘anhum ajma’iin.

Rupanya H1N1 masih aktif

Terkejut juga melihat berita baru-baru ini berkenaan dengan mangsa terbaru yang melibatkan kematian. Yang terkini adalah berlaku pada hari Selasa April 13 2010 yang mana seorang peguam mati akibat virus Influenza A (H1N1). Peguam tersebut merupakan seorang lelaki yang berusia 42 tahun dari Johor Baharu. Bersamalah kita menjaga kebersihan agar kita semua dijauhi daripada wabak ini.

Di bawah ini merupakan berita penuh berkenaan kes terbaru tersebut.

H1N1: Seorang Peguam Lelaki Mangsa Terbaru

PUTRAJAYA: Satu lagi kematian akibat virus Influenza A (H1N1) dicatatkan di negara ini, melibatkan seorang peguam lelaki berusia 42 tahun dari Johor Baharu, semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Ismail Merican berkata lelaki terbabit meninggal dunia ketika dirawat di sebuah hospital swasta di Johor Baharu.

Beliau berkata kematian terbaru itu adalah yang pertama tahun ini, menjadikan jumlah keseluruhan mangsa yang meninggal dunia akibat virus itu meningkat kepada 78 orang, sejak wabak itu dikesan tahun lepas.

"Ujian makmal mengesahkan lelaki itu dijangkiti H1N1. Beliau yang mempunyai faktor risiko obes turut mengalami komplikasi lain termasuk kegagalan ginjal akut dan jangkitan kuman.

"Keadaan beliau yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital berkenaan menjadi semakin tenat dan beliau meninggal dunia semalam disebabkan oleh pneumonia H1N1 dengan 'Acute Respiratory Distress Syndrome," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat teknikal wabak H1N1 di sini hari ini.

Dr Ismail berkata dua kematian yang melibatkan seorang ibu dan anaknya yang baru melahirkan anak kedua di Hospital Melaka pada 31 Mac dan 2 April lepas, bukan disebabkan oleh jangkitan virus H1N1.

"Dua (yang sebelum ini dilaporkan akibat jangkitan H1N1) daripada tiga kematian tahun ini bukan mempunyai kaitan secara langsung dengan H1N1 tetapi yang terbaru (semalam) berkaitan dengan H1N1," katanya.

Dua beranak iaitu Maimunah Dimah, 54, dilaporkan meninggal dunia akibat komplikasi diabetes selepas dimasukkan ke hospital dengan simptom Penyakit Serupa Influenza (ILI) manakala anaknya, Sumarni Mat Nor, 29, yang sedang mengandung 36 minggu dimasukkan ke hospital dengan gejala ILI dan tanda kelemasan bayi dalam kandungan.

Dr Ismail menjelaskan daripada pemantauan berterusan, belum ada tanda-tanda virus H1N1 yang sedang menular ketika ini, mempunyai ciri-ciri berbeza daripada virus sebelum ini, yang boleh menyebabkan gelombang kedua yang lebih serius.

"Oleh itu langkah-langkah pencegahan yang disarankan serta rawatan awal dengan ubat anti viral seharusnya berkesan bagi mengekang penularan jangkitan itu," katanya.

Sementara itu, Dr Ismail berkata sehingga pukul 5.30 petang semalam, jumlah terkumpul kes ILI yang masih dirawat di dalam wad di seluruh negara adalah 678 kes.

Beliau berkata daripada jumlah itu, 66 kes disahkan positif H1N1 manakala lima kes dirawat di ICU.

"Kementerian Kesihatan ingin menjelaskan bahawa penularan H1N1 2009 masih lagi aktif bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di rantau ini dan seluruh dunia.

"Kementerian ingin menegaskan bahawa sememangnya terdapat peningkatan aktiviti jangkitan H1N1 dengan peningkatan bilangan kes-kes positif yang dimasukkan ke hospital dan juga kejadian-kejadian kluster yang berlaku di seluruh negara," katanya.

Dr Ismail berkata bagi mereka yang menunjukkan tanda-tanda ILI dan berterusan selama 48 jam atau ujian pantas influenza adalah positif, rawatan hendaklah dimulakan tanpa memerlukan ujian pengesahan H1N1.

