Monday, September 28, 2009

Amalan Di Hari Raya; Antara Ibadat dan Budaya

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani. Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam serta ahli keluarga baginda dan para sahabat radhiallahu ‘anhum ajma’iin.

Suasana hari raya tahun ini

Alhamdulillah Raya Eidul Fitri disambut dengan meriah sekali pada tahun ini. Saya dan keluarga beraya di kampung pada hari raya yang pertama. Semenjak pagi rumah ayah saya dikunjungi oleh sanak saudara. Hanya ketupat yang dibuat oleh mak menjadi sajian utama di hari raya di samping kek dan makanan sampingan yang lain.

Pada hari raya yang kedua pula,saya, isteri dan keluarga mertua berkesempatan berhari raya di Negeri Serambi Mekah iaitu Negeri Kelantan Darul Naim. Ini merupakan kali kedua saya dan isteri pulang beraya di Kelantan Darul Naim. Kesempatan ini diambil untuk mengenali serta beraya di rumah sanak saudara keluarga mertua. Kami mengambil kesempatan untuk berjumpa dengan adik-beradik yang tinggal di Kuala Lumpur. Inilah masanya kami berkumpul.

Selama lebih kurang 3 hari kami berada di Kelantan. Berjalan, melihat dan akhirnya saya cuba untuk menterjemahkan apa yang dilihat. Raya kali ini juga cukup bermakna buat saya kerana saya berpeluang sekali lagi untuk mengenali dan beramah mesra dengan adik-beradik bapa dan ibu mertua. Perbezaan politik diketepikan dan masing-masing menghormati pendirian masing-masing. Ini merupakan satu perkembangan yang sangat baik..alhamdulillah. Amalan ziarah-menziarahi antara satu dengan yang lain menjadi keutamaan di Bulan Syawal.

Amalan ziarah-menziarahi
Islam sangat menitik-beratkan amalan ziarah-menziarahi antara satu sama lain. Ini bertujuan untuk menyimpul kukuh ikatan kekeluargaan dan tali persaudaraan. Amalan ziarah-menziarahi sanak saudara merupakan satu ibadah. Secara tidak langsung kita dapat mengetahui waris yang dekat dan waris yang jauh. Ini bertepatan dengan apa yang disarankan oleh Islam iaitu menekankan supaya umatnya mengetahui susur galur keturunannya. Mengenali waris yang dekat dan jauh akan menyebabkan institusi keluarga menjadi kukuh. Apabila institusi kekeluargaan ini kukuh maka secara tidak langsung akan terbina pula sebuah institusi masyarakat yang kukuh.

Dalam suasana berhari raya, da’wah juga diutamakan. Mesej da’wah yang hendak ditunjukkan ialah bagaimana akhlak seorang pejuang Islam yang sebenar. Seorang Islam yang memahami tuntutan Islam ingin melihat saudaranya juga turut bersama di dalam perjuangan menegakkan Islam. Cuma apa yang perlu kita lakukan ialah berda’wah dengan penuh hikmah dan bijaksana. Bertepatan dengan firman Allah Subhanahu Wata’aala di dalam surah An-Nahl: ayat 125:


Duit raya; antara ibadah atau budaya

Duit raya sangat sinonim dengan hari raya. Budaya memberi duit raya tidaklah salah. Malah mendapat pahala sekiranya memberi duit raya tersebut diniatkan sebagai hadiah dan sedeqah. Namun, perkara negatif yang timbul di sebalik budaya murni ini perlu dihindarkan. Perkara negatif yang timbul adalah seperti:
1. Meminta-minta duit raya.
2. Menziarahi sanak-saudara dan rakan taulan dengan niat untuk mendapat duit raya.
3. Membuat perbandingan duit raya yang diperolehi di antara satu sama lain.
4. Merungut apabila tidak mendapat duit ataupun mendapat dalam jumlah yang sedikit.

Perkara di atas seringkali berlaku di kalangan kanak-kanak Islam di Malaysia. Perkara ini perlu dielakkan peringkat awal lagi yang mana anak-anak perlu diberi penjelasan tentang hakikat sebenar apa itu duit raya. Dari sudut pandangan Islam, budaya pemberian duit raya hendaklah dijelaskan seperti berikut:
1. Satu amal jariah yang baik
2. “Tangan yang memberi lebih baik daripada menerima”.
3. Bersyukur dengan duit yang diterima.
4. Tidak kedekut untuk menghulurkan duit raya yang diperolehi kepada orang yang lebih susah.
5. Ganjaran Allah Subhanahu Wata’aala itu lebih baik daripada ganjaran manusia.

Mulakan perjalanan dengan solat dan doa
Akhir-akhir ini media melaporkan peningkatan jumlah kematian akibat kemalangan di jalan raya pada musim perayaan. Tragedi malang tidak berbau ini menyebabkan kehilangan insan yang tersayang. Ajal dan maut semuanya di dalam pengetahuan Allah Subhanahu Wata’aala. Tetapi sebagai usaha untuk mengelakkan kejadian tersebut, saya menyeru diri saya dan pengunjung sekalian untuk istiqamah membaca doa sebelum perjalanan.

Di sini saya sertakan panduan-panduan memulakan perjalanan bagi memastikan perjalanan kita itu selamat dan diberkati oleh Allah Subhanahu Wata’aala. Antaranya ialah:
1. Pastikan kenderaan berada di dalam kondisi yang baik (tayar, air dan lain-lain).
2. Lazimkan diri untuk membaca Ayat al-Kursi selepas setiap kali solat.
3. Mulakan musafir dengan tujuan serta niat yang baik.
4. Menunaikan Solat Sunat Musafir sebanyak 2 rakaat.
5. Melangkah kaki menaiki kenderaan dengan membaca doa menaiki kenderaan.


6. Akhirnya iringilah perjalanan dengan ayat-ayat al-Quran dan hiburan Islam.
InsyaAllah semuanya akan selamat.

No comments:

Post a Comment