Tuesday, July 28, 2009

Bersama Teman-teman Berjuang Di Medan Ini.

Assalamualaikum wmt. wbh dan salam sejahtera.

Dengan Nama ALLAH Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.

Alhamdulillah setinggi-tinggi syukur atas kurniaanNya. Setelah bertungkus lumus siang dan malam akhirnya siaplah blog di sini ku bermula yang dihiasi dengan kehijauan dan kebiruan ini.

Terjun bersama di medan da'wah

Sebenarnya perasaan untuk memiliki blog sendiri sudah bermain di fikiran semenjak menuntut di UST, Yemen lagi. Alhamdulillah kini diri ini memiliki juga blog sendiri. Perasaan untuk bersama di alam maya juga semakin membara setelah membaca artikel Ust. Zaharuddin Abd. Rahman di dalam blog beliau, artikel bertajuk Takziah Atas Pemergian Yang Pasti. Artikel tersebut berkenaan dengan kematian seorang ust muda yang telah menghembuskan nafasnya dalam usia yang sangat muda (30 tahun) dan meninggalkan isteri dan zuriat yang soleh dan solehah (insyaAllah). Kata Ust. Zaharuddin Abd. Rahman lagi ust. muda tersebut juga meninggalkan hasil penulisan di dalam blog beliau.

Mati meninggalkan ilmu

Ust. muda tersebut ialah Ustaz Wan Mohd Salimi bin Wan Sulong (suami kepada anak sepupu). Jika diimbau kenangan bersama dengan beliau tidaklah banyak. Masih segar di ingatan ketika saat bersama beliau. Alhamdulillah sempat bersama isteri menziarahi beliau dan keluarga sebelum kematiannya. Juga kenangan manis masih segar di ingatan ketika makan bersama di bawah pondok ketika jamuan di sebuah kampung. Walaupun satu sekolah dengan beliau ketika di SMAASZA tetapi tidak rapat dengan beliau. Tetapi rasa sangat bersyukur kerana sempat juga bersama dengan beliau walaupun tidak lama. Blog beliau sehingga ke saat ini masih diziarahi. Beliau merupakan pemilik blog sekali kaki melangkah. Marilah sama-sama sedekahkan Al-Faatihah kepada Al-Marhum. Berita tentang kematian beliau ada tercatat di dalam blog senior semasa di sekolah SMA(A)SZA, Batu Burok. Catatan Abu Umair

Matinya anak adam

Di zaman yang serba canggih dan moden ini para pendakwah seharusnya menceburkan diri di dalam bidang penulisan terutamanya di internet. Ini merupakan sebahagian daripada amal yang soleh. Bertepatan dengan sebuah hadis yang bermaksud:
Sabda Rasulullah s.a.w :
"Apabila telah mati seorang anak Adam,
maka putuslah amalnya kecuali tiga perkara, iaitu:
Sedekah jariah, Ilmu yang bermanfaat
dan anak yang soleh yang mendoakan kepadanya."

Semoga usahaku untuk menjadi salah seorang daripada 'penda'wah siber' di ruang yang tiada batasan ini mendapat berkat serta redha daripada Allah SWT. "ihfazilLaha yahfazka". Yang bermaksud: Jagalah Allah Nescaya Allah akan menjaga kamu.

No comments:

Post a Comment