Monday, March 15, 2010

Gunalah Facebook Disertai Dengan Iman

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani. Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam serta ahli keluarga baginda dan para sahabat radhiallahu ‘anhum ajma’iin.

Fenomena Facebook menggantikan Frindster

Sebagai pemula bicara, saya menyusun 10 jari kerana sudah lama blog 'hijau biru' out dated. Alhamdulillah sedikit kelapangan yang Allah kurniakan saya gunakan untuk mengemaskini artikel. Setelah kembalinya saya ke kampus, terkejut saya akan satu fenomena baru yang melanda. Fenomena tersebut ialah keghairahan mahasiswanya untuk memiliki Facebook. Sehingga ke hari ini saya masih belum memiliki akaun Facebook. Cerita tentang siapa pengasas dan apa tujuan pengasas fecebook telah lama ada di dalam fikiran. Untuk artikel kali ini saya ingin mengajak teman-teman yang sudah memiliki akaun Facebook agar menggunanya dengan iman di dada. Gunakanlah ia sebagai medium da'wah.

Dulu Friendster, sekarang Facebook

Apa yang saya perhatikan, facebook sedidkit sebanyak mempunyai ciri-ciri seperti friendster suatu ketika dahulu. Kedua-dua Facebook dan Friendster tidak saya miliki sehingga ke hari ini. Teringat akan satu artikel yang dihasilkan oleh suami kepada anak sepupu yang telah meninggal dunia. Semoga roh ditempatkan bersama-sama dengan orang-orang yang solihin. Amien. Artikel beliau dengan panjang lebar menceritakan berkenaan dengan Friendster. Ini artikel beliau kempen-menjauhi-friendster. Berbalik kepada Facebook pula, setiap orang akan mempunyai alasan-alasannya yang tersendiri. Ada sahabat yang memaklumkan kepada saya antara kebaikan facebook ialah kita dapat mencari kawan-kawan lama. Akan tetapi jangan pula kita lupa bahawa terdapat juga keburukan di dalam Facebook tersebut. Ada sahabat yang menulis tentang keburukan Facebook. Antaranya ialah 'photos' pemilik akaun boleh memuat turun gambar-gambar yang menyalahi syariat. Ini artikelnya facebook-photos-tagging-yang-mengundang-dosa

Ulasan Ustaz Zaharudin Abd Rahman

Baru-baru ini saya terlihat satu majalah yang menyiarkan satu artikel beliau berkenaan dengan Facebook. Ini artikel beliau di laman web beliau Facebook, Yahudi & Status Hukum

Antara sebahagian daripada ini artikel yang menjadi perhatian saya dalam perenggan yang berbunyi:

KESIMPULAN

Saya tidak berhasrat untuk menyenaraikan satu persatu baik dan buruk penggunaan Facebook, cuma apa yang ingin saya nyatakan sebagai kesimpulan adalah seperti berikut :-

· Hukum membuka akaun dan menggunakan facebook adalah HARUS selagi tidak terbukti ia menggunakan pengaruh dan keuntungannya untuk menyerang Islam atas nama facebook samada melalui dana kepada Yahudi, Amerika dan lainnya.

· Bagi mereka yang masih tidak selesa dengan latarbelakang pengasas dan syarikat facebook, mereka dinasihatkan untuk TIDAK MEMBUKA DAN MENYERTAI FACEBOOK. Mereka boleh terus memberi nasihat kepada pengguna facebook agar sentiasa berhati-hati, namun tidak boleh dengan sewenangnya menuduh pengguna facebook melakukan perkara haram secara umum.

· Bagi mereka yang ingin mengambil sikap lebih berhati-hati mereka disarankan untuk :-

a- Memanupulasi akaun facebook untuk manfaat Islam melebihi kepentingan peribadi. Justeru, ruang yang ada wajar digunakan untuk mempromosi kefahaman Islam melalui tulisan, video, audio dan sebagainya.

b- Limitasikan dan kurangkan perbincangan soal remeh temeh peribadi yang membuang masa diri dan orang lain.

c- Tidak sehingga berkongsi terlalu banyak gambar peribadi ( khsusunya bagi wanita) sejak zaman kanak-kanak tanpa had limitasi, tanpa kawalan ia bakal membawa mudarat berbanding manfaat. Di samping ia akan kekal di facebook orang yang dikongsi dan juga syarikat facebook.

d- Tidak memasukkan perincian peribadi yang sensitif khususnya seperti akaun bank, taraf kesihatan dan sebagainya. Cukuplah sekadar menyertakan nama, tarikh lahir dan pendidikan.

e- Tidak terlibat dengan permainan-permainan dan aplikasi yang dijangka bercanggah dengan Islam seperti kuiz ramalan nasib. Sama ada atas dasar ‘main-main' atau tidak.

f- Tidak mempercayai aplikasi tilik moden seperti rahsia tarikh kelahiran dan sepertinya yang terkandung dalam aplikasi percuma facebook. Sama ada atas dasar ‘main-main' atau tidak.

g- Menyedari bahawa maklumat kita di facebook boleh menjadi database pihak asing untuk memantau kehidupan dan informasi peribadi kita jika tidak dikawal. Database sebegini sebenarnya amat bernilai dan sukar ada satu organisasi di dunia ini yang mampu menyimpan maklumat manusia sebagaimana facebook. Hatta parti politik masing-masing pun tidak mempunyai maklumat ahlinya yang sebegitu update sebagaimana facebook. Justeru, maklumat sebegini amat banyak gunanya untuk sebarang tujuan kejahatan dan ketamakan.

Jika itu semua dapat dijaga dan disedari, saya kira mengguna dan membuka akaun facebook adalah kekal dalam hukum HARUS atau DIBENARKAN, malah jika ia lebih banyak digunakan untuk kemaslahatan Islam, ia DIGALAKKAN. Malah jikalau terdapat unsur syubhat sekalipun, ia telah diatasi oleh manfaat yang disebarkan melalui facebook itu.

Sekian,

Sunday, December 6, 2009

Jagalah Allah, Nescaya Allah Akan Menjagamu

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani. Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam serta ahli keluarga baginda dan para sahabat radhiallahu ‘anhum ajma’iin.

Terkenang akan syeikh di Yaman

Ketika berfikir apakah bahan yang ingin saya sampaikan pengisian tazkirah di dalam kelas selepas kuliah yang pertama lantas terlintas akan satu hadith yang terdapat di dalam kitab ‘adaabul ta’lim’. Kitab tersebut merupakan sebuah kitab yang nipis tetapi padat dengan mutiara-mutiara yang sangat berguna buat penuntut ilmu.

