Thursday, April 29, 2010

Lambatnya Negara Kita...

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani. Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam serta ahli keluarga baginda dan para sahabat radhiallahu ‘anhum ajma’iin.

Yaman lebih terkehadapan

Masih jelas di ingatan ketika berada di bumi iman dan hikmah iaitu Yaman yang mana di sana sangat menghormati kaum wanitanya. Di dalam bidang pengangkutan, penumpang lelaki secara automatik akan memberikan tempat duduk kepada wanita di belakang. Tidak berlaku lelaki dan wanita bukan muhrim duduk sebelah menyebelah. Fenomena seperti ini bukannya setahun dua berlaku malah telah lama dipraktikkan di Negara Yaman. Saya sebenarnya sudah lama ingin membuat satu coretan berkenaan dengan Yaman tetapi masa yang tidak mengizinkan. InsyaAllah di masa yang akan datang. Lamanya sebuah negara yang boleh dikatakan maju menyediakan pengasingan terhadap lelaki dan wanita di dalam sistem pengangkutan awam.

LRT bila lagi?

Saya melahirkan rasa bersyukur dengan perkembangan terbaru berkenaan dengan kewujudan gerabak khas untuk wanita di dalam Keretapi Tanah Melayu Berhad. Dan ini sangat bertepatan dengan syariat Islam malah boleh mengurangkan gangguan seksual. Teringat ketika berada di ibu kota dua tiga tahun lepas, apabila hendak menggunakan perkhidmatan LRT kita terpaksa berhimpit-himpit antara lelaki. Fenomena seperti ini sangat mendukacitakan kita. Daripada dulu lagi kita digembar-gemburkan bahawa negara kita sebuah Negara Islam.

Jadi LRT bila lagi? Pengasingan tempat duduk pun sudah cukup kalau tidak hendak mewujudkan gerabak khusus wanita. Apa-pun saya juga mengucapkan syabas dan tahniah kepada KTMB di atas perkembangan terbaru ini.

Di sini disiarkan petikan ucapan Tahniah PAS kepada KTMB. Petikan ini diambil daripada Gerabak untuk wanita

KTMB : PAS Ucap Tahniah dengan wujudnya Gerabak Khas Wanita
April 29, 2010

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mengucapkan tahniah kepada pihak Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) kerana memperkenalkan gerabak khas untuk penumpang wanita KTM Komuter. Ini adalah satu penghormatan kepada kaum wanita dan keunikan buat sistem pengangkutan awam dinegara ini.

PAS amat menyokong langkah ini kerana ia mampu memberikan keselesaan kepada penumpang wanita yang selama ini terpaksa berhimpit-himpit dengan penumpang lelaki khususnya ketika waktu puncak. Malah langkah ini dapat mengurangkan masalah ganguan seksual kepada penumpang wanita.

Langkah ini menepati syariat Islam yang meletakan wanita ditempat paling istimewa yang perlu dilindungi dan dilayani dengan sebaiknya. Kemudahan KTM ini walaupun baru namun diyakini akan mendapat sambutan meluas berikutan jumlah penumpang komuter setiap hari yang ramai.

Perkara ini sudah lama diadakan diluar negara seperti di Jepun dan beberapa negara Eropah. PAS mencadangkan agar selepas ini diwujudkan juga gerabak khas untuk mereka yang bekeluarga dan juga warga emas termasuk golongan OKU bagi memudahkan mereka mendapat perkhidmatan yang lebih baik.

PAS berharap inisiatif ini juga diambil oleh pengusaha pengangkutan awam yang lain agar masalah-masalah penindasan atau pencabulan wanita ditempat awam dapat dikurangkan disamping meningkatkan imej perkhidmatan awam dimata masyarakat.

Ust. Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat

No comments:

Post a Comment