Beliau berkata penutupan sekolah merupakan langkah terakhir sekiranya gejala ILI telah menjejaskan keseluruhan fungsi sekolah terbabit dan ia akan diumumkan oleh Jabatan Pelajaran berkenaan. - BERNAMA

Dipetik daripada mstar

Thursday, April 29, 2010

Lambatnya Negara Kita...

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani. Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam serta ahli keluarga baginda dan para sahabat radhiallahu ‘anhum ajma’iin.

Yaman lebih terkehadapan

Masih jelas di ingatan ketika berada di bumi iman dan hikmah iaitu Yaman yang mana di sana sangat menghormati kaum wanitanya. Di dalam bidang pengangkutan, penumpang lelaki secara automatik akan memberikan tempat duduk kepada wanita di belakang. Tidak berlaku lelaki dan wanita bukan muhrim duduk sebelah menyebelah. Fenomena seperti ini bukannya setahun dua berlaku malah telah lama dipraktikkan di Negara Yaman. Saya sebenarnya sudah lama ingin membuat satu coretan berkenaan dengan Yaman tetapi masa yang tidak mengizinkan. InsyaAllah di masa yang akan datang. Lamanya sebuah negara yang boleh dikatakan maju menyediakan pengasingan terhadap lelaki dan wanita di dalam sistem pengangkutan awam.

LRT bila lagi?

Saya melahirkan rasa bersyukur dengan perkembangan terbaru berkenaan dengan kewujudan gerabak khas untuk wanita di dalam Keretapi Tanah Melayu Berhad. Dan ini sangat bertepatan dengan syariat Islam malah boleh mengurangkan gangguan seksual. Teringat ketika berada di ibu kota dua tiga tahun lepas, apabila hendak menggunakan perkhidmatan LRT kita terpaksa berhimpit-himpit antara lelaki. Fenomena seperti ini sangat mendukacitakan kita. Daripada dulu lagi kita digembar-gemburkan bahawa negara kita sebuah Negara Islam.

Jadi LRT bila lagi? Pengasingan tempat duduk pun sudah cukup kalau tidak hendak mewujudkan gerabak khusus wanita. Apa-pun saya juga mengucapkan syabas dan tahniah kepada KTMB di atas perkembangan terbaru ini.

Di sini disiarkan petikan ucapan Tahniah PAS kepada KTMB. Petikan ini diambil daripada Gerabak untuk wanita

KTMB : PAS Ucap Tahniah dengan wujudnya Gerabak Khas Wanita
April 29, 2010

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mengucapkan tahniah kepada pihak Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) kerana memperkenalkan gerabak khas untuk penumpang wanita KTM Komuter. Ini adalah satu penghormatan kepada kaum wanita dan keunikan buat sistem pengangkutan awam dinegara ini.

PAS amat menyokong langkah ini kerana ia mampu memberikan keselesaan kepada penumpang wanita yang selama ini terpaksa berhimpit-himpit dengan penumpang lelaki khususnya ketika waktu puncak. Malah langkah ini dapat mengurangkan masalah ganguan seksual kepada penumpang wanita.

Langkah ini menepati syariat Islam yang meletakan wanita ditempat paling istimewa yang perlu dilindungi dan dilayani dengan sebaiknya. Kemudahan KTM ini walaupun baru namun diyakini akan mendapat sambutan meluas berikutan jumlah penumpang komuter setiap hari yang ramai.

Perkara ini sudah lama diadakan diluar negara seperti di Jepun dan beberapa negara Eropah. PAS mencadangkan agar selepas ini diwujudkan juga gerabak khas untuk mereka yang bekeluarga dan juga warga emas termasuk golongan OKU bagi memudahkan mereka mendapat perkhidmatan yang lebih baik.

PAS berharap inisiatif ini juga diambil oleh pengusaha pengangkutan awam yang lain agar masalah-masalah penindasan atau pencabulan wanita ditempat awam dapat dikurangkan disamping meningkatkan imej perkhidmatan awam dimata masyarakat.

Ust. Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat

Wednesday, April 21, 2010

Ada Sungai Dalam Laut?

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani. Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam serta ahli keluarga baginda dan para sahabat radhiallahu ‘anhum ajma’iin.