Hadith yang saya ambil untuk dikongsi dengan pelajar-pelajar lain ialah berkenaan dengan betapa pentingnya kita memelihara Allah SWT bagi memastikan Dia memelihara kita. Dengan kata lain kita menjaga hak-hak Allah SWT maka Allah SWT akan menjaga kita. Saya ingin mengajak diri saya dan juga para pengunjung sekalian untuk sama-sama bermuhasabah sejauh manakah kita menjaga hak-hak Allah SWT. Hadith tersebut berbunyi:

Jagalah Allah, nescaya Allah akan menjagamu

Dari Ibnu Abbas RA, berkata: Pada suatu hari aku berada di belakang Rasulullah SAW (boncengan), lalu baginda bersabda: Wahai anak, peliharalah Allah nescaya (Dia) akan memelihara kamu, peliharalah Allah nescaya (Dia) akan berada di hadapan kamu, dan jika engkau memohon maka mohonlah kepada Allah, dan jika engkau meminta pertolongan maka mintalah pertolongan kepada Allah, dan ketahuilah bahawa sekiranya umat berkumpul (bersepakat) untuk memberikan suatu manfaat kepadamu, nescaya mereka tidak akan mampu berbuat demikian melainkan dengan sesuatu yang telah ditetapkan (ditakdirkan) oleh Allah, dan sekiranya umat berkumpul (bersepakat) untuk mendatangkan bencana ke atas kamu, nescaya mereka tidak akan mampu berbuat demikian melainkan dengan sesuatu yang telah ditetapkan (ditakdirkan) oleh Allah. Dan telah diangkat segala pena dan telah kering segala buku.
(Hadis Hasan Sahih Riwayat Iman Tarmidzi) 

Peliharalah Allah, nescaya (Dia) akan memelihara kamu

Maksudnya: Kita hendaklah sentiasa memelihara hukum hakam Allah, hak Allah, perintah Allah dan larangan Allah. Iaitu dengan mengerjakan suruhan-Nya dan menjauhi larangan-Nya. Amalan wajib yang paling utama agar dipelihara ialah ibadah solat. Dan juga termasuk ke dalam makna pemeliharaan ini ialah kita mesti memelihara anggota badan kita daripada melakukan perkara perkara haram.

Dan diantara hadis yang menyebut tentang pemeliharaan ini, ialah:
Ertinya: Barangsiapa yang memelihara apa yang terdapat diantara dua janggutnya (iaitu mulutnya) dan apa yang terdapat diantara dua kakinya (iaitu kemaluannya) maka dia masuk syurga. (Hadis dari Abi Hurairah).

Maksud yang lain ialah memelihara hukum hakam yang berhubungan dengan amalan-amalan hati seperti keimanan (akidah), keikhlasan, rasa takut, cinta, harap dan sebagainya. Begitu juga seperti memelihara hati dari daripada segala jenis penyakitnya. Maka memelihara amalan hati ini adalah lebih penting dari memelihara amalan yang tidak bersangkutan dengan hati. Memelihara hukum hakam yang bersangkutan dengan amalan anggota yanq zahir. Apakah amalan itu membawa kepada kebaikan agamanya seperti solat, menutup aurat dan sebagainya atau yang dapat membawa kepada kebaikan dunianya iaitu muamalat atau aktiviti yang mendatangkan faedah.

Peliharalah Allah, nescaya kamu dapati Dia dihadapanmu

Maksudnya: Jika kita memelihara Allah sebagaimana maksud di atas maka dia bukan saja akan mendapat pemeliharaan daripada Allah, malahan Allah akan berada dihadapannya iaitu bersamanya di mana saja dia pergi. Allah akan menolongnya, mengawalnya, memperkuatkan hatinya serta menunjukinya ke jalan yang lurus. Orang yang mendapati Allah besertanya akan selalu merasa tenang, gembira, kuat, dan tidak ada yang perlu ditakuti. Bukankah Allah telah menguatkan semangat Musa dan Harun AS ketika mereka merasa takut berhadapan dengan Firaun?

Allah berfirman: Janganlah kamu berdua takut, sesungguhnya Aku bersama kamu berdoa Aku Mendengan dan Melihat (Thaha: 46).

Bukankah Nabi Muhammad SAW pernah menguatkan semangat Abu Bakar As Siddiq ketika beliau berdua berada dalam gua Tsur? Firman Allah: Ketika orang orang kafir (mushrikin Mekah) mengeluarkannya (dari Mekah), sedang dia salah seorang dari dua orang ketika keduanya berada dalam gua, di waktu ia berkata kepada temannya: " Jangan kamu berduka cita, sesungguhnya Allah beserta kita. (At Taubah/9: 40).

Dan jika kamu memohon maka memohonlah kepada Allah

Maksudnya: Setelah kita meyakini bahawa jika kita memelihara hukum hakam Allah nescaya Allah akan sentiasa berada bersama kita dengan ilmunya, hidayahnya dan pertolongannya. Maka sudah sewajarnyalah jika kita memohon sesuatu hendaklah kita memohon kepada Allah yang Maha Dekat (Qarib) lagi Maha Pemberi (Wahhab), bukan kepada yang lain.

Permohonan manusia kepada Allah ada dua cara:

Melalui lisan. Mengungkapkan isi kandungan hati melalui lidah dengan penuh khusyuk dan merendah diri (tawadhu') dihadapan Allah yang Maha Kaya lagi Maha Berkuasa.

Melalui amalan. Apa saja amalan yang dilakukan, apakah sebagai pedagang, dokter, pekerja kilang, menuntut ilmu, hendaklah mereka sentiasa ingat kepada hukum hakam Allah ketika melaksanakan tugas masing masing sambil mengharap kiranya pekerjaan tersebut dapat membawa kebaikan baginya pada masa hadapan.

Dan jika kamu meminta pertolongan maka mintalah kepada Allah

Kandungan nasihat ini mengandungi dua pengajaran:

1. Mengingatkan umat manusia bahawa mereka adalah makhluk yang lemah, kuasa mereka sangat terbatas, mereka tidak akan dapat mencapai apa yang mereka hajatkan tanpa bantuan pihak yang lain.

2. Mengingatkan umat manusia betapa kuasa Allah yang tiada tara dan batasannya. Segala penghuni langit dan bumi tunduk kepada ketentuan-Nya. Jadi atas dasar inilah maka manusia mestilah memohon sesuatu hanya kepada Allah. Kecuali dalam hal-hal biasa yang termampu dikerjakan oleh manusia, seperti mengangkat suatu barang, meminjam sesuatu dan lain-lain. Namun demikian kita juga mesti memohon kepada Allah agar dipermudah jalan untuk mendapatkannya.

