Sunday, August 5, 2012

Artis dan Dunia Baru

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani. Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam serta ahli keluarga baginda dan para sahabat radhiallahu ‘anhum ajma’iin.

Fenomena golongan artis berhijrah

Bermula dengan Bob Lokman, kemudian disusuli artis-artis seperti Hairie Othman, Aishah, Sham Kamikaze dan lain-lain lagi. Ekoran telah disuluh dengan cahaya hidayah maka sekarang ini mereka merasa ni'mat hidup dalam dunia yang baru dan jauh berbeza daripada zaman sebelum ini. Mereka juga bersama-sama memperjuangkan cara hidup yang syumul. Alhamdulillah.


Artis di zaman Rasulullah

Kita melihat bagaimana di zaman Nabi Muhammad saw juga terdapat penyair yang terkenal telah bertaubat dan berhijrah iaitu Ka’ab bin Zuhair bin Abi Salma. Nabi Muhammad saw juga telah telah menghadiahkan burdah (jubah) yang dipakai oleh beliau kepada Ka’ab bin Zuhair bin Abi Salma. Ka’ab bin Zuhair bin Abi Salma, adalah merupakan seorang penyair terkenal Muhadramin (penyair dua zaman iaitu Jahiliyyah dan Islam)

Hidup dalam dunia berbeza

Kalau dahulu mereka hidup didalam kehidupan yang penuh maksiat, bercampur antara lelaki dengan perempuan sudah menjadi lumrah didalam dunia artis. Setelah mendapat suluhan cahaya iman dan Islam maka akhirnya mereka berhijrah daripada kegelapan jahiliyah kepada Islam. Penampilan mereka berubah daripada tidak memakai tudung kepada istiqamah memakai tudung.

Perubahan mereka juga dapat dilihat daripada sudut sosial iaitu artis yang sudah meninggalkan zaman kegelapan ini banyak berkongsi pengalaman dengan orang awam. Ada antaranya menitiskan air mata di hadapan ribuan orang kerana menyesali akan kesilapan yang telah dilakukan sebelum ini. Semoga mereka diberikan hidayah berterusan dan istiqamah dalam kehidupan Islam mereka.

Ujian dan dugaan

Sudah menjadi lumrah di dalam kehidupan ini manusia akan diuji dengan mehnah dan tribulasi. Kadang kala ujian dan dugaan yang dihadapi adalah untuk menguji sejauh mana keinginan mereka untuk berubah ke arah kebaikan. Ujian dan dugaan juga adalah untuk meningkatkan keimanan mereka peringkat demi peringkat. Semoga mereka kekal di dalam hidayah Allah. Begitu juga dengan kita.

Proses tarbiyah

Cuma tinggal lagi cabaran untuk mendidik dan mentarbiyah mereka secara berterusan agar mereka tidak kembali semula ke jalan yang telah mereka lalui sebelum ini. Kesediaan untuk menerima mereka perlulah ada kepada setiap individu muslim. Terimalah mereka dengan hati yang penuh terbuka dan lapang dada. Jauhkan diri daripada mengkritik mereka. Sebaliknya berilah sokongan kepada mereka. Ajaklah mereka untuk menghadiri usrah. Usrah adalah merupakan elemen terpenting untuk memastikan hati-hati para artis ini diikat dengan ikatan yang sangat kukuh.

Semoga Allah memberikan hidayah kepada kita semua.
16 Ramadhan 1433H/05hb Ogos 2012
Ibnu Ibrahim.

No comments:

Post a Comment