Penemuan yang menakjubkan

Penemuan berkenaan dengan sungai di dalam laut membuktikan kebenaran yang telah diberitahu di dalam al-Quranul Kareem. Firman Allah Subhanahu Wa Ta'ala yang bermaksud: "Dan Dialah yang membiarkan dua laut mengalir (berdampingan) ; yang ini tawar lagi segar dan yang lain masin lagi pahit; dan Dia jadikan antara keduanya dinding dan batas yang menghalangi." (Q.S Al Furqan:53)

Penemuan yang sangat menarik ini ditemui oleh Mr.Jacques Yves Costeau, ia seorang ahli oceanografer dan ahli selam terkemuka dari Perancis dan pernah disiarkan di dalam rancangan TV 'Discovery'. Diberitakan pada suatu hari ketika dia sedang melakukan eksplorasi di bawah laut, tiba-tiba dia menemui beberapa kumpulan mata air tawar-segar yang sangat sedap rasanya kerana tidak bercampur atau tidak melebur dengan air laut yang masin di sekelilingnya, seolah-olah ada dinding atau membran yang membatasi keduanya.


Fenomena ganjil itu memeningkan Mr. Costeau dan mendorongnya untuk mencari penyebab terpisahnya air tawar dari air masin di tengah-tengah lautan. Ia mulai berfikir, jangan-jangan itu hanya halusinansi atau khalayan sewaktu menyelam. Waktu pun terus berlalu setelah kejadian tersebut, namun dia tidak mendapat jawapan yang memuaskan tentang fenomena ganjil tersebut.

Sampai pada suatu hari dia bertemu dengan seorang profesor muslim dan menceritakan tentang fenomena ganjil tersebut. Profesor itu teringat pada ayat Al Quran tentang bertemunya dua lautan (surat Ar-Rahman ayat 19-20) yang sering dikitkankan dengan Terusan Suez. Ayat itu berbunyi "Marajal bahraini yaltaqiyaan, bainahumaa barzakhun laa yabghiyaan... "Ertinya: "Dia biarkan dua lautan bertemu, di antara keduanya ada batas yang tidak boleh ditembus." Kemudian dibacakan surat Al Furqan ayat 53 di atas.


Selain itu, dalam beberapa kitab tafsir, ayat berkenaan bertemunya dua lautan tetapi tidak bercampur airnya diertikan sebagai lokasi muara sungai, di mana terjadi pertemuan antara air tawar dari sungai dan air masin dari laut. Namun tafsir itu tidak menjelaskan ayat berikutnya dari surat Ar-Rahman ayat 22 yang berbunyi "Yakhruju minhuma lu'lu'u wal marjaan" ertinya "Keluar dari keduanya mutiara dan marjan." Padahal di muara sungai tidak ditemukan mutiara.

Lantas terpesonalah Mr. Costeau apabila mendengar ayat-ayat Al Qur'an itu, melebihi kekagumannya melihat keajaiban pemandangan yang pernah dilihatnya di lautan yang dalam. Al Qur'an ini mustahil disusun oleh Nabi Muhammad yang hidup di abad ke tujuh, suatu zaman sebelum adanya peralatan selam yang canggih untuk mencapai lokasi yang jauh terpencil di kedalaman laut yang sangat dalam.

Ini merupakan salah satu daripada mukjizat al-Quran, berita tentang fenomena ganjil 14 abad yang silam akhirnya terbukti pada abad 20. Mr. Costeau pun berkata bahawa Al Qur'an memang sesungguhnya kitab suci yang berisi firman Allah, yang seluruh kandungannya mutlak benar. Dengan seketika dia pun memeluk Islam.

Allahu Akbar...! Mr. Costeau mendapat hidayah melalui fenomena teknologi kelautan. Maha Benar Allah yang Maha Agung. Sadaqallahu Al `Azhim. Rasulullah s.a.w. bersabda: "Sesungguhnya hati manusia akan berkarat sebagaimana besi yang dikaratkan oleh air." Bila seorang bertanya, "Apakah caranya untuk menjadikan hati-hati ini bersih kembali?" Rasulullah s.a.w. bersabda, "Selalulah ingat mati dan membaca Al Quran."


