Assalamu'alaikum dan salam sejahtera.
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani. Selawat dan
salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhamad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam
serta ahli keluarga baginda dan para sahabat radhiallahu ‘anhu.
Adab di dalam membuat teguran
Tulisan ini cukup mengesankan kepada sesiapa yang ingin membuat teguran. Teguran yang membina dan bukannya teguran yang merosakkan. Teguran yang tidak beretika bukan sahaja merosakkan hubungan malah akan merosakkan sesebuah institusi jika tidak diurus dengan bijak dalam membuat teguran. 'Give and take' kata orang Jerman.
Ayuh kita membaca tulisan ayahanda kita al-fadhil Dato' Tuan Ibrahim bin Tuan Man (Official)
Wahai anakku,
Sebelum menegur, tanyalah diri apakah niat menegur engkau. Jika niatnya
adalah untuk menjaga ego sendiri, batalkan niat menegur tersebut. Jika
niat mu adalah untuk menghukum pihak yang tidak bersetuju dengan kamu,
batallah niat menegur itu. Jika niat mu adalah untuk memalukan orang,
lagilah perlu dibatalkan niat kamu. Jikalau niat mu adalah untuk
menunjukkan sendiri lebih pandai, batalkan
niat mu. Jikalau niat mu untuk merendahkan pihak lawan, batalkanlah
juga niat mu. Jikalau niat mu untuk lawan untuk menunjukkan kebodohan,
batalkan niat mu. Jikalau engkau tidak pasti kebenaran dalam teguran
yang engkau niatkan itu, tangguhkan dulu teguran kamu.
Wahai anakku,
Bukan tidak boleh membuat teguran. Tapi buatlah teguran yang bersifat
membina. Buatlah teguran yang bersifat mendidik dan menginsafkan.
Buatlah teguran yang memberi harapan. Buatlah teguran selepas mendapat
kebenaran dan perspektif yang betul. Sesungguhnya buatlah teguran demi
tanggungjawabmu kepada Allah dan bukannya kerana manusia dan maruah mu.
Wahai anakku,
Jagalah maruah pihak yang hendak ditegur. Tegurlah pada isu yang ada di
tangan. Jangan sesekali engkau cuba membangkitkan perkara yang
lepas-lepas kerana ia akan merosakkan teguran yang diniatkan baik oleh
engkau.
Wahai anakku,
Semasa membuat teguran, ingatlah
manusia ini tidaklah sempurna walaupun sempurna ciptaan Allah. Ingatlah
manusia depan mu itu pernah juga berbuat baik dan berkata-kata yang
baik. Buatlah teguran tanpa buruk sangka pada manusia di depanmu.
Buangkan segala buruk sangka pada manusia di depanmu. Tunjukkan belas
kasihan mu. Tunjukkan sifat penyayangmu. Tutupilah egomu. Dan jagalah
kata-kata mu dan ayat-ayat mu.
Wahai anakku,
Jangan pula
engkau ingat hanya kau yang layak menegur orang dan orang yang ditegur
mu itu mesti akur dan terima teguran mu. Jangan engkau ingat mereka akan
membisu menerima segala teguran kamu tanpa dijawab. Jangan engkau ingat
engkau sahaja betul dalam teguran mu. Bersedialah berlawan dengan
hujah. Jika engkau kasar dalam bahasa teguran mu, bersediakah menerima
balik kekasaran yang serupa atau lebih buruk.
Wahai anakku,
Menegur itu mudah. Menerima teguran itu payah. Engkau memahami perkara
itu di dalam jiwa tapi akibat bisikan syaitan dan egomu kamu sering
terlupa yang menerima teguran mu itu juga seorang manusia ciptaan Allah.
Bisikan syaitan menyebabkanmu merasakan diri lebih tinggi ketika
menegur. Egomu menyebabkan kamu terasa diserang tanpa sebab ketika
ditegur sebelum menilai teguran yang diterima samada benar mahupun
palsu. Beradablah ketika menegur. Dan bersabarlah ketika ditegur kerana
engkau akan saling memainkan watak ini dalam hidup kamu. Pentingkan
membimbing dan memberi harapan daripada mencari salah dan menghukum
dalam teguranmu. Dan pentingkan kebenaran dan nilai bersyukur ketika
ditegur kerana ada yang sanggup memberi pandangan untuk membaiki diri.
Senyum
No comments:
Post a Comment