Assalamu'alaikum dan salam sejahtera.
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani. Selawat dan
salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhamad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam
serta ahli keluarga baginda dan para sahabat radhiallahu ‘anhu.
Mari sama-sama kita hayati satu artikel yang cukup menarik karangan oleh Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, al-Fadhil Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi. Walaupun tidak terlalu panjang tetapi padat dengan ingatan yang sangat berguna buat seluruh pendokong serta penyokong Gerakan Islam Pas. Ikuti kupasan beliau.
Jangan Pisahkan Trio Kepimpinan ini.
1. Tiada dikotomi antara ulama', profesional dan aktivis dalam PAS. Ini
penegasan saya selaku Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia. Malah ini juga
konsensus kami seluruh saf kepimpinan Jawatan Kuasa Harian, EXCO dan
seluruh warga Dewan Pemuda PAS Malaysia. Sebarang usaha memisahkannya
adalah kerja jahat musuh luar atau dalam yang mahu merosakkan reputasi
PAS sebagai sebuah Gerakan Islam unggul di negara ini.
2. Ulama' memerlukan Profesional dan Aktivis bagi memacu perjuangan
suci ini ke mercu jaya. Sebagaimana Profesional memerlukan Ulama' untuk
terus memimpin dan mentarbiyah serta memandu arah bahtera perjuangan
ini. Demikian jua Ulama' dan Profesional tidak boleh meminggirkan para
Aktivis PAS untuk melaksanakan tugas-tugas besar perjuangan ini agar
ia dipikul bersama dan menempa kejayaan dengan gemilang.
3.
Kepimpinan Ulama' bukan istilah atau slogan juga bukan konsep untuk
mewujudkan dikotomi sekaligus memisahkan Trio Kepimpinan PAS yang
berlangsung sejak dulu. Sebaliknya Kepimpinan Ulama' adalah konsep
sebuah Kepimpinan "Ilmu" dan "pendokongnya yang berilmu" menepati
kehendak Islam untuk memimpin perjuangan atau parti ini dengan benar dan
pula menepati Manhaj Perjuangan Islam. Bukan konsep kepimpinan yang
memisahkan semua unsur baik dan positif bagi memperkukuhkan jamaah.
4. Semua pihak mesti menginsafi keperluan Trio Kepimpinan ini. Ulama',
Profesional dan Aktivis mesti saling kukuh mengukuh bukan runtuh
meruntuh, saling bina membina bukan saling hina menghina dan saling
bentuk membentuk bukan saling kutuk mengutuk. Justeru semua segmen
mempunyai kekurangan tersendiri yang mesti diakui sebagaimana semua
segmen itu juga mempunyai kelebihan tersendiri yang mesti dihormati.
5. Apabila kesilapan atau kepincangan berlaku, maka ia adalah mewakili
individu tersebut bukan ulama' atau profesional atau aktivis. Jangan
rosakkan institusi Ulama', Profesional dan Aktivis yang merupakan
institusi penting untuk kekal dan wujud dalam bahtera perjuangan ini.
Sebagai contoh, apabila seorang guru melakukan perbuatan mungkar seperti
zina maka kita tidak boleh menghukum Guru adalah Penzina sebaliknya
individu tersebutlah penzina. Demikian juga dalam hal ini.
6.
Kepimpinan Ulama' yang diperjuangkan dan diasaskan sejak 1982 yang lalu
dan menjadi Konsep Kepimpinan yang sangat berjaya menjulang PAS sebagai
sebuah Gerakan Islam Kontemporary yang disegani dari dalam dan luar
negara akan terus dipertahankan oleh Dewan Pemuda PAS Malaysia dengan
gandingan seimbang serta sepadu antara Ulama', Profesional dan Aktivis.
7. PAS adalah sebuah gerakan yang memperjuangkan Islam agar cara dan
gaya hidupnya dapat direalisasikan dalam masyarakat negara kita. Justeru
itu, pemimpin dan anggotanya mesti berilmu bagi memastikan dasar dan
matlamat perjuangan dapat didokong serta dilaksanakan dengan baik.