Jika anda seorang penyelam, maka anda harus mengunjungi Cenote Angelita, Mexico. Disana ada sebuah gua. Jika anda menyelam sampai kedalaman 30 meter, airnya air segar (tawar), namun jika anda menyelam sampai kedalaman lebih dari 60 meter, airnya menjadi air asin, lalu anda dapat melihat sebuah "sungai" di dasarnya, lengkap dengan pohon dan daun daunan.

Maklumat tambahan:
1. Artikel ini telah diedit daripada artikel yang asal iaitu daripada versi Indonesia.
2. Terdapat percanggahan fakta mengenai keislaman Jaques Costeau sama ada telah memeluk agama Islam atau sebaliknya. Jika fakta yang sebenar mengatakan bahawa dia masih belum memeluk Islam, maka kita boleh berdoa supaya dia diberikan hidayah oleh Allah Subanhu Wa Taala.
3. Apa yang penting yang hendak disampaikan ialah penemuan ini membuktikan akan kebesaran dan kebenaran al-Quran secara saintifik atau lebih dikenali sebagai I'jaazul Ilmi (Mukjizat Saintifik).

Tuesday, April 20, 2010

Ranjau Kehidupan

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani. Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam serta ahli keluarga baginda dan para sahabat radhiallahu ‘anhum ajma’iin.

Lumrah kehidupan akan berdepan dengan mehnah dan tribulasi. Teringat akan satu lagu lama yang diberi nafas baru oleh Kumpulan In-Team. Marilah kita menghayatinya bersama sebagai pengajaran dalam melalui ranjau kehidupan.

Kehidupan
Album : Tiada Lagi Kasih
Munsyid : In-Team
http://liriknasyid.com

Kesenangan yang datang
Tak akan selamanya
Begitulah selepas susah ada kesenangan
Seperti selepas malam datangnya siang
Oleh itu waktu senang jangan lupa daratan

Gunakan kesempatan untuk kebaikan
Sebelum segalanya terlepas dari genggaman
Kelak menyesal nanti tak berkesudahan
Apa guna sesalan hanya menekan jiwa

Jangan difikir derita akan berpanjangan
Kelak akan membawa putus asa pada tuhan
Ingatlah biasanya kabus tak berpanjangan
Setelah kabus berlalu pasti cerah kembali

Ujian adalah tarbiyah dari Allah
Apakah kita kan sabar ataupun sebaliknya
Kesenangan yang datang selepas kesusahan
Semuanya adalah nikmat dari tuhan

Kalau nak download, tekan aje...Lagu Kehidupan

Monday, March 15, 2010

Gunalah Facebook Disertai Dengan Iman

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani. Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam serta ahli keluarga baginda dan para sahabat radhiallahu ‘anhum ajma’iin.

Fenomena Facebook menggantikan Frindster

Sebagai pemula bicara, saya menyusun 10 jari kerana sudah lama blog 'hijau biru' out dated. Alhamdulillah sedikit kelapangan yang Allah kurniakan saya gunakan untuk mengemaskini artikel. Setelah kembalinya saya ke kampus, terkejut saya akan satu fenomena baru yang melanda. Fenomena tersebut ialah keghairahan mahasiswanya untuk memiliki Facebook. Sehingga ke hari ini saya masih belum memiliki akaun Facebook. Cerita tentang siapa pengasas dan apa tujuan pengasas fecebook telah lama ada di dalam fikiran. Untuk artikel kali ini saya ingin mengajak teman-teman yang sudah memiliki akaun Facebook agar menggunanya dengan iman di dada. Gunakanlah ia sebagai medium da'wah.

Dulu Friendster, sekarang Facebook

Apa yang saya perhatikan, facebook sedidkit sebanyak mempunyai ciri-ciri seperti friendster suatu ketika dahulu. Kedua-dua Facebook dan Friendster tidak saya miliki sehingga ke hari ini. Teringat akan satu artikel yang dihasilkan oleh suami kepada anak sepupu yang telah meninggal dunia. Semoga roh ditempatkan bersama-sama dengan orang-orang yang solihin. Amien. Artikel beliau dengan panjang lebar menceritakan berkenaan dengan Friendster. Ini artikel beliau kempen-menjauhi-friendster. Berbalik kepada Facebook pula, setiap orang akan mempunyai alasan-alasannya yang tersendiri. Ada sahabat yang memaklumkan kepada saya antara kebaikan facebook ialah kita dapat mencari kawan-kawan lama. Akan tetapi jangan pula kita lupa bahawa terdapat juga keburukan di dalam Facebook tersebut. Ada sahabat yang menulis tentang keburukan Facebook. Antaranya ialah 'photos' pemilik akaun boleh memuat turun gambar-gambar yang menyalahi syariat. Ini artikelnya facebook-photos-tagging-yang-mengundang-dosa

