Friday, September 7, 2012

Terkini: 1 Orang lagi wanita serah diri semalam

Assalamu'alaikum dan salam sejahtera. Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani. Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhamad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam serta ahli keluarga baginda dan para sahabat radhiallahu ‘anhu. 

Perhimpunan: Seorang lagi wanita serah diri 

6 September 2012

KUALA LUMPUR - Seorang lagi wanita menyerah diri semalam di Ibu Pejabat Polis Kontinjan Kuala Lumpur berhubung dengan siasatan kes memijak dan menunjuk punggung ke atas gambar pemimpin negara dan membawa bendera "Sang Saka Malaya" pada perhimpunan "Janji Demokrasi" 30 Ogos lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah berkata wanita berumur 21 tahun itu menyerah diri pada pukul 10 malam semalam di IPK Kuala Lumpur.

Polis telah membebaskan wanita itu dengan ikat jamin setelah merakam percakapannya, katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata setakat ini seramai empat daripada 11 orang yang gambar mereka disiarkan oleh media,  telah dikenalpasti dan dirakam percakapan serta dibebaskan dengan ikat jamin.

Sementara sebanyak 238 laporan polis telah diterima berhubung kejadian tersebut, katanya.

Dua individu turut menyerah diri semalam iaitu seorang pelajar kolej di Kuala Kubu Baru, Selangor berusia 19 tahun yang menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi pada 1 tengah hari, dan seorang model sambilan wanita berusia 19 tahun yang menyerah diri di Balai Polis Sentral Johor Baharu pada 11 pagi.

Pada Selasa lepas, seorang pelajar lelaki kolej swasta di sini yang didakwa menunjuk punggung ke atas gambar pemimpin negara ditahan di Cheras. Dia bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan polis selepas polis merekodkan keterangannya.

Ku turut mengesahkan pihak polis hari ini telah merakamkan percakapan penganjur perhimpunan Janji Demokrasi pada 30 Ogos lalu, Maria Chin Abdullah, dan Sasterawan Negara A. Samad Said di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini hari ini.

Sementara itu, kedua-dua mereka yang ditemui pemberita selepas siasatan itu enggan mengulas mengenai tindakan sekumpulan peserta perhimpunan yang bertindak biadab itu, dan Maria hanya berkata "ia bukan bermula dari pihak kami."

Turut hadir peguam Datuk S Ambiga Sreenevasan yang merupakan pengerusi perhimpunan Bersih 3.0. - Bernama

sumber: sinarharian; perhimpunan-seorang-lagi-wanita-serah-diri

No comments:

Post a Comment