Assalamu'alaikum dan salam sejahtera.
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani. Selawat dan
salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhamad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam
serta ahli keluarga baginda dan para sahabat radhiallahu ‘anhu.
Situasi Mesir terkini
Difahamkan seramai 16 orang setakat ini telah terbunuh di dalam protes seluruh Mesir. Ini sekaligus menggambarkan bahawa Mesir pada saat ini berada di dalam keadaan yang cemas. Sementara itu 4 orang Menteri Mesir telah meletakkan jawatan semalam sekaligus menggugat pentadbiran Presiden Dr. Morsi. Sudah menjadi sunnatulLah setiap kebaikan yang hendak dilakukan akan sentiasa mendapat rintangan. Semoga majoriti rakyat Mesir tidak goyah dan terus utuh bersama dengan Presidennya. InsyaAllah.
16 orang maut dalam kekacauan terbaharu di Mesir
KAHERAH - Sekurang-kurangnya 16 orang terbunuh dalam protes di
seluruh Mesir kelmarin termasuk lapan orang yang mati dalam pertempuran
antara kumpulan penentang dan penyokong Presiden Mohammed Morsi di sini,
kata kementerian kesihatan semalam.
Tiga orang lagi meninggal dunia di tengah wilayah Assiut dan
masing-masing seorang di wilayah Fayoum, Beni Sueif dan Kafr el-Sheikh.
Seorang penunjuk perasaan pula dilaporkan mati akibat sesak nafas
semasa menyertai perhimpunan di luar istana presiden di sini manakala
seorang lagi mangsa maut akibat kecederaan di Iskandariah.
Tunjuk perasaan kelmarin disertai berjuta-juta rakyat Mesir yang
marahkan Morsi serta pertubuhan persaudaraan Islam, Ikhwanul Muslimin
yang membantunya berkuasa.
Presiden tersebut didakwa cuba mendominasi kuasa dan meluaskan pengaruh Ikhwanul Muslimin dalam pentadbiran Mesir.
Sementara itu empat menteri masing-masing bagi portfolio Pelancongan,
Alam Sekitar, Komunikasi dan Hal Ehwal Perundangan Mesir bertindak
meletak jawatan semalam.
Perkembangan itu berlaku sehari selepas protes besar-besaran terhadap Morsi.
Keempat-empat menteri berkenaan menyerahkan surat peletakan jawatan
mereka secara bersama kepada Perdana Menteri, Hisham Qandil.
Sementara itu, pihak pembangkang Mesir memberi tempoh sehingga hari
ini untuk Morsi meletak jawatan atau berdepan dengan kebangkitan rakyat.
"Kami beri tempoh kepada Morsi hingga pukul 5 petang (waktu tempatan)
pada Selasa (hari ini) untuk berundur bagi membolehkan institusi
kerajaan membuat persediaan untuk pilihan raya presiden," kata sebuah
kumpulan pembangkang, Tamarod dalam satu kenyataan di laman webnya. -
Agensi
Sumber: kosmo; 16 orang maut dalam kekacauan terbaharu di Mesir
“Semoga Mursi terus tabah berhadapan dengan pelbagai rintangan kerana ia
menjadi 'sunnatullah' kepada mereka yang mahu menegakkan kebenaran,” Kata Pemangku Ketua Ulama' Pas Kelantan, Ustaz Hassan Mahmood ketika mengulas isu yang melanda Mesir ini.
Semoga Mursi tabah, rintangan adalah sunnatullah
Salmah Mat Hussain, 02 Jul 2013
KOTA BHARU: Dewan Ulamak PAS Negeri Kelantan yakin
semua perancangan jahat bagi menafikan kuasa rakyat yang membentuk
kerajaan Dr Muhammad Mursi (gambar) di Mesir akan menemui kegagalan.
Pemangku
ketuanya, Ustaz Hassan Mahmood berkata, pihaknya yakin rakyat Mesir
yang mengundi kerajaan Mursi pada Jun tahun lalu akan terus utuh
walaupun sentiasa dikhianati musuh politik hingga mengorbankan lapan
orang penyokong Presiden Mesir itu.
Ketika memberitahu
Harakahdaily beliau berkata, Mursi hanya boleh dijatuhkan melalui
pilihanraya dengan kehendak majoriti rakyat tanpa campur tangan asing.
“Apa
lagi rakyat Mesir pada Jun 2012 telah memberikan kepercayaan kepada
Mursi melalui peti undi dalam pilihanraya yang diadakan secara adil dan
telus,” ujarnya.
Katanya, Ulamak PAS Kelantan berharap agar
demokrasi yang telah lama lenyap dari Mesir dan kembali selepas Revolusi
25 Januari 2011 akan dihormati oleh semua lapisan rakyat.
“Semoga
Mursi terus tabah berhadapan dengan pelbagai rintangan kerana ia
menjadi 'sunnatullah' kepada mereka yang mahu menegakkan kebenaran,”
ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menyokongan gerakan Islam
seluruhnya termasuk PAS semua peringkat mengadakan solat hajat khas buat
umat Islam di Mesir dan Syria.
Hassan juga berkata, rakyat Mesir seharusnya memberi peluang pada presiden baru mereka itu cukup sepenggal pentadbirannya.
Tegasnya,
tidak masuk akal dengan segala kehancuran dan kerosakan yang
ditinggalkan oleh Mubarak selama 30 tahun, boleh diperbaiki oleh Mursi
hanya dalam tempoh setahun.
Beliau turut mengingatkan rakyat
Mesir tidak turut melatah dengan puak pembangkang yang cuba untuk
mengguling kerajaan Mursi kerana mereka tidak boleh menerima kekalahan.
Usaha
untuk menggulingkan Mursi telah bermula beberapa bulan lalu apabila
gabungan pembangkang yang menamakan diri mereka sebagai "Barisan
Penyelamat" telah menutup semua pintu rundingan dan dialog yang
ditawarkan oleh Mursi dalam semua isu termasuk isu yang berkaitan
kedaulatan negara sebagai isu Empangan Nahdhah Ethopia.
Usaha
menolak semua dialog bersama Mursi telah mengisyhtiharkan 'perang'
mereka ke atas Mursi semata-mata beliau dari Ikhwan Muslimin.
Sumber: harakahdaily; semoga mursi tabah rintangan adalah sunnatullah