Ulasan Ustaz Zaharudin Abd Rahman

Baru-baru ini saya terlihat satu majalah yang menyiarkan satu artikel beliau berkenaan dengan Facebook. Ini artikel beliau di laman web beliau Facebook, Yahudi & Status Hukum

Antara sebahagian daripada ini artikel yang menjadi perhatian saya dalam perenggan yang berbunyi:

KESIMPULAN

Saya tidak berhasrat untuk menyenaraikan satu persatu baik dan buruk penggunaan Facebook, cuma apa yang ingin saya nyatakan sebagai kesimpulan adalah seperti berikut :-

· Hukum membuka akaun dan menggunakan facebook adalah HARUS selagi tidak terbukti ia menggunakan pengaruh dan keuntungannya untuk menyerang Islam atas nama facebook samada melalui dana kepada Yahudi, Amerika dan lainnya.

· Bagi mereka yang masih tidak selesa dengan latarbelakang pengasas dan syarikat facebook, mereka dinasihatkan untuk TIDAK MEMBUKA DAN MENYERTAI FACEBOOK. Mereka boleh terus memberi nasihat kepada pengguna facebook agar sentiasa berhati-hati, namun tidak boleh dengan sewenangnya menuduh pengguna facebook melakukan perkara haram secara umum.

· Bagi mereka yang ingin mengambil sikap lebih berhati-hati mereka disarankan untuk :-

a- Memanupulasi akaun facebook untuk manfaat Islam melebihi kepentingan peribadi. Justeru, ruang yang ada wajar digunakan untuk mempromosi kefahaman Islam melalui tulisan, video, audio dan sebagainya.

b- Limitasikan dan kurangkan perbincangan soal remeh temeh peribadi yang membuang masa diri dan orang lain.

c- Tidak sehingga berkongsi terlalu banyak gambar peribadi ( khsusunya bagi wanita) sejak zaman kanak-kanak tanpa had limitasi, tanpa kawalan ia bakal membawa mudarat berbanding manfaat. Di samping ia akan kekal di facebook orang yang dikongsi dan juga syarikat facebook.

d- Tidak memasukkan perincian peribadi yang sensitif khususnya seperti akaun bank, taraf kesihatan dan sebagainya. Cukuplah sekadar menyertakan nama, tarikh lahir dan pendidikan.

e- Tidak terlibat dengan permainan-permainan dan aplikasi yang dijangka bercanggah dengan Islam seperti kuiz ramalan nasib. Sama ada atas dasar ‘main-main' atau tidak.

f- Tidak mempercayai aplikasi tilik moden seperti rahsia tarikh kelahiran dan sepertinya yang terkandung dalam aplikasi percuma facebook. Sama ada atas dasar ‘main-main' atau tidak.

g- Menyedari bahawa maklumat kita di facebook boleh menjadi database pihak asing untuk memantau kehidupan dan informasi peribadi kita jika tidak dikawal. Database sebegini sebenarnya amat bernilai dan sukar ada satu organisasi di dunia ini yang mampu menyimpan maklumat manusia sebagaimana facebook. Hatta parti politik masing-masing pun tidak mempunyai maklumat ahlinya yang sebegitu update sebagaimana facebook. Justeru, maklumat sebegini amat banyak gunanya untuk sebarang tujuan kejahatan dan ketamakan.

Jika itu semua dapat dijaga dan disedari, saya kira mengguna dan membuka akaun facebook adalah kekal dalam hukum HARUS atau DIBENARKAN, malah jika ia lebih banyak digunakan untuk kemaslahatan Islam, ia DIGALAKKAN. Malah jikalau terdapat unsur syubhat sekalipun, ia telah diatasi oleh manfaat yang disebarkan melalui facebook itu.

Sekian,