Selain itu juga wajib diketahui bahawa memohon pertolongan kepada Allah atau berdoa kepada-Nya mestilah secara langsung secara terus menerus kepada-Nya, tidak melalui sembarang perantaraan atau wasitah dari manusia atau lainnya.

Tidak ada orang yang dapat memberi manfaat dan mudarat tanpa izin Allah:

Rasul saw. menerangkan kepada Ibnu Abbas RA bahawa sekiranya sekalian umat atau makhluk berkumpulan dan bersatu untuk memberi manfaat kepadanya ataupun sebaliknya mereka bersatu dan berkumpul untuk mendatangkan mudarat kepadanya, namun semua itu tidak mungkin akan terjadi kecuali apa yang telah dituliskan untuknya di Luh Mahfudz sejak azali.

Oleh sebab itu kita tidak seharusnya terlalu gembira atau berduka terhadap sesuatu yang dilakukan oleh orang lain terhadap diri kita. Kerana kita yakin bahawa segala-galanya adalah di dalam ketentuan Allah. Kalau di dalam ketentuannya tidak ada keputusan untuk memberikan sesuatu kepadanya, nescaya dia pasti tidak akan dapat memperolehinya walaupun seluruh makhluk bersatu berusaha untuk menolongnya. Demikian sebaliknya kalau ditentukan bahawa ia akan mendapatkannya, walaupun seribu halangan, pasti ia akan memperolehinya juga.

Allah berfirman: Dan jika Allah kenakan bahaya kepada engkau maka tidak ada yang dapat melepaskannya melainkan Dia. Dan jika dia mahukan kebaikan kepada engkau maka tidak ada yang dapat menolak kurnianya itu. (Yunus: 107)

Kesimpulan

1. Walaupun pada asalnya nasihat ini untuk Ibnu Abbas yang ketika itu masih muda remaja, namun prinsip pengajaran yang dikandung hadis ini adalah umum yang juga berguna untuk orang yang telah dewasa atau tua.

2. Memelihara Allah bererti memelihara agamanya. Memelihara agama bererti menjadi orang yang menuruti hukumnya dan mengikuti peraturannya. Dan itu tidak mungkin dapat dilakukan tanpa amal bakti, usaha dan ikhtiar. Melaksanakan suruhan Allah dan menjauhi larangan-Nya.

3. Para remaja hari ini terdedah dengan bermacaam pengaruh negatif. Sungguh banyak dikalangan mereka yang jatuh kelembah kehinaan. Mereka sebenarnya boleh mendapat pemeliharaan Allah. Tetapi bagaimana mereka akan mendapat pemeliharaan Allah kalau mereka sendiri tidak berusaha memelihara Allah?

4. Setiap orang tua mesti berusaha untuk memberi kefahaman tentang konsep yang terkandung dalam hadis ini kepada anak-anak mereka. Jika mereka dapat memahami dan mengamalkan konsep ini, selain tugas orang tua akan menjadi lebih ringan dan juga insya Allah para remaja mereka akan selamat di dunia dan di akhirat.

Artikel di ubah dan sebahagian diambil daripada cahayamukmin

Sunday, November 8, 2009

Anjakan paradiqma; istilah yang menakutkan?

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani. Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam serta ahli keluarga baginda dan para sahabat radhiallahu ‘anhum ajma’iin.

Suasana terkini Gerakan Islam Nafas Panjang
Rindu juga rasanya hendak ke KL bagi mengikuti Seminar Perkasakan PAS, tetapi apakan daya tidak rezeki untuk sampai ke sana. Apa pun di sini saya masukkan 5 resolusi hasil daripada seminar tersebut. Antaranya ialah:

1. PAS menetapkan sasaran untuk meningkatkan semula sokongan golongan muda terutamanya bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

2. Selain itu PAS juga akan mengukuhkan Pakatan Rakyat dan meningkatkan persiapan menghadapi pilihan raya umum ke-13 secara lebih proaktif.

3. PAS juga berusaha untuk meningkatkan sokongan bukan Muslim dengan bertindak aktif menubuhkan Kelab Penyokong PAS di kawasan masing-masing.

4. Resolusi lain yang dicapai ialah untuk memantapkan pendirian parti berdasarkan maklumat, informasi serta menguatkan parti di peringkat akar umbi seluruh negara.

5. Dalam pada itu, resolusi kelima yang diluluskan tanpa bantahan turut menggariskan usaha untuk membuat pelan tindakan antaranya menguatkan kempen nasional yang bertemakan 'PAS Untuk Semua'.

Semester yang mencabar

Beberapa hari yang lalu, saya berkesempatan menjadi perwakilan kepada fakulti untuk ke Mesyuarat Agung Majlis Perwakilan Mahasiswa di sebuah kolej Universiti Swasta. Ini merupakan kali pertama saya menjadi perwakilan. Saya menggunakan peluang keemasan ini untuk menyuarakan hasrat yang terpendam di lubuk sanubari. Saya menggunakan sepenuhnya kesempatan tersebut adalah semata-mata untuk melonjakkan kolej Universiti mampu berdiri sama taraf dengan Universiti-universiti yang lain.

Jauh sekali untuk saya merendah-rendahkan Universiti sendiri. Malah dek kerana ingin melihat universiti ini terus maju ke hadapan dan mampu bersaing di dalam arus kemodenan dan keselesaan.

Pada semester kali ini juga banyak perkara yang ingin saya usahakan bagi memastikan sedikit sebanyak perubahan yang bakal berlaku menjadi penyuntik semangat kepada sahabat-sahabat mahasiswa yang lain. Semoga Allah Subhanahu Wa Ta’ala mengurniakan taufiq dan hidayahNya serta kekuatan kepada diri saya dapat melaksanakan amanah ini di samping kuliah dan tugasan-tugasan lain.

Akhirnya semoga usaha yang sedikit ini menjadi motivasi kepada sahabat-sahabat mahasiswa untuk terus bangkit untuk melakukan perubahan demi kecemerlangan akademik dan syakhsiah mahasiswa dan kecemerlangan kolej.

Gelombang baru anjakan paradiqma

Alhamdulillah. Walaupun istilah yang digunakan di dalam usul agak asing di kalangan mahasiswa, namun akhirnya berjaya difahami dan diterima oleh semua perwakilan. Semoga selepas ini seluruh mahasiswa dan semua pihak dapat menghadamkan dan melaksanakan segala tuntutan yang terdapat di dalam usul. Di dalam pembentangan usul tersebut saya telah menjelaskan apakah yang dimaksudkan dengan anjakan paradiqma tersebut.

