Wednesday, July 14, 2010

Apa Selepas Piala Dunia 2010?

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani. Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam serta ahli keluarga baginda dan para sahabat radhiallahu ‘anhum ajma’iin.

Kembara mencari iman 2

Alhamdulillah 4hb – 6hb Julai 2010 yang lepas satu lagi Tamrin Tahun Akhir untuk tahun 3 telah berjaya dilaksanakan. Saya difahamkan ini merupakan kali pertama tamrin berkonsepkan perkhemahan dijalankan untuk mahasiswa KUDQI. Tahniah kepada seluruh ahlijawatankuasa pelaksana yang terdiri daripada Lajnah Tarbiyah dan Majlis Perwakilan Mahasiswa KUDQI kerana membuat satu lagi pembaharuan untuk KUDQI. Tamrin untuk tahun akhir dilaksanakan bertujuan supaya mahasiswa yang akan mengakhiri pengajian dan akan melangkah ke dunia luar mempunyai persediaan dari segala segi. Pelbagai mehnah dan tribulasi yang akan menunggu mahasiswa yang akan berada di dalam masyarakat. Cuba bayangkan jika mereka ini tidak di dedahkan bagaimana realiti sebenar masyarakat, akan berlakulah ketempangan bagaimana untuk menyampaikan da’wah dengan lebih berkesan.

Sebenarnya secara peribadi walaupun kita sebagai ahli jawatankuasa pelaksana dan pada masa yang sama mengikuti segala aktiviti maka kita juga merasai apa yang peserta rasa. Pernah saya nyatakan kepada sahabat bahawa tamrin adalah merupakan satu wadah untuk kita menaikkan kembali iman kita. Ini kerana selama tiga hari terpisah dengan dunia luar yang penuh dengan pancaroba yang boleh melemahkan iman kita. Boleh dikatakan bahawa tamrin adalah merupakan satu pakej yang lengkap untuk kita kembali mendekatkan diri kita kepada Tuhan. Semoga pelajar tahun akhir berjaya menempuh alam selepas pengajian dengan Berjaya dan cemerlang dengan berbekalkan apa yang diperolehi semasa tamrin dijalankan. Manakala kepada pelajar tahun akhir yang akan menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi saya mendoakan agar sahabat-sahabat berjaya sehingga ke peringkat PHD insya Allah.

Piala dunia; melalaikan atau da’wah?

Antara aktiviti yang dijalankan ialah slot yang mana ianya melatih peserta untuk berani tampil ke hadapan. Di samping itu jua ianya menguji keberanian peserta untuk memberikan komentar berkenaan dengan tajuk yang diberi. Di dalam slot ini saya diminta untuk menjadi pengkritik. Sebenarnya saya bukanlah orang yang paling layak untuk menjadi pengkritik. Apa pun saya mencuba yang terbaik setakat yang saya mampu. Saya pun dalam proses belajar.

Ada seorang peserta diminta untuk memnghuraikan satu tajuk yang berbunyi “Piala dunia; melalaikan atau da’wah?”. Selepas peserta tersebut memberikan komentarnya maka saya pula memberikan kritikan berkenaan dengan isi. Apa jawapan saya?

Saya mengatakan bahawa memang ‘ya’ menonton Piala dunia melalaikan tetapi kita yang terlibat secara langsung di dalam medan siasah dan da’wah perlulah mengambil peluang ini untuk menyampaikan da’wah kepada remaja. Peluang keemasan ini perlulah diambil dengan sebaiknya untuk kita menyampaikan da’wah islam. Kita juga boleh melihat apa yang telah dilaksanakan oleh as-Syahid Imam Hassan al-Banna yang pergi ke kedai-kedai kopi untuk menyampaikan ucapan berbentuk da’wah. Tindakan ini telah Berjaya menarik ribuan pemuda dan pemudi kembali kepada cahaya Islam. Itulah ayat terakhir di dalam komentar saya tersebut. Saya juga teringat akan inisiatif yang telah dimainkan oleh sahabat ketika berada di dalam Pemuda Hulu Kelang satu ketika dahulu. Kita di waktu itu telah memainkan peranan mengedarkan poster jadual perlawanan bola berbentuk da’wah.

Sambutan Isra’ Mi’raj; antara sedar dan tidak

Piala Dunia telah pun berakhir dengan Piala Dunia 2010 berjaya dirangkul oleh Sepanyol yang telah mengalahkan Belanda 1-0. Bagi penyokong Sepanyol melahirkan rasa puas setelah hampir berminggu bersengkang mata semata mahu memberikan sokongan moral kepada pasukan yang diminati. Manakala bagi penyokong yang mana pasukannya kalah, maka saat inilah yang digunakan untuk mengqada’ kembali tidur yang tidak teratur sebelum ini.

