Wednesday, May 18, 2011

Istikharahlah..

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani. Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam serta ahli keluarga baginda dan para sahabat radhiallahu ‘anhum ajma’iin.

Usrah di tepi pantai

Wah!! Banyaknya habuk dan sawang-sawang dalam blog ini dek kerana tidak terurus dengan baik. Seperti kebiasaan apabila hendak menulis ada sahaja halangan yang dating. Alhamdulillah di kesempatan dan kekuatan yang ada ini saya mengambil kesempatan untuk menulis. Sekurang-kurangnya ada juga bahan untuk dikongsi dengan pengunjung sekalian.

Semalam tepat jam 10:30 pagi saya berserta seramai 6 orang pelajar tahun satu bertolak ke pantai Teluk Ketapang bagi memenuhi takwim mahasiswa KUDQI iaitu usrah mingguan. Dalam suasana yang damai dan berangin kami berusrah dalam keadaan yang harmoni. Kami membentuk satu halaqah di bawah pohon rhu yang teduh di tepi jalan. Walaupun kami dipandang pelik oleh orang ramai yang lalu lalang kami tetap meneruskan usrah sehinggalah habis.

Seperti biasa, usrah dimulakan dengan bacaan al-quran dan terjemahan oleh setiap ahli usrah yang hadir. Kemudian, diisi pula dengan pengisian teks usrah harakiah, (sirah nabawiyah tidak sempat) dan diakhiri dengan isu-isu semasa dan muhasabah. Alhamdulillah..respon yang baik telah diberikan oleh adik-adik tahun satu sepanjang usrah berjalan. Sebelum mengakhiri usrah saya sempat memberikan sedikit pengisian berkenaan dengan Nidzom (Unit) Baitul Muslim. Nidzom Baitul Muslim sehingga ke hari ini telah berjalan dengan baik setelah ianya diwujudkan dua sesi yang lepas. Cuma sambutannya agak kurang memberangsangkan. Insya Allah ‘slow-slow’ kata orang Bangladesh.

Baitul Muslim jalan terbaik

Maklumlah mungkin ianya perkara baru bagi mahasiswa KUDQI. Tidak sama dengan saya dan teman-teman yang sempat belajar di universiti-universiti tempatan yang lain. Sesi kali ini saya masih lagi diamanahkan sebagai Pengerusi Nidzom Baitul Muslim. Saya bersyukur sepanjang kewujudan Nidzom Baitul Muslim KUDQI sedikit sebanyak ianya mengurangkan masalah ‘couple’ di kalangan mahasiswa KUDQI. Pelbagai ragam mahasiswa. Ada yang bersyukur dengan kewujudan unit ini dan terus menggunakan sepenuhnya saluran yang ada bagi menyatakan hasrat untuk berbaitul muslim. Ada juga mahasiswa yang menolak perlunya kewujudan unit ini dengan alasan yang tidak munasabah dan hanya sekadar alasan semata-mata.

Berbalik dengan penerangan saya tadi, penerangan ini merupakan salah satu daripada aktiviti Nidzom Baitul Muslim. Nidzom Baitul Muslim adalah merupakan satu unit yang ditubuhkan di bawah pemantauan Hal Ehwal Pelajar (HEP) KUDQI. Di antara tujuan diwujudkan Nidzom Baitul Muslim adalah untuk memperkenalkan kepada mahasiswa KUDQI tentang kaedah sebenar untuk menyatakan hasrat kepada pasangan yang diminati. Ini merupakan satu kaedah yang disuruh oleh syariat Islam dan bukannya menjadikan saluran yang lain seperti sms dan telefon untuk berkenalan dengan pasangan.

Matlamat Nidzom Baitul Muslim KUDQI

Membentuk keperibadian individu Muslim dan Rumahtangga Muslim yang diredhai Allah SWT.

Objektifnya

1. Sebagai wadah dalam menyampaikan hasrat pelajar muslimin atau pelajar muslimat kepada bakal pasangan yang diingini untuk membina rumahtangga muslim.

2. Mendedahkan pelajar-pelajar KUDQI kepada kaedah perhubungan yang mengikut syariat Islam tanpa menafikan hak-hak sebagai seorang manusia yang mempunyai naluri untuk menyayangi dan disayangi.

3. Membimbing pelajar-pelajar KUDQI dalam memahami tanggungjawab dan hak dalam hubungan dengan Allah dan hubungan dengan manusia.

4. Membantu mempermudahkan urusan perkahwinan bagi pasangan yang berhasrat untuk berkahwin tetapi dihalang oleh keluarga.

Konsep yang digunakan

1. Bertawakkal kepada Allah SWT dengan menjadikan Solat Istikharah sebagai jambatan dalam membuat keputusan dan pasrah dengan apa jua ketentuan Allah SWT.

2. Menjaga kerahsiaan hubungan atau ikatan yang terjalin antara pasangan pelajar Muslimin dan Muslimat.

3. Mengharapkan keredhaan Allah SWT dalam hubungan yang terjalin dengan memperbanyakkan munajat kepada-Nya dan menjauhkan diri dari sebarang unsur yang merangsang nafsu syahwat dan membawa kepada kemurkaan Allah.

4. Memelihara tutur kata dan tingkah laku agar tidak menjerumuskan diri dan pasangan ke dalam perkara-perkara yang melampaui batas-batas syariat. Ia juga merupakan persediaan dalam membina rumahtangga dan melahirkan zuriat keturunan yang diberkati Allah.

Kesimpulan

Apa yang dapat saya simpulkan ialah saluran Baitul Muslim adalah jalan penyelesaian yang terbaik untuk menyelesaikan masalah ‘couple‘ di kalangan mahasiswa. Konsep seperti istikharah kedua-dua pasangan, menjaga kerahsiaan dan adanya batas di dalam hubungan adalah merupakan konsep untuk memastikan hubungan yang dibina adalah berlandaskan asas taqwa dan mencari mardhotilLah. Menjaga kerahsiaan misalnya, merupakan satu perkara yang dituntut dalam Islam sepanjang tempoh pertunangan.

Apatah lagi sebelum termeterainya ikatan pertunangan. Ini bagi mengelakkan timbulnya fitnah dan perkara-perkara yang boleh mengaibkan pihak perempuan mahupun lelaki jika pertunangan tersebut terpaksa diputuskan. Sungguh, terlalu banyak hikmah yang terdapat di sebalik setiap suruhan dan tuntutan Ilahi..ada yang mampu kita singkap dengan akal fikiran dan ada juga yang tidak mampu disingkapkan oleh akal seorang hamba yang kerdil di sisi Yang Maha Mengetahui..

Wallahu A'lam.

No comments:

Post a Comment