Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Dengan Nama ALLAH Yang Maha
Pemurah Lagi Maha Mengasihani. Selawat dan salam ke atas junjungan mulia
Nabi Muhamad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam serta ahli keluarga baginda
dan para sahabat radhiallahu ‘anhu.
Merdeka minda, merdeka tubuh dan merdeka jiwa
Alhamdulillah berbaki tinggal beberapa jam sahaja lagi laungan 'merdeka' akan kedengaran. Tahun ini kita akan menyambut kemerdekaan yang ke 55 tahun. Ini bermakna negara kita sudah merdeka selama 55 tahun daripada penjajah. Akan tetapi sentiasa timbul persoalan adakah negara kita sudah merdeka dengan erti kata yang sebenarnya? Dalam erti kata lain merdeka daripada segala aspek. Merdeka minda, merdeka tubuh dan merdeka jiwa. Adakah ianya sudah boleh dianggap merdeka dalam suasana 'ghazwatul fikr' bercambah di mana-mana. Ini yang paling penting bagi memastikan rakyat merdeka dalam erti kata yang sebenarnya.
Kemerdekaan dalam bulan Syawal
Tarikh
kemerdekaan Negara kita yang tercinta jatuh pada tahun ini dalam
suasana umat Islam melakukan ibadat puasa sunat 6 hari di bulan syawal. Juga akan disambut dalam keadaan negara dibelenggu dengan pelbagai masalah.
Alhamdulillah. Pada tahun ini
hari kemerdekaan jatuh pada hari Jumaat, 31hb Ogos 2009 bersamaan dengan
12 Syawal 1433 Hijrah. Ini bermakna semua lapisan rakyat akan berhimpun pada malam ini iaitu malam Jumaat. Maka hormatilah kesucian bermulanya detik hari Jumaat pada keesokan harinya.
Sebagaimana tahun-tahun yang lepas sambut dengan berita yang agak kurang menyenangkan dan kurang enak untuk menjadi santapan halwa telinga. Maka langkah yang perlu diambil oleh pihak
kerajaan akan menyebabkan kurangnya kedengaran gejala sosial seperti kes
zina, kes buang bayi dan lain-lain kes. Kebiasaannya bangsa Melayulah juaranya. Maka saya merasakan sudah sampai
masanya syariat Islam ditegakkan di samping penekanan ‘konsep iman’ di
dalam diri setiap generasi muda pada hari ini. Hendaklah disedari bahawa
syariat Islam adalah untuk memandu dan mentadbir urusan manusia
sepanjang kehidupan di dunia. Sejarah telah mencatat bahawa syariat
Islam merupakan alternatif terbaik dan ianya mendapat jaminan daripada
Allah Subhanahu Wata’aala.
Perjuangan ulama’ digelapkan
“Eee…
aku memang tak minatlah sejarah ni.. Kau minat tak?” Itu merupakan
dialog yang lazim kita dengar di kalangan pelajar sekolah menengah yang
tidak meminati Matapelajaran Sejarah. Termasuklah diri saya sendiri.
Saya memang tidak meminati sejarah (waktu itu). Tetapi Alhamdulillah
sekarang saya mula meminati sejarah. Terutamanya sejarah Islam. Kenapa
kita perlu mengambus sejarah yang sebenar dengan fakta yang tidak tepat?
Persoalan ini mungkin boleh dijadikan satu muhasabah kepada para
pencinta sejarah yang sebenar.
Jika
kita menggali semula penulisan-penulisan sejarah, kita akan mendapati
fakta sejarah yang tidak ditulis dengan telus. Terutama sekali buku-buku
sejarah di sekolah-sekolah. Nama-nama ulama’ yang memperjuangkan
kemerdekaan seperti Tuan Guru Haji Abdul Rahman Limbong di Terengganu,
Tuan Guru Haji Hassan bin Munas (Tok Janggut) di Kelantan, Tuan Guru
Haji Musa Minangkabau, Adipati Yunus di Melaka, dan Sheikh Abdul Samad
al-Falimbani tidak ditonjolkan.
Satu tindakan yang tidak adil
Saya
berpendapat bahawa tindakan seperti ini sangat tidak adil terhadap
ulama’-ulama’ tersebut. Sangat malang kepada generasi muda hari ini yang
tidak mengetahui sejarah kemerdekaan Negara dari sudut yang sebenarnya.
Dan sangat tidak patut membiarkan remaja dan generasi muda pada hari
ini lemas dan hanyut di dalam arus budaya hedonisme.
Sambutan
hari kemerdekaan tidak sepatutnya didominasi dengan program-program
hiburan yang melalaikan. Akan tetapi hendaklah dilaksanakan dengan
program-program yang boleh menyuntik semangat generasi muda untuk
mempertahankan Negara daripada unsur-unsur luar yang negatif. Hari
kemerdekaan juga disambut dengan bertujuan untuk menyedarkan generasi
muda akan sumbangan para ulama’ di dalam mempertahankan tanah air. Di
samping itu jasa para ulama’ ialah berjuang untuk berhadapan dengan ‘ghazwatul fikr’ iaitu serangan pemikiran oleh musuh-musuh Islam.
Sumbangan Gerakan Islam
Suatu
fakta yang tidak boleh dinafikan ialah fakta dimana Gerakan Islam turut
berperanan di dalam memberikan sumbangan kepada kemerdekaan Negara.
Jika diselak di dalam buku-buku sejarah kita akan berjumpa dengan nama
seperti Ustaz Abu Bakar Al-Baqir, Dr Burhanuddin Al Helmy, Prof Zulkifli
Muhammad dan Ahmad Boestamam.
Bermula
dengan penubuhan Majlis Tertinggi Agama Malaya (MATA) pada 24 Mac 1947
yang akhirnya telah melahirkan Hizbul Muslimin pada 14 Mac 1948 sebaik
sahaja Sidang Majlis Tertinggi Agama Malaya (MATA) selesai. Ustaz Abu
Bakar Al-Baqir yang merupakan Ketua Umum Hizbul Muslimin bersama
jawatankuasanya telah berusaha melebarkan pengaruh Hizbul Muslimin dalam
usaha untuk membebaskan Tanah Melayu untuk membentuk masyarakat Islam
dan menjadikan agama Islam sebagai satu cara hidup.
Dengan
tersebarnya pengaruh Hizbul Muslimin telah mendorong untuk ditubuhkan
Persatuan Islam Se Malaysia pada 1951. Akhirnya Persatuan Islam Se
Malaysia menjadi sebuah parti politik Islam. Parti Islam tersebut ialah
Parti Islam Se Malaysia (PAS) dan berjaya ditubuhkan pada 1951. Generasi
muda hari ini dapat melihat Parti Islam Se Malaysia (PAS) di pimpin
oleh barisan kepimpinan ulama’ yang istiqamah untuk terus memperjuangkan
Islam. Dan pada hari ini juga Parti Islam Se Malaysia (PAS) telah
mencapai kegemilangan dengan menjadi sebuah parti politik Islam yang
disegani oleh kawan dan lawan.
Kesimpulan
Akhirnya
bolehlah disimpulkan bahawa ulama’ lah golongan yang sangat prihatin
dalam mempertahankan Negara dan agama dari sebarang pencerobohan dan
penjajahan bangsa asing. Ini kerana wujudnya rasa tanggungjawab yang
tinggi dalam jiwa mereka dalam memikul amanah sebagai khalifah Allah
Subhanahu Wata’aala di muka bumi ini.
Artikel berkaitan: Ulama Pelopor Kemerdekaan Negara
Sekian, wassalam.
Ibnu Ibrahim
12.00 pm.
No comments:
Post a Comment