Berilmu bukan sahaja kewajipan pemimpin dan anggota PAS malah ia adalah
kewajipan asas seorang muslim justeru Islam menentang dan memusuhi
kejahilan.
8. Mana - mana individu atau pihak yang meletakkan
diri mereka bertentangan dengan dasar dan matlamat perjuangan Islam yang
didokong oleh PAS, hendaklah diluruskan agar ia kembali melandasi
matlamat dan dasar perjuangan yang betul. Ulama' kah ia, Profesional kah
ia atau Aktivis kah ia , itu bukan persoalannya. Persoalannya sikap
individu yang memesong diri dari dasar, matlamat, ilmu, amal, adab dan
akhlak perjuangan Islam mesti diluruskan. Sementara kebiadaban dan
kedegilan mempertahankan sikap yang salah itu pula mesti ditentang.
9. Islam adalah agama hikmah. Islam adalah agama yang maha luas dan
kaya dengan pendekatan yang hebat dan menarik menepati zaman dan tempat.
Maka pendokongnya juga mesti berhikmah dan berpandangan luas serta
hebat seiring dengan kehebatan Islam dalam melayan karenah zaman, tempat
dan seluruh warganya.
10. Kepimpinan Ulama' adalah antara
hikmah yang dipamerkan oleh PAS yang menggandingkan semua segmen
[Ulama', Profesional dan Aktivis secara seimbang dan sepadu]. Gandingan
ini pula melahirkan sebuah kehebatan bagi meletakkan PAS mampu bersaing
dipentas politik moden pada hari ini. Lantaran itu, usah tolak
Kepimpinan Ulama' sebaliknya tolak individu atau mereka yang merosakkan
jamaah, mereka yang membocorkan rahsia jamaah, mereka yang menikam
jamaah dari belakang, mereka yang menabur fitnah dan tohmahan dalam
jamaah, mereka yang melaga - lagakan pemimpin dan 1001 salah laku yang
mesti diaudit dengan teliti terlebih dahulu sebelum memuktamadkan
tindakan .
Ringkas Pengalaman Saya
a] Zaman Dato'
Mahfuz Omar menjadi Ketua DPPP dan Sdr Yb Salahudin Ayub menjadi
Timbalan Ketua DPPP, pada waktu itu saya adalah EXCO DPPP dan saya
menyokong dan mendokong kepimpinan beliau masa rebah dan tegak.
b] Zaman Yb Salahudin Ayub menjadi Ketua DPPP sementara Ust Idris Ahmad
menjadi Timbalan Ketua DPPP bergandingan dengan Sdr Mazlan Aliman
sebagai naib Ketua DPPP dan kemudiannya saya menjadi Timbalan Ketua
DPPP. Saya menyokong dan mendokong kepimpinan beliau masa jatuh dan
bangun.
c] Dua penggal kepimpinan Dato' Mahfuz dan tiga penggal
kepimpinan Yb Salahudin Ayub [10 tahun] saya bekerja di bawah mereka
dan saya selesa bersama mereka tanpa mencetuskan polemik kepimpinan
ulamak.
d] Kini saya dengan segala kelemahan diri ditakdir dan
dipilih oleh jamaah untuk memimpin DPPM, Ust Azman Syafawi dan Ust Nik
Mohd Abduh bergandingan dengan Sdr Sabki Yusuf dan Dr Raja Iskandar
masing - masing sebagai Timbalan dan Naib Ketua DPPM selama dua penggal
saya menerajui DPPM, saya harap polemik kepimpinan Ulama' tidak
dicetuskan. Justeru ia adalah gandingan mantap yang dipertahankan sejak
dulu.
Salam dari bumi Multazam
Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia
Kredit https://www.facebook.com/ustaztantawi
No comments:
Post a Comment