Anjakan paradiqma bermaksud berubah cara. Secara ringkasnya dapatlah difahami bahawa ‘anjakan paradiqma’ bermaksud ‘ubah kaedah atau cara / teknik / pentadbiran / pendekatan dan seumpamanya ke arah yang lebih baik dan positif’. ‘Cara’ di sini termasuklah ruang lingkup gaya pemikiran. Ini bertepatan dengan firman Allah SWT yang berbunyi:
Anjakan paradiqma diperlukan dalam semua keadaan
Anjakan paradiqma sangat diperlukan supaya kita tidak ketinggalan dan ditelan oleh arus kemodenan dan keselesaan. Saya akui istilah anjakan paradiqma sukar diterima sekiranya kita merasakan bahawa kita sudah berada di dalam ‘zon selesa’ dan tidak memerlukan sebarang perubahan atau anjakan. Jika ini yang membelenggu pemikiran setiap orang maka amat sukar untuk kita bersaing dengan orang lain.

Secara kesimpulannya anjakan paradiqma merupakan konsep ‘hijrah’ daripada ruang lingkup yang lama kepada ruang lingkup yang baru. Berubah dari melakukan kejahatan kepada kebaikan, dari kesusahan ke kesenangan, daripada yang baik ke arah yang lebih baik dan begitulah seterusnya.

Thursday, October 29, 2009

Konsep Musyawarah Hendaklah Diutamakan

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani. Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam serta ahli keluarga baginda dan para sahabat radhiallahu ‘anhum ajma’iin.

Menarik nafas lega

Berdasarkan kepada perkembangan terkini tentang permasalahan yang melanda PAS saya menarik nafas lega dan bersyukur di atas keputusan yang dibuat. Tinggal lagi ada yang masih belum dapat menerima keputusan tersebut. Maka dengan keputusan tersebut maka tergambarlah di dalam pemikiran saya bahawa:
1. Di sini lah letaknya kekuatan PAS. PAS mengutamakan konsep musyawarah di dalam apa jua keputusan yang bakal diputuskan dan bukannya merupakan keputusan seseorang individu.

Yang bermaksud:
“Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) daripada Allah (kepadamu Wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah lembut kepada mereka(sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu. maafkanlah mereka(mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan soal-soal keduniaan) itu. Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyurat, untuk menbuat sesuatu)maka bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadanya.” (Ali Imran: 159)
2. PAS berbeza dengan pertubuhan-pertubuhan lain.
3. Pentingnya ahli peringkat bawahan menjadikan 'sabar dan tenang' sebagai ubat yang paling mujarab di dalam menangani permasalahan.

PAS adakan seminar ganti muktamar khas
Zulkifli Sulong
Thu | Oct 29, 09 | 1:36:34 am MYT
KUALA LUMPUR, 29 Okt: PAS akan mengadakan satu seminar khas bagi membincangkan halatuju parti itu bagi menggantikan muktamar khas yang dicadangkan oleh Mursyidul Amnya.

Seminar yang bakal disertai oleh lebih 1000 perwakilan dari seluruh negara itu akan diadakan 7 November ini di Dewan Datuk Fadzil Noor, Markas Tarbiyah PAS Pusat, Taman Melewar, Kuala Lumpur.

Antara yang akan dijemput memberikan pandangan nanti adalah Profesor Dr Abdul Aziz Bari.

Demikian beritahu Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam sidang medianya jam 1.00 pagi tadi.

Sidang media itu diadakan selepas mesyuarat khas Jawatankuasa Pusat yang diadakan di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut.

Selain itu, mesyuarat khas itu juga mengambil ketetapan agar Lembaga Disiplin PAS yang dipimpin oleh Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menyiasat semua dakwaan terhadap PAS Selangor.

Lembaga ini akan mencadangkan tindakan disiplin kepada mana-mana pihak yang didapati bersalah melanggar disiplin parti.

Dalam sidang media itu juga, Abdul Hadi memaklumkan, isu Kerajaan Perpaduan ditutup sepenuhnya dan tidak akan berbangkit lagi.

Turut serta dalam sidang media selepas mesyuarat berjalan mulai jam 9.00 malam hingga 1.00 pagi itu adalah Naib Presiden, Tuan Ibrahim Tuan Man, Salahudin Ayub, Mahfuz Omar dan Setiausaha Agung, Datuk Mustafa Ali serta Ketua Pemuda, Nasrudin Hassan Tantawi.
Sumber: PAS adakan seminar ganti muktamar khas

Monday, October 26, 2009

Di Manakah Adab Kita?

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani. Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam serta ahli keluarga baginda dan para sahabat radhiallahu ‘anhum ajma’iin.

Pertama sekali saya menyusun ribuan kemaafan kepada semua pengunjung blog ini. Terutama sekali yang mengikut perkembangan blog ini. Terima kasih di atas dorongan sahabat-sahabat terutama sahabat saya Gelombang Hijau

Agak kesibukan sedikit

Saya sebenarnya tidak berkesempatan masa untuk mengulas isu terkini yang melanda PAS parti kesayangan kita ini. Siapa yang tidak sayang akan PAS? Maka barangkali tiada siapa yang akan menjawab bahawa dia yang tidak sayang akan PAS. Apa yang penting bagi seluruh pejuang Gerakan Islam Nafas Panjang ini seharusnya mengutamakan adaabul ikhtilaf (adab berselisih pendapat) dan adab kita terhadap pimpinan.

Apa yang saya ingin nyatakan di sini juga ialah ini merupakan proses tapisan oleh Allah SWT sebagaimana juga berlaku di zaman Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam. Maka kepada ahli yang memahami akan adab-adab tidak mudah terpengaruh dan mudah memberontak.

Saya sangat sedih kerana melihat ada segelintir penulis yang mengenepikan kedua-dua adab ini. Marilah kita semua kembali kepada rujukan kita yang utama iaitu al-Quranul Kareem dan sunnah Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam dalam setiap pertuturan dan tindakan. Semoga sedikit kocakan di air yang tenang kembali tenang semula. Insya Allah.

Tuan Guru Haji Hadi minta ahli bertenang

Kenyataan Media Tuan Guru Presiden

Isnin, 26 Oktober 2009 | 07 Zulkaedah 1430H
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.

PAS adalah merupakan sebuah organisasi siyasah, dakwah dan tarbiyah yang ditubuhkan sejak dari tahun 1951 dan pernah berhadapan dengan suasana yang lebih getir dalam lipatan sejarah perjuangannya.

Semuanya berjaya dihadapi dan terus menerus mematangkan organisasi parti sehinggalah PAS mencapai kedudukan yang ada pada masa kini.

Sehubungan dengan itu, saya meminta seluruh ahli dan kepimpinan PAS di pelbagai peringkat untuk bersabar dan bertenang dalam menghadapi persoalan dalaman parti pada waktu ini.

