Tuesday, September 8, 2009

Nuzul al-Quran; Untuk Siapa dan Mengapa?

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Dengan Nama ALLAH Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani. Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam serta ahli keluarga baginda dan para sahabat radhiallahu ‘anhu.


Tanggal 17 Ramadhan setiap tahun rata-rata umat Islam akan mengadakan majlis memperingati Nuzul al-Quran. Kebiasaannya program pengisian serta ceramah Nuzul al-Quran diadakan pada 16 Ramadhan malam ke 17 Ramadhan lagi. Peringatan Nuzul al-Quran diadakan bertujuan untuk memperingati peristiwa penurunan al-Quran sebagai mu’jizat agung kepada Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam. Kitab suci Al-quranul Kareem merupakan mukjizat baginda yang dapat kita lihat sehingga ke hari kiamat.

Pengenalan
Peristiwa Nuzul al-Quran merupakan rakaman sejarah kehidupan Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam secara berperingkat-peringkat yang akhirnya menjadi sebuah kitab yang lengkap dan sempurna. Membaca al-Quran merupakan satu ibadat dan ianya tidak menjemukan pembacanya walaupun dibaca berulang kali. Peristiwa Nuzul al-Quran ini berlaku pada malam Jumaat 17 Ramadhan tahun ke 41 daripada keputeraan Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam.

Al-Quran mengandungi peraturan dan pengajaran daripada kisah-kisah masa lampau (kisah nabi terdahulu), kisah-kisah masa al-Quran diturunkan (kisah Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam serta kisah-kisah yang akan berlaku pada masa akan datang (hari kiamat). Al-Quran Secara keseluruhannya menerangkan tentang peraturan hukum berkaitan dengan masalah aqidah, ibadah, muamalah, akhlak, hukum-hakam dan sebagainya. Nama-nama al-Quran yang masyhur antaranya ialah al-Quran, al-Furqan (pembeza antara hak dan bathil, muslim dan kafir dan mu’min dan munafik), al-Kitab, at-Tanzil (diturunkan) dan az-Zikr (member peringatan).

Isi kandungan Al-quran dijamin oleh Allah Subhanahu Wata’aala
Al-Quran merupakan satu kitab yang dijamin dan dipelihara oleh Allah Subhanahu Wata’aala daripada sebarang bentuk penyelewengan terhadap isi kandungannya. Bertepatan dengan firman Allah Subhanahu Wata’aala dalam Surah al-Hijr: Ayat 9 yang berbunyi:

Oleh yang demikian, sebarang usaha untuk mengubah isi kandungan al-Quran tidak akan berjaya sekaligus membuktikan kemu’jizatan kitab suci al-Quranul Kareem. Maka sudah menjadi kemestian kepada seluruh umat Islam untuk mempercayai, beriman serta beramal dengan seluruh isi kandungan al-Quran. Segala hukum-hakam yang terdapat di dalam al-Quran adalah bertujuan untuk menjaga seluruh kehidupan manusia di atas muka bumi. Ini kerana kehidupan manusia tidak akan terlepas daripada pengadilan mahkamah ‘Rabbul Jalil’ di hari akhirat kelak. Manusia yang melakukan kebaikan akan dibalas dengan keni’matan syurga manakala manusia yang melakukan kejahatan akan dihumban ke dalam azab api neraka Allah Subhanahu Wata’aala.

Nuzul al-Quran
Perkataan ‘Nuzul’ bermaksud berpindah daripada atas ke bawah. Manakala ‘al-Quran’ dari sudut bahasa ialah bacaan atau himpunan. Manakala makna dari segi istilah pula ialah “kalam Allah yang diturunkan kepada Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam dan sebagai ibadat apabila membacanya”. Al-Quran diturunkan daripada ‘luh mahfudz’ secara sekali gus ke langit dunia ‘baitul izzah’ kemudian Malaikat Jibrail menurunkannya kepada Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam secara berperingkat-peringkat selama 23 tahun (13 tahun di Mekah dan 10 tahun di Madinah).

Al-Quran diturunkan di Mekah selama 13 tahun untuk memberikan pemahaman dan memantapkan aqidah serta tauhid umat Islam ketika itu. Selepas itu baki 10 tahun lagi al-Quran diturunkan kepada Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam selepas baginda berhijrah ke Madinah. Dalam tempoh ini, ayat-ayat al-Quran menerangkan tentang muamalah, ibadah dan hukum-hakam jinayah. Ini jelas bahawa penekanan konsep tauhid dan aqidah perlu didahulukan sebelum penekanan tentang syariat Islam.

Matlamat Nuzul al-Quran

Al-Quran diturunkan bukan sekadar untuk dibaca dan diperdengarkan semata-mata.

Antara matlamat serta tujuan diturunkan al-Quran ialah:

1. Seperti yang dijelaskan di atas antara tujuan dan matlamat yang terbesar al-Quran diturunkan ialah untuk memandu seluruh kehidupan manusia di atas muka bumi ini. Segala peraturan serta panduan yang dibawa oleh al-Quran adalah untuk memastikan agar seluruh aspek kehidupan manusia lurus berpandukan kepada syariat yang telah ditetapkan oleh Allah Subhanahu Wata’aala serta mendapat keredhaanNya.

2. Untuk membuktikan al-Quran sebagai mu’jizat Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam yang merupakan bukti kenabian dan kerasulan baginda. Ianya juga membuktikan firman Allah Subhanahu Wata’aala dan bukannya ucapan atau rekaan nabi sendiri.

3. Untuk melahirkan individu-individu muslim mentauhidkan Allah Subhanahu Wata’aala dengan berpaksikan kepada iman yang sebenar dan meninggalkan amalan-amalan jahiliyyah dan khurafat.

4. Untuk memandu manusia berakhlak Islam yang mulia sepertimana yang dapat dilihat pada model agung Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam. Yang akhirnya dapat melahirkan individu, keluarga, masyarakat, pemimpin dan Negara yang berteraskan kepada segala suruhan dan ajaran Allah Subhanahu Wata’aala.

5. Untuk melahirkan satu kelompok atau kumpulan manusia yang menyeru kepada kebenaran dan mencegah kemungkaran serta beriman kepada Allah Subhanahu Wata’aala.

Kesimpulan

Al-Quran diturunkan bukanlah untuk dibaca dan diperdengarkan semata-mata. Malah tuntutan yang paling besar ialah menghayati dan mengamalkan seluruh isi kandungannya di dalam segenap aspek kehidupan. Apa yang penting ialah program-program pengisian dan ceramah Nuzul al-Quran (penurunan al-Quran) hendaklah dilaksanakan sepanjang masa dan tidak terhad dalam bulan Ramadhan sahaja.

Program tersebut perlu dijadikan sebagai pendekatan untuk mendekatkan masyarakat dengan al-Quran. Apabila al-Quran telah meresap di dalam hati-hati setiap individu, maka masyarakat akan terhindar daripada gejala-gejala sosial dan masalah-masalah lain.

No comments:

Post a Comment