Assalamu'alaikum dan salam sejahtera.
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani. Selawat dan
salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhamad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam
serta ahli keluarga baginda dan para sahabat radhiallahu ‘anhu.
Apa respon Kerajaan Malaysia?
Rata-rata saya melihat respon kepimpinan tertinggi Kerajaan Malaysia bukan menyatakan simpati kepada Dr. Morsi malah menyalahkan cara majoriti rakyat Mesir yang inginkan perubahan. Saya merasakan sangat sedih akan komentar yang sebegini. Salahkah mereka yang memilih untuk mendukung demokrasi? Dan siapakah yang mencabul demokrasi sebenarnya? Dr. Morsi naik melalui demokrasi tetapi diturunkan dengan cara yang jijik.
Gambaran tersebut seolah-olah jalan yang dipilih oleh rakyat Mesir adalah jalan salah. Jalan manakah lagi yang harus rakyat Mesir gunakan?
Jika kita melihat respon Perdana Menteri langsung tiada simpati buat Morsi. Cuba lihat respon tersebut.
PM mahu rakyat ambil iktibar konflik Mesir
LONDON - ENGLAND - Rakyat Malaysia perlu mengambil iktibar daripada
konflik di Mesir apabila perubahan yang ingin dituntut tidak semestinya
menjamin kemakmuran dan kesejahteraan rakyat, kata Datuk Seri Najib
Razak.
Perdana menteri berkata perubahan yang tidak diurus dengan baik boleh
membawa kepada penderitaan rakyat seperti kenaikan harga barangan,
peningkatan pengangguran dan industri pelancongan menjadi lumpuh.
"Akhirnya, ia membawa kepada rakyat sendiri yang menuntut kepada
perubahan sekali lagi yang mana perubahan itu tidak memenuhi kehendak
dan apa yang diharapkan oleh kita," katanya kepada wartawan Malaysia di
akhir lawatan kerja empat harinya ke London pada Khamis.
Najib berkata demikian bagi mengulas mengenai konflik terbaru di Mesir
yang menyaksikan penggulingan Presiden Mohamed Morsi, pemimpin yang
dipilih secara demokrasi oleh rakyat Mesir pada 30 Jun 2012 bagi
menggantikan Hosni Mubarak.
Perdana menteri berkata apa yang penting bagi Mesir adalah untuk
mencari penyelesaian secara aman selain memastikan proses pilihan raya
diadakan di masa terdekat, dengan dijalankan secara adil dan inklusif.
Namun begitu, beliau menegaskan peristiwa yang berlaku itu adalah soal
dalaman Mesir, "walaupun kita tidak sokong tindakan ketenteraan, tetapi
ia sudah terjadi."
"Diharap kerajaan baharu dapat diwujudkan, yang mencerminkan hasrat dan
aspirasi rakyat Mesir, yang dapat menjaminkan kestabilan jangka panjang
negara itu," katanya.
Mengenai tindakan rakyat di beberapa negara termasuk Malaysia yang
enggan menerima keputusan pilihan raya umum yang dilaksanakan secara
demokrasi dan pemimpin dipilih secara sah melalui proses demokrasi,
Najib berkata apa yang penting ketidakpuasan hati perlu disuarakan
mengikut lunas undang-undang dan Perlembagaan Negara.
"Inilah yang akan menjamin apa juga yang kita lakukan itu berdasarkan
kepada undang-undang dan perlembagaan negara kita," katanya.
Najib kemudian berlepas pulang ke tanah air setelah berada di London
sejak Isnin, dan sebelum itu menghadiri Dialog Perkongsian Pintar Global
di Dar es Salam, Tanzania. - Bernama
Sumber: sinarharian; pm mahu rakyat ambil iktibar konflik mesir
No comments:
Post a Comment