Persoalan yang timbul ini tidak akan dapat diselesaikan menerusi penggunaan media massa dan media baru.

Ianya perlu diselesaikan secara musyawarah dengan berpegang kepada budaya dan panduan yang menjadi pegangan PAS, sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaannya.

Saya juga sudah mengarahkan Datuk Setiausaha Agung PAS untuk menentukan tarikh yang sesuai di waktu terdekat ini untuk diadakan satu mesyuarat bagi membincangkan persoalan yang timbul ini.

Kita berdoa agar Allah SWT senantiasa memberikan taufik dan hidayah Nya kepada kita semua dalam usaha untuk merungkai permasalahan ini dan seterusnya memperkukuhkan parti.

Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang

Presiden Parti Islam SeMalaysia (PAS)

6 Zulkaedah 1430 H bersamaan 25 Oktober 2009

Anda mungkin tidak ingin melepaskan peluang untuk membaca artikel saya yang telah lalu
anta ni keras sangat syeikh

Monday, September 28, 2009

Amalan Di Hari Raya; Antara Ibadat dan Budaya

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani. Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam serta ahli keluarga baginda dan para sahabat radhiallahu ‘anhum ajma’iin.

Suasana hari raya tahun ini

Alhamdulillah Raya Eidul Fitri disambut dengan meriah sekali pada tahun ini. Saya dan keluarga beraya di kampung pada hari raya yang pertama. Semenjak pagi rumah ayah saya dikunjungi oleh sanak saudara. Hanya ketupat yang dibuat oleh mak menjadi sajian utama di hari raya di samping kek dan makanan sampingan yang lain.

Pada hari raya yang kedua pula,saya, isteri dan keluarga mertua berkesempatan berhari raya di Negeri Serambi Mekah iaitu Negeri Kelantan Darul Naim. Ini merupakan kali kedua saya dan isteri pulang beraya di Kelantan Darul Naim. Kesempatan ini diambil untuk mengenali serta beraya di rumah sanak saudara keluarga mertua. Kami mengambil kesempatan untuk berjumpa dengan adik-beradik yang tinggal di Kuala Lumpur. Inilah masanya kami berkumpul.

Selama lebih kurang 3 hari kami berada di Kelantan. Berjalan, melihat dan akhirnya saya cuba untuk menterjemahkan apa yang dilihat. Raya kali ini juga cukup bermakna buat saya kerana saya berpeluang sekali lagi untuk mengenali dan beramah mesra dengan adik-beradik bapa dan ibu mertua. Perbezaan politik diketepikan dan masing-masing menghormati pendirian masing-masing. Ini merupakan satu perkembangan yang sangat baik..alhamdulillah. Amalan ziarah-menziarahi antara satu dengan yang lain menjadi keutamaan di Bulan Syawal.

Amalan ziarah-menziarahi
Islam sangat menitik-beratkan amalan ziarah-menziarahi antara satu sama lain. Ini bertujuan untuk menyimpul kukuh ikatan kekeluargaan dan tali persaudaraan. Amalan ziarah-menziarahi sanak saudara merupakan satu ibadah. Secara tidak langsung kita dapat mengetahui waris yang dekat dan waris yang jauh. Ini bertepatan dengan apa yang disarankan oleh Islam iaitu menekankan supaya umatnya mengetahui susur galur keturunannya. Mengenali waris yang dekat dan jauh akan menyebabkan institusi keluarga menjadi kukuh. Apabila institusi kekeluargaan ini kukuh maka secara tidak langsung akan terbina pula sebuah institusi masyarakat yang kukuh.

Dalam suasana berhari raya, da’wah juga diutamakan. Mesej da’wah yang hendak ditunjukkan ialah bagaimana akhlak seorang pejuang Islam yang sebenar. Seorang Islam yang memahami tuntutan Islam ingin melihat saudaranya juga turut bersama di dalam perjuangan menegakkan Islam. Cuma apa yang perlu kita lakukan ialah berda’wah dengan penuh hikmah dan bijaksana. Bertepatan dengan firman Allah Subhanahu Wata’aala di dalam surah An-Nahl: ayat 125:


Duit raya; antara ibadah atau budaya

Duit raya sangat sinonim dengan hari raya. Budaya memberi duit raya tidaklah salah. Malah mendapat pahala sekiranya memberi duit raya tersebut diniatkan sebagai hadiah dan sedeqah. Namun, perkara negatif yang timbul di sebalik budaya murni ini perlu dihindarkan. Perkara negatif yang timbul adalah seperti:
1. Meminta-minta duit raya.
2. Menziarahi sanak-saudara dan rakan taulan dengan niat untuk mendapat duit raya.
3. Membuat perbandingan duit raya yang diperolehi di antara satu sama lain.
4. Merungut apabila tidak mendapat duit ataupun mendapat dalam jumlah yang sedikit.

Perkara di atas seringkali berlaku di kalangan kanak-kanak Islam di Malaysia. Perkara ini perlu dielakkan peringkat awal lagi yang mana anak-anak perlu diberi penjelasan tentang hakikat sebenar apa itu duit raya. Dari sudut pandangan Islam, budaya pemberian duit raya hendaklah dijelaskan seperti berikut:
1. Satu amal jariah yang baik
2. “Tangan yang memberi lebih baik daripada menerima”.
3. Bersyukur dengan duit yang diterima.
4. Tidak kedekut untuk menghulurkan duit raya yang diperolehi kepada orang yang lebih susah.
5. Ganjaran Allah Subhanahu Wata’aala itu lebih baik daripada ganjaran manusia.

Mulakan perjalanan dengan solat dan doa
Akhir-akhir ini media melaporkan peningkatan jumlah kematian akibat kemalangan di jalan raya pada musim perayaan. Tragedi malang tidak berbau ini menyebabkan kehilangan insan yang tersayang. Ajal dan maut semuanya di dalam pengetahuan Allah Subhanahu Wata’aala. Tetapi sebagai usaha untuk mengelakkan kejadian tersebut, saya menyeru diri saya dan pengunjung sekalian untuk istiqamah membaca doa sebelum perjalanan.

Di sini saya sertakan panduan-panduan memulakan perjalanan bagi memastikan perjalanan kita itu selamat dan diberkati oleh Allah Subhanahu Wata’aala. Antaranya ialah:
1. Pastikan kenderaan berada di dalam kondisi yang baik (tayar, air dan lain-lain).
2. Lazimkan diri untuk membaca Ayat al-Kursi selepas setiap kali solat.
3. Mulakan musafir dengan tujuan serta niat yang baik.
4. Menunaikan Solat Sunat Musafir sebanyak 2 rakaat.
5. Melangkah kaki menaiki kenderaan dengan membaca doa menaiki kenderaan.