Satu hari lagi 27hb Rejab bakal menjelma. Lazimnya apabila tibanya 27hb Rejab setiap tahun umat Islam akan menyambut sambutan Isra’ dan Mi’raj. Satu persoalan yang ingin saya lontarkan kepada diri saya sendiri dan buat para pengunjung sekalian. Mampukah sambutan Isra’ Mi’raj menyaingi kemeriahan sambutan Piala Dunia 2010 yang telah berlalu?

Maka saya yakin setiap orang yang mempunyai kesedaran akan mempunyai harapan yang sama dengan saya agar sambutan Isra’ Mi’raj juga bakal meriah sebagaimana meriahnya sambutan Piala Dunia 2010. Ini kerana peristiwa Isra’ dan Mi’raj mempunyai pengajaran yang sangat besar kepada kita selaku umat yang mengaku umat Nabi Muhamad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam.

Sunday, July 11, 2010

Mati tetapi hidup

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani. Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam serta ahli keluarga baginda dan para sahabat radhiallahu ‘anhum ajma’iin.

Isu-isu yang melanda

Terlebih dahulu saya menyusun 10 jari kerana sudah lama tidak mengemaskini blog. Pelbagai perkara yang menghalang. Banyak perkara yang tidak sempat saya memberikan komentar dan pandangan berkenaan dengan dengan isu-isu yang melanda umat islam sama ada di Malaysia atau pun luar Negara.

Antaranya muktamar PAS, penubuhan bank bayi dan yang terkini PAS dituduh mengamalkan ajaran sesat. Tuduhan yang tidak berasas ini telah dibuat oleh seorang yang berstatus menteri. Pada saya tuduhan ini sangat berat dan perlu kepada bukti yang jelas untuk mengaitkan PAS dengan ajaran sesat. Sebenarnya sudah banyak kali PAS dikaitkan dengan perkara-perkara yang tidak masuk aqal. PAS pernah dikaitkan dengan keganasan. PAS dituduh sebagai rangkaian pengganas dengan dikaitkan dengan al-Maunah, peristiwa di Sauk dan JI dan KMM.

Alhamdulillah segala tuduhan yang dilempar atas dasar perasaan hasad dengki telah berjaya ditepis dengan mudah oleh kepimpinan PAS yang bijaksana. Terutamanya Allahyarham al-fadhil Ustaz Fadhil Noor. Semoga roh beliau sentiasa berada bersama pejuang-pejuang yang gugur syahid dalam usaha menegakkan kalimah Allah yang tinggi.

Syuhada' Mavi Marmara

Mendengar pengalaman yang diceritakan dalam oleh sukarelawan yang terlibat dan membaca di media-media yang melaporkan sebenarnya Israel takut dan hanya berani di sebalik topeng. Itulah sebenarnya sifat sebenarnya. Jabhah Ulama’ Al-Azhar mengatakan “Syahid di Laut, Syahid Paling Mulia”. Katanya lagi “Sungguh amat mulia anda…… mulianya jihad anda”. Di antara senarai syuhada tersebut yang paling muda sekali gugur syahid berumur 19 tahun. Beruntungnya pemuda tersebut. Jika dibandingkan dengan remaja di Negara kita dalam umur sedemikian tenggelam dalam arus zaman. Sedih kita memikirkan keadaan remaja kita. Dalam umur remaja mereka dileka dengan keseronokan dunia yang sementara yang tidak mempunyai masa depan. Ramai yang terlibat dengan gejala sosial, zina, buang bayi dan pelbagai masalah lagi.

Berbeza dengan Furkan Dogan, dia jelas akan matlamat sebenar kita dilahirkan di atas muka bumi ini. Tidak lain dan tidak bukan untuk mengabdikan diri kepadaNya dalam apa jua keadaan sekalipun. Dia tahu bahawa hidup yang kekal abadi adalah di sana dan bukannya di sini. Di sini tempat untuk bercucuk tanam manakala di akhirat sana tempat kita menuai hasilnya. Furkan Dogan antara yang 9 orang yang ditembak mati oleh Israel laknatulLah. Betapa jahatnya Israel dan sememangnya Israel jahat dan perangai seperti binatang buas yang hanya menunggu mangsanya untuk diterkam.

Semoga roh para syuhada' Gaza ditempatkan bersama syuhada'-syuhada' yang telah pergi dahulu menemui RabbNya. Sebenarnya mereka yang gugur di jalanNya bukan mati bahkan mereka hidup di sisi TuhanNya dengan mendapat rezeki. Marilah kita sedekahkan al-Fatihah kepada para Syuhada'.

Firman Allah Taala di dalam Surah Ali-Imran : Ayat 169 - 171.





Berikut adalah senarai yang gugur syahid adalah seperti berikut:

1. Ibrahim Bilgen, 61, seorang jurutera elektrik dari Siirt, Turki. Ahli Chamber of Electrical Engineers di Turki, berkahwin dan mempunyai enam orang anak.

