Thursday, August 30, 2012

Ulama' Dalam Sorotan Sejarah Kemerdekaan (Versi Terbaru)

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Dengan Nama ALLAH Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani. Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhamad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam serta ahli keluarga baginda dan para sahabat radhiallahu ‘anhu.


Merdeka minda, merdeka tubuh dan merdeka jiwa

Alhamdulillah berbaki tinggal beberapa jam sahaja lagi laungan 'merdeka' akan kedengaran. Tahun ini kita akan menyambut kemerdekaan yang ke 55 tahun. Ini bermakna negara kita sudah merdeka selama 55 tahun daripada penjajah. Akan tetapi sentiasa timbul persoalan adakah negara kita sudah merdeka dengan erti kata yang sebenarnya? Dalam erti kata lain merdeka daripada segala aspek. Merdeka minda, merdeka tubuh dan merdeka jiwa. Adakah ianya sudah boleh dianggap merdeka dalam suasana 'ghazwatul fikr' bercambah di mana-mana. Ini yang paling penting bagi memastikan rakyat merdeka dalam erti kata yang sebenarnya.


Kemerdekaan dalam bulan Syawal

Tarikh kemerdekaan Negara kita yang tercinta jatuh pada tahun ini dalam suasana umat Islam melakukan ibadat puasa sunat 6 hari di bulan syawal. Juga akan disambut dalam keadaan negara dibelenggu dengan pelbagai masalah. Alhamdulillah. Pada tahun ini hari kemerdekaan jatuh pada hari Jumaat, 31hb Ogos 2009 bersamaan dengan 12 Syawal 1433 Hijrah. Ini bermakna semua lapisan rakyat akan berhimpun pada malam ini iaitu malam Jumaat. Maka hormatilah kesucian bermulanya detik hari Jumaat pada keesokan harinya.


Sebagaimana tahun-tahun yang lepas sambut dengan berita yang agak kurang menyenangkan dan kurang enak untuk menjadi santapan halwa telinga. Maka langkah yang perlu diambil oleh pihak kerajaan akan menyebabkan kurangnya kedengaran gejala sosial seperti kes zina, kes buang bayi dan lain-lain kes. Kebiasaannya bangsa Melayulah juaranya. Maka saya merasakan sudah sampai masanya syariat Islam ditegakkan di samping penekanan ‘konsep iman’ di dalam diri setiap generasi muda pada hari ini. Hendaklah disedari bahawa syariat Islam adalah untuk memandu dan mentadbir urusan manusia sepanjang kehidupan di dunia. Sejarah telah mencatat bahawa syariat Islam merupakan alternatif terbaik dan ianya mendapat jaminan daripada Allah Subhanahu Wata’aala.

Perjuangan ulama’ digelapkan

“Eee… aku memang tak minatlah sejarah ni.. Kau minat tak?” Itu merupakan dialog yang lazim kita dengar di kalangan pelajar sekolah menengah yang tidak meminati Matapelajaran Sejarah. Termasuklah diri saya sendiri. Saya memang tidak meminati sejarah (waktu itu). Tetapi Alhamdulillah sekarang saya mula meminati sejarah. Terutamanya sejarah Islam. Kenapa kita perlu mengambus sejarah yang sebenar dengan fakta yang tidak tepat? Persoalan ini mungkin boleh dijadikan satu muhasabah kepada para pencinta sejarah yang sebenar.

Jika kita menggali semula penulisan-penulisan sejarah, kita akan mendapati fakta sejarah yang tidak ditulis dengan telus. Terutama sekali buku-buku sejarah di sekolah-sekolah. Nama-nama ulama’ yang memperjuangkan kemerdekaan seperti Tuan Guru Haji Abdul Rahman Limbong di Terengganu, Tuan Guru Haji Hassan bin Munas (Tok Janggut) di Kelantan, Tuan Guru Haji Musa Minangkabau, Adipati Yunus di Melaka, dan Sheikh Abdul Samad al-Falimbani tidak ditonjolkan.

Satu tindakan yang tidak adil

Saya berpendapat bahawa tindakan seperti ini sangat tidak adil terhadap ulama’-ulama’ tersebut. Sangat malang kepada generasi muda hari ini yang tidak mengetahui sejarah kemerdekaan Negara dari sudut yang sebenarnya. Dan sangat tidak patut membiarkan remaja dan generasi muda pada hari ini lemas dan hanyut di dalam arus budaya hedonisme.

Sambutan hari kemerdekaan tidak sepatutnya didominasi dengan program-program hiburan yang melalaikan. Akan tetapi hendaklah dilaksanakan dengan program-program yang boleh menyuntik semangat generasi muda untuk mempertahankan Negara daripada unsur-unsur luar yang negatif. Hari kemerdekaan juga disambut dengan bertujuan untuk menyedarkan generasi muda akan sumbangan para ulama’ di dalam mempertahankan tanah air. Di samping itu jasa para ulama’ ialah berjuang untuk berhadapan dengan ‘ghazwatul fikr’ iaitu serangan pemikiran oleh musuh-musuh Islam.

Sumbangan Gerakan Islam

Suatu fakta yang tidak boleh dinafikan ialah fakta dimana Gerakan Islam turut berperanan di dalam memberikan sumbangan kepada kemerdekaan Negara. Jika diselak di dalam buku-buku sejarah kita akan berjumpa dengan nama seperti Ustaz Abu Bakar Al-Baqir, Dr Burhanuddin Al Helmy, Prof Zulkifli Muhammad dan Ahmad Boestamam.

Bermula dengan penubuhan Majlis Tertinggi Agama Malaya (MATA) pada 24 Mac 1947 yang akhirnya telah melahirkan Hizbul Muslimin pada 14 Mac 1948 sebaik sahaja Sidang Majlis Tertinggi Agama Malaya (MATA) selesai. Ustaz Abu Bakar Al-Baqir yang merupakan Ketua Umum Hizbul Muslimin bersama jawatankuasanya telah berusaha melebarkan pengaruh Hizbul Muslimin dalam usaha untuk membebaskan Tanah Melayu untuk membentuk masyarakat Islam dan menjadikan agama Islam sebagai satu cara hidup.

Dengan tersebarnya pengaruh Hizbul Muslimin telah mendorong untuk ditubuhkan Persatuan Islam Se Malaysia pada 1951. Akhirnya Persatuan Islam Se Malaysia menjadi sebuah parti politik Islam. Parti Islam tersebut ialah Parti Islam Se Malaysia (PAS) dan berjaya ditubuhkan pada 1951. Generasi muda hari ini dapat melihat Parti Islam Se Malaysia (PAS) di pimpin oleh barisan kepimpinan ulama’ yang istiqamah untuk terus memperjuangkan Islam. Dan pada hari ini juga Parti Islam Se Malaysia (PAS) telah mencapai kegemilangan dengan menjadi sebuah parti politik Islam yang disegani oleh kawan dan lawan.

Kesimpulan

Akhirnya bolehlah disimpulkan bahawa ulama’ lah golongan yang sangat prihatin dalam mempertahankan Negara dan agama dari sebarang pencerobohan dan penjajahan bangsa asing. Ini kerana wujudnya rasa tanggungjawab yang tinggi dalam jiwa mereka dalam memikul amanah sebagai khalifah Allah Subhanahu Wata’aala di muka bumi ini.

Artikel berkaitan: Ulama Pelopor Kemerdekaan Negara

Sekian, wassalam.
Ibnu Ibrahim
12.00 pm.

No comments:

Post a Comment