6. Akhirnya iringilah perjalanan dengan ayat-ayat al-Quran dan hiburan Islam.
InsyaAllah semuanya akan selamat.

Thursday, September 17, 2009

Kita dan Hari Raya

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani. Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam serta ahli keluarga baginda dan para sahabat radhiallahu ‘anhu.

Di ambang perpisahan

Ramadhan 1430 H diambang perpisahan dan akan meninggalkan kita lagi untuk kali ini. Seharusnya umat Islam melahirkan perasaan sedih untuk berpisah dengan Ramadhan kali ini.. Semoga kita dapat menghabiskan sisa fasa ketiga dengan sebaiknya. Dalam fasa ketiga ini umat Islam diseru untuk berusaha mencari Lailatul Qadar (Malam al-Qadar). Malam al-Qadar merupakan satu anugerah yang sangat istimewa kepada umat Islam umat Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam.

Beberapa hari sahaja lagi kita akan menyambut Eidul Fitri (Hari Raya Fitrah) yang mana ianya akan disambut pada 1 Syawal. Ketibaan Bulan Syawal seharusnya disambut dengan penuh rasa keinsafan dan kesyukuran kepada Allah Subhanahu Wata’aala yang mengurniakan kita nikmat yang banyak dan tidak terhitung nilainya.

Fenomena yang melenyapkan perasaan sedih

Ketika umat Islam berada di penghujung Bulan Ramadhan, lagu-lagu raya dan promosi filem-filem mula menghiasi kaca-kaca televisyen. Kita berasa sangat sedih dengan fenomena seperti ini. Fenomena ini akan menyebabkan umat Islam langsung tidak menyedari bahawa Ramadhan akan meninggalkannya dan tiada lagi perasaan sedih untuk berpisah dengan Ramadhan. Hakikatnya tiada siapa pun yang dapat memastikan dirinya akan berjumpa dengan Ramadhan pada tahun hadapan. Segalanya berada dalam pengetahuan Allah Subhanahu Wata’aala.

Amat malang bagi umat Islam hari ini yang tidak dididik untuk bersedih apabila berpisah dengan Madrasah Ramadhan. Kanak-kanak dilalaikan dengan permainan mercun dan bunga api yang jelas membazir malah membahayakan dan bukannya dididik untuk bertakbir. Sepatutnya semenjak kecil lagi kanak-kanak diasuh untuk menghayati Ramadhan dan menghayati tatacara menyambut ketibaan Hari Raya menurut ajaran Islam yang sebenar. Manakala umat Islam yang lain disibukkan dengan aktiviti membeli-belah, membuat kuih-muih dan pelbagai aktiviti lain. Malah terdapat gedung-gedung dan pasaraya yang melanjutkan tempoh perniagaan mereka sehingga larut malam pada hujung Ramadhan bagi membolehkan umat Islam terus dapat membeli-belah persiapan untuk menyambut Eidul Fitri.

Sesungguhnya fenomena seperti ini sedikit demi sedikit akan menyebabkan umat Islam terlupa akan saat untuk berpisah dengan Madrasah Ramadhan. Sedangkan Nabi dan para sahabat menjadikan 10 terakhir Ramadhan untuk melipat gandakan ibadah untuk mencari ‘lailatul qadar’. Saya pernah mendengar saranan penceramah di dalam radio agar segala persiapan hari raya ini diselesaikan terlebih awal iaitu sebelum Bulan Ramadhan lagi. Saya merasakan ada baiknya saranan tersebut dilakukan oleh seluruh umat Islam bagi memastikan kita dapat memaksimakan amalan-amalan di Bulan Ramadhan.

Hari Raya Hari Kemenangan

Eidul Fitri akan disambut oleh seluruh umat Islam pada 1 Syawal pada tiap-tiap tahun. Perkataan ‘Eid’ beerti perayaan atau hari ulang tahun manakala perkataan ‘fitri’ pula bermakna berbuka atau makan minum. Dengan makna lain pada hari raya umat Islam dikehendaki berbuka dan haram berpuasa.

Eidul Fitri merupakan hari kemenangan kepada seluruh umat Islam yang telah berusaha bersungguh-sungguh mentaati seluruh perintah Allah Subhanahu Wata’aala dan berusaha untuk menundukkan nafsu di bulan yang mulia iaitu Bulan Ramadhan. Sebulan di Bulan Ramadhan umat Islam diuji dengan pelbagai ujian. Ada yang diuji dengan ujian kesakitan, ujian kesusahan hidup dan ujian kelaparan. Maka umat Islam yang dapat mengharungi mehnah dan tribulasi dengan sabar dan penuh keredhaan merupakan umat Islam yang berjaya.

Di Bulan Ramadhan kita diperintahkan supaya bersederhana ketika berbuka puasa dan begitu jugalah dalam menyambut Eidul Fitri (Hari Raya Fitrah). Islam tidak melarang umatnya untuk bergembira tetapi janganlah keterlaluan dan berlebihan sehingga menyebabkan pembaziran dalam menyambut Hari Lebaran.

Cara menyambut Eidul Fitri menurut Syariat

Di sini dinyatakan cara umat Islam menyambut Eidul Fitri menurut Syariat Islam. Antaranya ialah:
1. Memperbanyakkan ucapan takbir
2. Menunaikan zakat fitrah
3. Menunaikan solat Eidul Fitri
4. Saling bermaaf-maafan
5. Saling ziarah menziarahi
6. Bersederhana
7. Puasa Sunat 6 Hari di Bulan Syawal
8. Meneruskan qiamullail
9. Mandi pada pagi hari raya
10. Makan sebelum solat Eidul Fitri
11. Memakai pakaian yang indah
12. Bergembira di Eidul Fitri

Inilah merupakan sebahagian daripada amalan-amalan yang disyariatkan dan diajar oleh Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam ketika menyambut Eidul Fitri. Semoga Eidul fitri pada tahun ini dapat kita sambut dengan penuh keinsafan dan kesyukuran serta kemeriahan bertepatan dengan suruhan Allah Subhanahu Wata’aala dan sunnah Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar. Selamat Menyambut Eidul Fitri. Maaf Zahir Dan Batin. Daripada http://abuaiman786.blogspot.com

Tuesday, September 8, 2009

Nuzul al-Quran; Untuk Siapa dan Mengapa?

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Dengan Nama ALLAH Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani. Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam serta ahli keluarga baginda dan para sahabat radhiallahu ‘anhu.


