Monday, July 15, 2013

Harga Barang Naik Lagi

Assalamu'alaikum dan salam sejahtera. Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani. Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhamad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam serta ahli keluarga baginda dan para sahabat radhiallahu ‘anhu.

Esok akan naik harga


Pada 9 haribulan Julai 2013 iaitu sehari sebelum berpuasa, saya pergi ke kedai untuk mendapatkan bekalan lauk mentah. Penjual memberitahu harga bekalan lauk mentah akan naik pada hari berpuasa. Ayoyo. Ini sudah pelik bin ajaib. Sepatutnya pada bulan ramadhan inilah umat Islam digalakkan untuk membuat 'amal. Apa salahnya pada bulan ramadhan harga barang dijual pada harga biasa atau lebih murah daripada biasa.

Ini akan menimbulkan persepsi negatif di dalam masyarakat iaitu, akan keluarlah kata-kata yang tidak manis didengar iaitu "apalah, bulan ramadhan sahaja, harga barang mesti naik." Sedangkan pada bulan ramadhan inilah kita boleh memperlihatkan atau mempromosi kelebihan yang ada pada bulan ramadhan kepada orang yang belum Islam.

Situasi yang lain pula, suatu hari saya pergi membeli lauk untuk berbuka di bazar ramadhan. Terkejut dibuatnya. Harga sepotong ayam yang kecil harganya mencecah RM 5.00. Masya Allah, mahalnya.Satu lagi sejarah tercipta.

Harga ayam sekarang ini telah naik sehingga mencecah RM9.00 satu kilogram.


Manipulasi harga punca ayam naik

PUTRAJAYA 12 Julai - Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani tidak menolak kemungkinan berlaku manipulasi harga oleh peruncit yang menyebabkan harga ayam naik secara mendadak sehingga RM9 sekilogram sekarang.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini kerana semakan harga di ladang oleh pihaknya menunjukkan harga tidak banyak berubah iaitu sekitar RM5 sekilogram, manakala bekalan di pasaran pula mencukupi.

"Tapi yang saya dengar harga ayam telah naik sehingga RM8.50 ke RM9 dan saya khuatir ada pihak tertentu mengambil kesempatan menaikkan harga," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Katanya, harga siling di pasaran yang ditetapkan kementerian masih pada RM7.80 bagi setiap kilogram.
Beliau diminta mengulas kenaikan harga ayam yang dikesan berlaku secara mendadak di kebanyakan negeri dalam tempoh dua minggu ini.

Katanya, permintaan terhadap ayam pada hari-hari biasa ialah 1.2 juta ekor namun meningkat kepada 2.2 hingga 2.4 juta ekor sehari pada bulan Ramadan sehingga sambutan Aidilfitri.

Menurut Ismail Sabri, kerajaan telah membuka permit import ayam bulat bagi menangani isu itu dan secara teorinya lambakan ayam di pasaran akan menurunkan harga barang berkenaan.

Dua bulan lepas memang berlaku peningkatan permintaan terhadap ayam tempatan apabila China menghentikan eksport poltri susulan penularan wabak H7N9, namun wabak telah berakhir dan pengimport kembali membawa masuk ayam dari negara itu, katanya.

Sidang media itu diadakan bagi menghebahkan Tekun Nasional memenangi Anugerah 'Best Innovation in Financial Services' pada satu majlis di Karlsruhe, Jerman. -BERNAMA

Sumber: utusan; Manipulasi harga punca harga ayam naik

No comments:

Post a Comment