2. Ali Haydar Bengi, 39, dari Diyarbakir. Graduan Universiti Al-Azhar, Kaherah, Mesir. Telah berkahwin dan mempunyai empat cahaya mata.

3. Cevdet Kiliçlar, 38, Seorang wartawan dari Kayseri, Turki. Telah berkahwin dan mempunyai dua orang putera.

4. Çetin Topçuoglu, 54, dari Adana, Turki. Pemain bola amatur dan jurulatih taekwondo yang melatih atlet taekwondo Turki. Berkahwin dan mempunyai seorang cahaya mata.

5. Necdet Yildirim, 32, dari Malatya, Turki. Berkahwin dan mempunyai seorang anak perempuan berusia tiga tahun.

6. Fahri Yaldiz, 43, seorang ahli bomba di Adiyaman, Turki. Telah berkahwin dan mempunyai empat orang anak.

7. Cengiz Songür, 47, dari Izmir, Turki. Berkahwin dan mempunyai tujuh orang anak.

8. Cengiz Akyüz, 41, dari Iskenderun, Turki. Berkahwin dan mempunyai anak berusia 14, 12 dan 9 tahun.

9. Furkan Dogan, 19, as-syahid termuda dalam kalangan yang syahid, merupakan pelajar Kayseri High School. Anak kepada Dr. Ahmet Dogan, seorang professor di Erciyes University. Warganegara Turki-Amerika dan mempunyai dua adik beradik.

Pejuang Gaza

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani. Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam serta ahli keluarga baginda dan para sahabat radhiallahu ‘anhum ajma’iin.

Semoga selamat tiba di Gaza

Harakahdaily setakat saat ini melaporkan bahawa konvoi ke Gaza masih terhenti di Lautan Mediteranean. Marilah sama-sama mendoakan ianya selamat tiba ke Gaza. Insya Allah.

Konvoi Gaza berhenti di tengah Laut Mediterranean

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 30 Mei: Konvoi bantuan kemanusiaan antarabangsa ke Gaza masih terhenti di tengah Laut Mediterranean berhampiran perairan Cyprus.

Walaubagaimanapun, lifeline4gaza semalam melaporkan penangguhan itu tidak mengganggu jadual asal konvoi untuk tiba di Gaza.

Dalam satu sidang media di atas kapal Mavi Marmara semalam, Presiden IHH, Bulent Yildirim menjelaskan bahawa konvoi itu masih menunggu sebuah kapal penumpang daripada Cyprus yang akan membawa ahli-ahli parlimen Eropah.

Kapal tersebut dijangka sampai dalam masa terdekat.

Terdahulu, sebuah kapal kargo IHH telah mengalami sedikit kerosakan. Kerosakan tersebut telah dipulihkan sepenuhnya oleh sekumpulan jurutera dan juruselam yang dihantar daripada kapal Mavi Marmara.

Walaubagaimanapun, kapal Rachel Corries yang telah berlepas daripada Ireland dijangka mengambil masa lebih sehari lagi untuk sampai.

Dalam satu kenyataanya, Bulent menegaskan bahawa ancaman berterusan rejim zionis Israel terhadap konvoi kemanusiaan itu sekali-kali tidak membuatkan mereka takut mahupun menukar perancangan.

“Peserta paling muda dalam kapal ini berumur kurang daripada setahun. Peserta paling tua pula berumur lebih daripada 80 tahun.

“Kami tidak membawa sesuatu apa senjata pun. Jadi kalau Israel ingin menggunakan kekerasan terhadap kami, mereka akan benar-benar bertindak di luar akal yang waras,” kata Bulent.

Semua mereka yang menggunakan akal dapat menerima bahawa kapal itu hanya membawa bahan bantuan kemanusiaan.

Ketika ditanya apakah persiapan mereka untuk berhadapan dengan tentera Israel yang mungkin berlaku, Bulent menjawab, “kami tidak bawa apa-apa senjata, kami akan lawan dengan keinginan dan keyakinan kuat kami sahaja”.

“Adalah tidak masuk akal bila mana Israel cuba menentang kami seolah-olah mereka berhadapan dan berperang dengan sebuah negara. Kami hanyalah sebuah konvoi bantuan yang dibawa oleh NGO,” sambung Bulent.

Beliau juga tetap menegaskan pendirian untuk tidak menyerah mana-mana bahan bantuan yang dibawa mahupun peserta-peserta konvoi itu kepada Israel.

Ketika berita ini ditulis, sebuah kapal penumpang baru tiba daripada Sweeden. Kapal itu tidak termasuk dalam peracangan asal, menjadikan jumlah kapal yang menyertai konvoi itu sebanyak tujuh buah.