Tanggal 17 Ramadhan setiap tahun rata-rata umat Islam akan mengadakan majlis memperingati Nuzul al-Quran. Kebiasaannya program pengisian serta ceramah Nuzul al-Quran diadakan pada 16 Ramadhan malam ke 17 Ramadhan lagi. Peringatan Nuzul al-Quran diadakan bertujuan untuk memperingati peristiwa penurunan al-Quran sebagai mu’jizat agung kepada Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam. Kitab suci Al-quranul Kareem merupakan mukjizat baginda yang dapat kita lihat sehingga ke hari kiamat.

Pengenalan
Peristiwa Nuzul al-Quran merupakan rakaman sejarah kehidupan Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam secara berperingkat-peringkat yang akhirnya menjadi sebuah kitab yang lengkap dan sempurna. Membaca al-Quran merupakan satu ibadat dan ianya tidak menjemukan pembacanya walaupun dibaca berulang kali. Peristiwa Nuzul al-Quran ini berlaku pada malam Jumaat 17 Ramadhan tahun ke 41 daripada keputeraan Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam.

Al-Quran mengandungi peraturan dan pengajaran daripada kisah-kisah masa lampau (kisah nabi terdahulu), kisah-kisah masa al-Quran diturunkan (kisah Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam serta kisah-kisah yang akan berlaku pada masa akan datang (hari kiamat). Al-Quran Secara keseluruhannya menerangkan tentang peraturan hukum berkaitan dengan masalah aqidah, ibadah, muamalah, akhlak, hukum-hakam dan sebagainya. Nama-nama al-Quran yang masyhur antaranya ialah al-Quran, al-Furqan (pembeza antara hak dan bathil, muslim dan kafir dan mu’min dan munafik), al-Kitab, at-Tanzil (diturunkan) dan az-Zikr (member peringatan).

Isi kandungan Al-quran dijamin oleh Allah Subhanahu Wata’aala
Al-Quran merupakan satu kitab yang dijamin dan dipelihara oleh Allah Subhanahu Wata’aala daripada sebarang bentuk penyelewengan terhadap isi kandungannya. Bertepatan dengan firman Allah Subhanahu Wata’aala dalam Surah al-Hijr: Ayat 9 yang berbunyi:

Oleh yang demikian, sebarang usaha untuk mengubah isi kandungan al-Quran tidak akan berjaya sekaligus membuktikan kemu’jizatan kitab suci al-Quranul Kareem. Maka sudah menjadi kemestian kepada seluruh umat Islam untuk mempercayai, beriman serta beramal dengan seluruh isi kandungan al-Quran. Segala hukum-hakam yang terdapat di dalam al-Quran adalah bertujuan untuk menjaga seluruh kehidupan manusia di atas muka bumi. Ini kerana kehidupan manusia tidak akan terlepas daripada pengadilan mahkamah ‘Rabbul Jalil’ di hari akhirat kelak. Manusia yang melakukan kebaikan akan dibalas dengan keni’matan syurga manakala manusia yang melakukan kejahatan akan dihumban ke dalam azab api neraka Allah Subhanahu Wata’aala.

Nuzul al-Quran
Perkataan ‘Nuzul’ bermaksud berpindah daripada atas ke bawah. Manakala ‘al-Quran’ dari sudut bahasa ialah bacaan atau himpunan. Manakala makna dari segi istilah pula ialah “kalam Allah yang diturunkan kepada Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam dan sebagai ibadat apabila membacanya”. Al-Quran diturunkan daripada ‘luh mahfudz’ secara sekali gus ke langit dunia ‘baitul izzah’ kemudian Malaikat Jibrail menurunkannya kepada Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam secara berperingkat-peringkat selama 23 tahun (13 tahun di Mekah dan 10 tahun di Madinah).

Al-Quran diturunkan di Mekah selama 13 tahun untuk memberikan pemahaman dan memantapkan aqidah serta tauhid umat Islam ketika itu. Selepas itu baki 10 tahun lagi al-Quran diturunkan kepada Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam selepas baginda berhijrah ke Madinah. Dalam tempoh ini, ayat-ayat al-Quran menerangkan tentang muamalah, ibadah dan hukum-hakam jinayah. Ini jelas bahawa penekanan konsep tauhid dan aqidah perlu didahulukan sebelum penekanan tentang syariat Islam.

Matlamat Nuzul al-Quran

Al-Quran diturunkan bukan sekadar untuk dibaca dan diperdengarkan semata-mata.

Antara matlamat serta tujuan diturunkan al-Quran ialah:

1. Seperti yang dijelaskan di atas antara tujuan dan matlamat yang terbesar al-Quran diturunkan ialah untuk memandu seluruh kehidupan manusia di atas muka bumi ini. Segala peraturan serta panduan yang dibawa oleh al-Quran adalah untuk memastikan agar seluruh aspek kehidupan manusia lurus berpandukan kepada syariat yang telah ditetapkan oleh Allah Subhanahu Wata’aala serta mendapat keredhaanNya.

2. Untuk membuktikan al-Quran sebagai mu’jizat Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam yang merupakan bukti kenabian dan kerasulan baginda. Ianya juga membuktikan firman Allah Subhanahu Wata’aala dan bukannya ucapan atau rekaan nabi sendiri.

3. Untuk melahirkan individu-individu muslim mentauhidkan Allah Subhanahu Wata’aala dengan berpaksikan kepada iman yang sebenar dan meninggalkan amalan-amalan jahiliyyah dan khurafat.

4. Untuk memandu manusia berakhlak Islam yang mulia sepertimana yang dapat dilihat pada model agung Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam. Yang akhirnya dapat melahirkan individu, keluarga, masyarakat, pemimpin dan Negara yang berteraskan kepada segala suruhan dan ajaran Allah Subhanahu Wata’aala.

5. Untuk melahirkan satu kelompok atau kumpulan manusia yang menyeru kepada kebenaran dan mencegah kemungkaran serta beriman kepada Allah Subhanahu Wata’aala.

Kesimpulan

Al-Quran diturunkan bukanlah untuk dibaca dan diperdengarkan semata-mata. Malah tuntutan yang paling besar ialah menghayati dan mengamalkan seluruh isi kandungannya di dalam segenap aspek kehidupan. Apa yang penting ialah program-program pengisian dan ceramah Nuzul al-Quran (penurunan al-Quran) hendaklah dilaksanakan sepanjang masa dan tidak terhad dalam bulan Ramadhan sahaja.

Program tersebut perlu dijadikan sebagai pendekatan untuk mendekatkan masyarakat dengan al-Quran. Apabila al-Quran telah meresap di dalam hati-hati setiap individu, maka masyarakat akan terhindar daripada gejala-gejala sosial dan masalah-masalah lain.

