Monday, October 26, 2009

Di Manakah Adab Kita?

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani. Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam serta ahli keluarga baginda dan para sahabat radhiallahu ‘anhum ajma’iin.

Pertama sekali saya menyusun ribuan kemaafan kepada semua pengunjung blog ini. Terutama sekali yang mengikut perkembangan blog ini. Terima kasih di atas dorongan sahabat-sahabat terutama sahabat saya Gelombang Hijau

Agak kesibukan sedikit

Saya sebenarnya tidak berkesempatan masa untuk mengulas isu terkini yang melanda PAS parti kesayangan kita ini. Siapa yang tidak sayang akan PAS? Maka barangkali tiada siapa yang akan menjawab bahawa dia yang tidak sayang akan PAS. Apa yang penting bagi seluruh pejuang Gerakan Islam Nafas Panjang ini seharusnya mengutamakan adaabul ikhtilaf (adab berselisih pendapat) dan adab kita terhadap pimpinan.

Apa yang saya ingin nyatakan di sini juga ialah ini merupakan proses tapisan oleh Allah SWT sebagaimana juga berlaku di zaman Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam. Maka kepada ahli yang memahami akan adab-adab tidak mudah terpengaruh dan mudah memberontak.

Saya sangat sedih kerana melihat ada segelintir penulis yang mengenepikan kedua-dua adab ini. Marilah kita semua kembali kepada rujukan kita yang utama iaitu al-Quranul Kareem dan sunnah Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam dalam setiap pertuturan dan tindakan. Semoga sedikit kocakan di air yang tenang kembali tenang semula. Insya Allah.

Tuan Guru Haji Hadi minta ahli bertenang

Kenyataan Media Tuan Guru Presiden

Isnin, 26 Oktober 2009 | 07 Zulkaedah 1430H
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.

PAS adalah merupakan sebuah organisasi siyasah, dakwah dan tarbiyah yang ditubuhkan sejak dari tahun 1951 dan pernah berhadapan dengan suasana yang lebih getir dalam lipatan sejarah perjuangannya.

Semuanya berjaya dihadapi dan terus menerus mematangkan organisasi parti sehinggalah PAS mencapai kedudukan yang ada pada masa kini.

Sehubungan dengan itu, saya meminta seluruh ahli dan kepimpinan PAS di pelbagai peringkat untuk bersabar dan bertenang dalam menghadapi persoalan dalaman parti pada waktu ini.

Persoalan yang timbul ini tidak akan dapat diselesaikan menerusi penggunaan media massa dan media baru.

Ianya perlu diselesaikan secara musyawarah dengan berpegang kepada budaya dan panduan yang menjadi pegangan PAS, sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaannya.

Saya juga sudah mengarahkan Datuk Setiausaha Agung PAS untuk menentukan tarikh yang sesuai di waktu terdekat ini untuk diadakan satu mesyuarat bagi membincangkan persoalan yang timbul ini.

Kita berdoa agar Allah SWT senantiasa memberikan taufik dan hidayah Nya kepada kita semua dalam usaha untuk merungkai permasalahan ini dan seterusnya memperkukuhkan parti.

Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang

Presiden Parti Islam SeMalaysia (PAS)

6 Zulkaedah 1430 H bersamaan 25 Oktober 2009

Anda mungkin tidak ingin melepaskan peluang untuk membaca artikel saya yang telah lalu
anta ni keras sangat syeikh

No comments:

Post a Comment