Wednesday, September 2, 2009

Ulama’ Dalam Sorotan Sejarah Kemerdekaan

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Dengan Nama ALLAH Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani. Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhamad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam serta ahli keluarga baginda dan para sahabat radhiallahu ‘anhu.

Alhamdulillah sekarang ini kita berada di dalam fasa kedua madrasah tarbiyah dan iman. Saya menyeru diri saya dan diri pengunjung sekalian agar memaksimakan amalan istighfar kita. Di samping itu sama-samalah kita memohon kepada Allah Subhanahu Wata’aala agar kita dimasukkan ke dalam syurgaNya dan dijauhkan daripada azab nerakaNya. Amin Ya Allah.


Kemerdekaan dalam Ramadhan

Tarikh kemerdekaan Negara kita yang tercinta jatuh pada tahun ini dalam suasana umat Islam mencari hidayah Tuhannya di bulan Ramadhan. Alhamdulillah. Keadaan Allah Subhanahu Wata’aala menurunkan bala’ H1N1 telah menyebabkan pihak kerajaan mengambil langkah menghadkan perhimpunan mega sempena hari kemerdekaan baru-baru ini. Pada tahun ini hari kemerdekaan jatuh pada hari Isnin, 31hb Ogos 2009 bersamaan dengan 10 Ramadhan 1430 Hijrah.

Maka langkah yang diambil oleh pihak kerajaan menyebabkan kurangnya kedengaran gejala sosial seperti kes zina, kes buang bayi dan lain-lain kes di malam sambutan kemerdekaan yang mana bangsa Melayulah juaranya. Maka saya merasakan sudah sampai masanya syariat Islam ditegakkan di samping penekanan ‘konsep iman’ di dalam diri setiap generasi muda pada hari ini. Hendaklah disedari bahawa syariat Islam adalah untuk memandu dan mentadbir urusan manusia sepanjang kehidupan di dunia. Sejarah telah mencatat bahawa syariat Islam merupakan alternatif terbaik dan ianya mendapat jaminan daripada Allah Subhanahu Wata’aala.

Perjuangan ulama’ digelapkan

“Eee… aku memang tak minatlah sejarah ni.. Kau minat tak?” Itu merupakan dialog yang lazim kita dengar di kalangan pelajar sekolah menengah yang tidak meminati Matapelajaran Sejarah. Termasuklah diri saya sendiri. Saya memang tidak meminati sejarah (waktu itu). Tetapi Alhamdulillah sekarang saya mula meminati sejarah. Terutamanya sejarah Islam. Kenapa kita perlu mengambus sejarah yang sebenar dengan fakta yang tidak tepat? Persoalan ini mungkin boleh dijadikan satu muhasabah kepada para pencinta sejarah.

Jika kita menggali semula penulisan-penulisan sejarah, kita akan mendapati fakta sejarah yang tidak ditulis dengan telus. Terutama sekali buku-buku sejarah di sekolah-sekolah. Nama-nama ulama’ yang memperjuangkan kemerdekaan seperti Tuan Guru Haji Abdul Rahman Limbong di Terengganu, Tuan Guru Haji Hassan bin Munas (Tok Janggut) di Kelantan, Tuan Guru Haji Musa Minangkabau, Adipati Yunus di Melaka, dan Sheikh Abdul Samad al-Falimbani tidak ditonjolkan.

Satu tindakan yang tidak adil

Saya berpendapat bahawa tindakan seperti ini sangat tidak adil terhadap ulama’-ulama’ tersebut. Sangat malang kepada generasi muda hari ini yang tidak mengetahui sejarah kemerdekaan Negara dari sudut yang sebenarnya. Dan sangat tidak patut membiarkan remaja dan generasi muda pada hari ini lemas dan hanyut di dalam arus budaya hedonisme.

Sambutan hari kemerdekaan tidak sepatutnya didominasi dengan program-program hiburan yang melalaikan. Akan tetapi hendaklah dilaksanakan dengan program-program yang boleh menyuntik semangat generasi muda untuk mempertahankan Negara daripada unsur-unsur luar yang negatif. Hari kemerdekaan juga disambut dengan bertujuan untuk menyedarkan generasi muda akan sumbangan para ulama’ di dalam mempertahankan tanah air. Di samping itu jasa para ulama’ ialah berjuang untuk berhadapan dengan ‘ghazwatul fikr’ iaitu serangan pemikiran oleh musuh-musuh Islam.

Sumbangan Gerakan Islam

Suatu fakta yang tidak boleh dinafikan ialah fakta dimana Gerakan Islam turut berperanan di dalam memberikan sumbangan kepada kemerdekaan Negara. Jika diselak di dalam buku-buku sejarah kita akan berjumpa dengan nama seperti Ustaz Abu Bakar Al-Baqir, Dr Burhanuddin Al Helmy, Prof Zulkifli Muhammad dan Ahmad Boestamam.

Bermula dengan penubuhan Majlis Tertinggi Agama Malaya (MATA) pada 24 Mac 1947 yang akhirnya telah melahirkan Hizbul Muslimin pada 14 Mac 1948 sebaik sahaja Sidang Majlis Tertinggi Agama Malaya (MATA) selesai. Ustaz Abu Bakar Al-Baqir yang merupakan Ketua Umum Hizbul Muslimin bersama jawatankuasanya telah berusaha melebarkan pengaruh Hizbul Muslimin dalam usaha untuk membebaskan Tanah Melayu untuk membentuk masyarakat Islam dan menjadikan agama Islam sebagai satu cara hidup.

Dengan tersebarnya pengaruh Hizbul Muslimin telah mendorong untuk ditubuhkan Persatuan Islam Se Malaysia pada 1951. Akhirnya Persatuan Islam Se Malaysia menjadi sebuah parti politik Islam. Parti Islam tersebut ialah Parti Islam Se Malaysia (PAS) dan berjaya ditubuhkan pada 1951. Generasi muda hari ini dapat melihat Parti Islam Se Malaysia (PAS) di pimpin oleh barisan kepimpinan ulama’ yang istiqamah untuk terus memperjuangkan Islam. Dan pada hari ini juga Parti Islam Se Malaysia (PAS) telah mencapai kegemilangan dengan menjadi sebuah parti politik Islam yang disegani oleh kawan dan lawan.

Kesimpulan

Akhirnya bolehlah disimpulkan bahawa ulama’ lah golongan yang sangat prihatin dalam mempertahankan Negara dan agama dari sebarang pencerobohan dan penjajahan bangsa asing. Ini kerana wujudnya rasa tanggungjawab yang tinggi dalam jiwa mereka dalam memikul amanah sebagai khalifah Allah Subhanahu Wata’aala di muka bumi ini.

Artikel berkaitan: Ulama Pelopor Kemerdekaan Negara